37

100 6 0
                                    

ESOK sekali lagi Izhar dan Arisa akan disandingkan. Tentu lebih meriah majlisnya berbanding dengan majlis di rumah Arisa tempoh hari. Saudara-mara Nek Da yang jauh juga sudah ada yang datang sejak semalam petang. Resah hati Arisa kerana di antara mereka sudah tentunya ada Nek Yong yang sah-sah tidak menyukainya. Tetapi, Nek Yong juga sudah tidak boleh berbuat apa-apa kerana dia sudah sah menjadi isteri Izhar.

risa baru sudah berdandan bila Izhar tiba-tiba masuk ke biliknya. Hari ini, mereka akan menghadiri raptai untuk majlis resepsi malam esok. Seperti malam kelmarin, semalam pun Izhar pulang lewat lagi. Semakin hari semakin jelas kata-kata Maimon di telinga Arisa.

Apa yang didengarnya petang semalam daripada perbualan Nek Yong dan beberapa orang saudaranya juga cukup menyakinkan Arisa yang Izhar memang sengaja mahu mengelak untuk bersamanya!

Semasa dia ingin bergabung dengan beberapa orang tetamu yang sedang berbual di ruang tamu semalam, dia terdengar Naek Yong ada menyebut tentang hubungan cinta lama Izhar yang tidak pernah diketahuinya. Tidak jadi untuk bergabung dengan mereka, Arisa beredar dari situ dengan perasaan yang berkecamuk.

Lama dia termenung di dalam biliknya, namun tidak ada apa yang dapat dirungkai. Dia sudah pun menjadi isteri Izhar dan apa pun yang berlaku mesti dihadapinya juga. Lagipun, dia dan Izhar bukannya bercinta. Mereka berkahwin pun kerana ada kepentingan sendiri. Dia ingin menyambung pelajarannya dan Izhar pula ingin menjauhkan diri daripada Elina. Tapi setelah apa yang didengarnya, dia mula ragu-ragu, betulkah Izhar mahu menjauhkan diri daripada Elina atau ini sebenarnya hanya mainan buat Izhar? Ah, tidak kisahlah semua itu asalkan Izhar berpegang pada janjinya.

"Kenapa kunci pintu semalam?" Selamba Izhar berjalan ke katil yang sudah dikemas rapi dan berbaring di situ.

"Encik Iz ni, Icha baru saja habis mengemas!" rungut Arisa geram.

"So? Nanti kemaslah balik." Endah tak endah jawab Izhar. "Kenapa kunci pintu semalam?" soal Izhar sekali lagi, semakin tegang.

"Tiap-tiap hari pun Icha kunci pintu. Dah biasa dah!" Arisa duduk di birai katil menghadap Izhar. Nampaknya Izhar sudah mula mempersoalkan akan hal mereka. Bukan dia yang menghindar, tetapi Izhar sendiri yang menjauhkan diri. "Pukul berapa Encik Iz balik semalam?" soal Arisa perlahan.

"Icha marah?" Nada sebal Izhar terus bertukar irama.

Arisa menggeleng. Tidak senangkah Izhar bila dia ingin mengambil tahu akan hal peribadinya?

"Abang balik dekat pukul satu."

"Pasal apa balik lambat sangat? Tiap-tiap hari Encik Iz kerja dari pagi sampai petang, lepas tu keluar lagi sampai tengah malam! Bangkit pagi nak pi kerja balik, Encik Iz tak letih ke?" Jika betul Izhar keluar kerana urusan penting, Arisa tidak kisah. Dia cuma risau jika Izhar keluar sebab lain, tetapi menggunakan kerja sebagai alasan.

"Dah abang sibuk, nak buat macam mana!"

Jawapan Izhar terdengar hambar di telinga Arisa. Benarkah Izhar sibuk kerana urusan kerja? Boleh jadi juga! Mungkin sebab Baidura kini sibuk dengan majlis pernikahannya, Izhar terpaksa mengambil alih tugas yang selama ini telah diuruskan oleh kakaknya itu.

"Sibuk pun Encik Iz kena jaga diri juga, kalau sakit macam mana dengan kenduri esok?"

"Alah, kenduri tu ambil syarat saja, kitakan dah nikah kat kampung Icha hari tu?"

"Habis baju yang bling-bling dan mahal tu nak buat apa?"

"Buat baju tidur..." Sekali ini wajah Izhar yang tadinya kelihatan selamba dan bersahaja tampak manis dihiasi senyuman yang menguntum. Seronok dia melihat Arisa yang macam orang bingung mentafsirkan kata-katanya. Mustahil baju sebegitu akan dijadikan baju tidur! "Icha tak payah risaulah. Abang tak apa-apa. Atau... sebenarnya Icha cemburukan abang?"

KOPI LADYKU by Ainul HazrahWhere stories live. Discover now