9

104 7 0
                                    

ARISA termangu-mangu di hadapan peti sejuk besar di ruang dapur. Mak jah bercuti. Begitu juga dengan Kak Sal. Bagus betul dapat majikan begini, tiap-tiap hari minggu bercuti, gaji pun boleh tahan juga.

Selalunya Mak Jah akan masak sejenis dua lauk dan dimasukkan ke dalam peti dingin beku. Lauk itu hanya dipanaskan keesokan harinya bila hendak dimakan. Oleh kerana Mak Jah terlalu sibuk semalam, Arisa telah menawarkan diri untuk memasak pada hujung minggu itu. Tidak perlulah Mak Jah tergesa-gea dengan kerjanya. Lagipun penghuni rumah itu bukannya terlalu memilih tentang soal makan. 

Setelah diselongkar seluruh peti sejuk itu, beberapa bahan yang mahu dimasak dikeluarkan. Hari ni cuma dia, Nek Da dan Adila di rumah. Baidura keluar bersama tunangnya untuk mencari beberapa bahan keperluan untuk majlis perkahwinan mereka nanti sementara Izhar pula ada kerja yang perlu diselesaikan di hospital.

"Icha buat apa tu?" soal Nek Da sambil bertatih perlahan ke meja dapur. 

"Icha nak masak tomyam dan sambal udang. Boleh dak Nek Da?" beritahu Icha sambil menolong mendudukkan Nek Da di kerusi. "Nak masak yang lain Icha tak retilah!"

"Boleh ajelah, Icha. Nenek ni makan bukan banyak mana. Janji ada rasa garam gula cukuplah. Kalau sampai tawar tu, tak tertelan tekak ni." Sambil berseloroh ralit mata Nek Da memerhatikan jari-jari lincah Arisa menarikan tarian pisau di atas pemotong. "Ayam pun ada rasanya, nanti gorenglah sikit."

"Boleh Nek Da. Nanti Icha perapkan ayam tu."

"Bagus juga kalau perap. Sedap sikit. Pandai Icha ni!"

"Icha bukannya pandai masak. Makan memang pandai."

"Alah, budak-budak sekarang ni memang macam tulah. Itupun Icha ni dah kira bagus. Si Didi tu... nak bancuh Milo secawan pun tak reti-reti lagi. Bukannya kecik, dah tingkatan tiga tu. Kalau esok-esok dah kahwin, mati kering anak laki dia tak makan!" rungut Nek Da tentang cucu bongsunya itu. 

"Nek Da ni, takkanlah macam tu?" Berderai tawa Arisa, ada pula orang kaya boleh mati tak makan! "Didi tu mana pernah masuk dapur, mana dia nak tau. Apa Nek Da nak risau, nanti dia pun mesti kahwin orang kaya, tak payah susah-susah nak masak. Lainlah kalau Icha ni, kalau tak tau masak, memang anak laki boleh mati kering. Itu pun kalau ada orang yang nakkan Ichalah, kalau dak... masak sendiri makan sendiri sajalah!"

Apa yang nak dihairankan bila anak orang kaya tak pandai buat kerja rumah? Pasang orang gaji dua, tiga orang, semuanya beres.

"Takkan tak ada orang nak. Mana tahu kahwin dengan anak raja nanti!"

Semakin kuat ketawa Arisa. "Raja mana pulak Nek Da? Kat Penang memang banyak raja, Raja Kapoor, Raja Lingam? Tak maulah Icha kat depa semua tu, gelap sangat!"

 Arisa mengangkat barang-barang yang sudah dipotong ke tepi dapur. Proses memasaknya akan bermula sekejap lagi. Masih saja bibirnya menguntum senyum dengan usikan Nek Da tadi. Lawak benar dirasakan. Orang biasa pun belum tentu hendakkan dia, inikan pula anak Raja!

Tapi lain pula pandangan Nek Da. Hampir sebulan Arisa di situ hatinya amat tertarik dengan budi bahasa dan keletah gadis itu. Jika cucunya berkenan, apa salahnya Arisa dijadikan isteri! Tidakkah cucunya juga ada keturunan raja?

***********************************************************************************************

IZHAR baru sampai dari hospital. Terdengar suara gelak ketawa dari ruang makan. Pasti semua isi rumah sedang berada di situ. Mungkin sedang menikmati minuman petang.

"Ada nasi tak? Iz laparlah! Tak sempat makan tadi, banyak sangat emergency case!" soal Izhar selepas mereka berbalas salam. Sebuah kerusi ditarik dan dia duduk di situ.

KOPI LADYKU by Ainul HazrahWhere stories live. Discover now