6

105 8 0
                                    

"HARI ni, Icha tak payah kerja lagilah. Isnin minggu depan baru Icha mula kerja," beritahu Baidura yang telah bersiap cantik untuk ke pejabat.

"Macam tu rugilah, Icha... minggu ni ada dua hari lagi."

"Alah, Icha rehatlah dulu. Nampak pun macam letih saja. Kak Dura takut juga nanti kalau Icha pengsan lagi, mak ayah Icha marahkan Kak Dura pulak." Dalam bergurau sempat Baidura mengenakan Arisa.

"Taklah, Kak Dura... takkanlah Icha nak pengsan lagi!"

"Bagus juga kalau Icha tak kerja lagi, boleh juga temankan nenek kat rumah," sambut Nek Da menyetujui kata-kata Baidura.

Arisa memberikan senyuman manis buat Nek Da. Dia masih belum begitu mesra lagi dengan orang tua itu. Masa makan malam semalam pun, Nek Da tidak makan sekali. Makanannya dibawa oleh Kak Sal ke dalam bilik. 'Hisy! Makan pun dihantar ke bilik! Ada pengasuh peribadi pulak tu! Mesti serius orang tua ni!'

Setakat yang diketahui Arisa, rumah itu mempunyai dua orang gaji. Seorang bertugas menjaga Nek Da dan mengemas rumah sementara seorang lagi tukang masak dan menolong apa yang patut pada waktu senggangnya.

'Dah rumah pun besar, mestilah ada ramai orang gaji, ada tukang kebun, driver! Berapa agaknya gaji depa ni semua? Mungkin lebih banyak daripada pendapatan ayah aku tangkap ikan sebulan. Tengok gaya Mak Jah dan Kak Sal pun bukan main dahsyat lagi. Pakai baju macam mak cik - mak cik kat kampung aku nak pi makan kenduri saja!'

"Okeylah, Kak Dura pergi dulu. Icha janganlah malu-malu pula. Nak apa-apa mintalah daripada Kak Sal, Mak Jah dan Mak Awa. Jangan segan-segan tau. Mereka tu baik-baik semua," terang Baidura sebelum dia dan Izhar menyalami Nek Da untuk keluar ke tempat kerja.

"Mak Awa tu siapa, Kak Dura? Tak pernah nampak pun?" Sejak dari semalam tiada pula Arisa melihat orang lain selain daripada Mak Jah dan Kak Sal.

"Mak Awa? Oh... Mak Awa tu isteri Pak Mail. Tiap-tiap hari dia ikut Pak Mail datang sini. Bila Pak Mail balik, dia baliklah. Alah, nanti Icha jumpalah dengan dia. Tengah mengemas kat atas agaknya tu," terang Baidura panjang lebar, namun masih menimbulkan tanda tanya kepada Arisa. 

Siapa pula Pak Mail? Ingin bertanya lagi kepada Baidura tetapi takut pula jika dicap sebagai 'mak kepoh' maka didiamkan dirinya. Lambat-laun pasti dia akan tahu siapa Pak Mail.

"Alah... nak risau apa Dura, nenek pun ada," celah Nek Da yang tampak ramah bila tersenyum.

Hati Arisa berasa sedikit lega. 

Arisa menghantar Baidura ke depan tumah. Di dalam porch kelihatan Izhar sedang mengenakan kasutnya di atas sebuah kerusi panjang berukir diperbuat daripada kayu jati. Terdapat juga seorang lelaki separuh usia sedang menggilap kereta Mercedes S500L yang hitam berkilat.

'Inilah Pak Mail kot!' Arisa membuat andaian sendiri.

"Assalamualaikum, Pak Adam," tegur Baidura ramah.

Nampaknya itu bukan Pak Mail seperti yang disangka Arisa!

"Waalaikumussalam, Cik Dura," balas Pak Adam pada Baidura dengan senyum dan penuh hormat.

"Kita pergi sekarang."

Mendengar ajakan Baidura, Pak Adam langsung membuka pintu kereta di bahagian belakang buat majikannya itu.

Fahamlah Arisa yang Pak Adam itu seorang pemandu. 

"Kak Dura..." panggil Izhar sebelum masuk ke dalam kereta Murano coklat tua metalik yang tidak kurang sama kilatnya dengan Mercedes Baidura.

Cepat Baidura berpaling ke arah adiknya itu. 

"Hari ni Iz tak pergi office kot. Mesti sibuk kat hospital nanti."

KOPI LADYKU by Ainul HazrahWhere stories live. Discover now