56

84 5 0
                                    

ARISA memerhatikan Izhar yang ralit mengelap motor kesayangannya. Ada yang terbuku di hati yang ingin disampaikan sedari tadi, namun ragu-ragu dia untuk bersuara. Sedar akan keadaan Arisa yang bagaikan cacing kepanasan, Izhar segera memberhentikan kerjanya dan mendekati isterinya itu.

"Kenapa ni? Macam orang tengah tahan sakit perut saja abang tengok!"

Macam orang sakit perut? Lama Arisa merenung Izhar yang sudah duduk di atas bangku kayu di sebelahnya. Adakah patut dia dikatakan macam orang sakit perut! 

"Ada apa?" Lembut Izhar menyoal sambil membelai mesra jari Arisa. Dia sudah lali dengan perangai Arisa, tidak mungkin dia akan menyuarakan rasa hatinya jika hatinya sudah terasa. 

"Hmm... abang sibuk dak petang ni?" Teragak-agak namun masih penuh kemanjaan Arisa menyoal.

"Kenapa?" 

"Aaa... kita keluar sat?"

"Ke mana?" Sepatah lagi Izhar menyoal. 

"Kita pi shopping!"

"Shopping?" Terangkat kening Izhar. Pelik! Selalunya kalau diajak pun susah untuk Arisa pergi membeli-belah, ini sudah terbalik pula jadinya. "Nak shopping kat mana?"

"Bukan Icha nak ajak abang pi jauh-jauh, kita shopping kat pasar malam jadilah." Arisa menggaru tengkuknya. Risau jika dia dimarahi bila Izhar yang sudah mula serius.

Izhar tersenyum, sinonim sungguh Arisa dengan pasar malam. Nak beli makanan, nak beli pakaian, barang dapur... jika diminta usulnya, pasar malamlah yang menjadi pilihan pertama. "Apa yang Icha nak beli kat pasar malam tu?"

"Dak... hari tu Icha tengok kat pasar malam tu ada telekung dan T-shirt, cantik-cantik. Icha nak beli bagi dekat mak dan adik-adik. Sambil tu, Icha nak beli tudung sekali. Tudung Ichakan tak banyak, susahlah nak padankan dengan baju. Minggu depan kita nak balik kampung, takkan nak pinjam tudung Kak Dura saja."

Sejak pulang dari kampung tempoh hari, Arisa sudah mula memakai tudung. Tudung yang digunakan semuanya yang dihadiahkan Nek Da dan Baidura. Belum ada kesempatan untuk dia menambah koleksi tudungnya kerana izhar amat sibuk sejak kebelakangan ini. Dia sendiri juga jarang keluar rumah jadi tidak difikirkan sangat tentang hal itu. Apatah lagi bila Baidura dengan besar hati selalu mempelawanya untuk menggunakan tudungnya bila diperlukan.

Izhar menarik nafas panjang sambil mengeliat, melejangkan uratnya. "Abang malaslah nak keluar, letih!"

Tersentap hati Arisa. Mendengar kata-kata Izhar membuat ayat yang sudah disusunnya sedari tadi hilang serta-merta. Apa yang hendak dikatakan lagi, sudah izhar tidak mahu pergi, takkan hendak dipaksa pula. Nampaknya tidak dapatlah dia membeli barang-barang yang dihajatkan itu.

"Hari-hari minggu macam ni kalau boleh abang nak rehat saja lat rumah. Kalau Icha nak pergi, pergilah... ajak Didi. Tu kereta tu nak simpan untuk siapa? Sekali pun Icha tak pernah bawa keluar," suruh Izhar sambil mulutnya memuncung ke arah Suzuki Swift milik Arisa. 

Terkulat-kulat Arisa memandang Izhar. Hendak memandu sendiri? Tidak mungkin! "Icha tak beranilah nak bawa kereta sendiri! Tak apalah, lain kali sajalah Icha beli."

Sudah dijangka Izhar itulah jawapan yang akan diberikan oleh Arisa, namun dia tahu walaupun bibir Arisa mengatakn tidak mengapa, jauh di dasar hatinya, Arisa kecewa. Seketika wajah murung Arisa dikerling Izhar. Sedih bukan main lagi nampaknya.

Di dalam hati, Izhar tersenyum. 'Tak lama lagi hilanglah sedih tu!' Dia yakin apa yang dirancangkannya akan lebih membahagiakan Arisa daripada membawanya pergi ke pasar malam.

***********************************************************************************************

ARISA melipat sejadah yang digunakannya dan Izhar semasa bersolat asar tadi. Masih kusut wajahnya. 

KOPI LADYKU by Ainul HazrahWhere stories live. Discover now