43

100 6 0
                                    

SEPERTI yang dijanjikan, tepat pukul lapan pagi, semua sudah berkumpul dan bersiap sedia untuk ke Bukit Chawi. Bukan sahaja Mak Jah dan Kak Sal, Pak Adam dan isterinya Mak Leha juga akan turut sekali. Mak Awa dan Pak Mail juga dijemput, tetapi mereka menolak kerana ada hal lain yang terpaksa diuruskan.

Mereka akan pergi di dalam dua buah kereta. Izhar akan memandu Misubishi Triton yang selalu diusung oleh mereka apabila melawat ke tapak projek sementara Pak Adam pula akan memandu Mercedes-Benz Viano.

Semua beg pakaian dan barang yang hendak dibawa telah pun dimasukkan ke dalam Mitsubishi Trotin. Tujuan kereta itu digunakan adalah untuk memudahkan membawa barang-barang kerana sudah kebiasaannya bila pulang dari Chawi bermacam-macam buah tangan yang akan dibawa bersama. Jika pandu kereta biasa, pasti tidak muat nanti.

"Siapa nak naik kereta mana ni?" tanya Izhar.

"Nenek naik dengan Icha ya!" pujuk Arisa manja. Tangannya sudah memaut lengan Nek Da membuat Nek Da tersenyum simpul. Bila dipujuk begitu memang susah untuk dia menolak lagi. 

"Nenek naik Merclah, selesa sikit," larang Izhar serta memberikan usul. 

"Nenek tak kisahlah, Iz... yang mana pun sama saja."

"Didi nak naik Merc..." beritahu Adila tanpa diminta. 

"Kalau macam tu, eloklah bertolak sekarang..."

"Errr... Iz, kita kena tunggu sorang lagi," tahan Baidura membuat Izhar memandang sekelilingnya. Rasanya semua orang sudah ada di situ, termasuk Pak Adam suami isteri.

"Siapa lagi..." Soalan Izhar terus mati bila melihat sebuah kereta memasuki perkarangan rumah itu. Kereta yang amat dikenali mereka semua.

Kedatangan tetamu itu membuat Ariaa mula tidak sedap hati. Tanpa sedar, Izhar dihampirinya dan tangan itu dipegang kemas. Percutian yang selama beberapa hari ini begitu menyeronokkan di bayangannya pasti akan menjadi sebaliknya dengan kehadiran Elina.

Sedar akan perubahan Arisa, Izhar terus mengajak Arisa masuk ke kereta. Dia juga tidak mampu berkata apa-apa. Jika diturutkan hati, dia tidak mahu Elina ikut sekali tetapi apa pula kata abang iparnya nanti. Demi menjaga hati Fariq terpaksalah semuanya berdiam diri.

"Mari, nek... kita masuk kereta. Kak Sal, jom kita naik sekali dengan nenek," ajak Adila sambil mengganding tangan Nek Da. Dia yang tadinya beria-ia untuk naik Mercedes, kini menonong membimbing Nek Da masuk ke dalam kereta yang akan dipandu Izhar. Nampaknya, Adila juga tidak suka Elina bersama-sama dengan mereka. 

Yang paling penting, dia mahu memenuhkan kereta itu supaya Elina tiada kesempatan untuk naik kereta yang sama dengan Izhar.

Seperti yang dijangka Elina membawa begnya untuk naik kereta bersama Izhar, namun tempat itu sudah diisi oleh Nek Da dan Adila. 

"Kamu nak naik sini, Elina? Nenek tak kisah, tapi nanti kamu kenalah jaga nenek, jaga ubat-ubat nenek," soal Nek Da seraya memberi sedikit keterangan yang pastinya tidak disukai oleh Elina. "Sal, bagilah beg ubat nenek tu pada Elina, kamu naiklah dengan Pak Adam."

"Eh, tak apalah, nek... El naik kereta sana." Elina yang tadinya tersengih-sengih riang kelihatan tersentap. Mana mungkin dia mahu mengambil alih tugas Kak Sal untuk menjaga Nek Da. Dengan hati yang sebal dan dangkal, dia berpaling mdnuju ke arah Baidura dan Fariq. 

Adila di dalam kereta ketawa kecil, puas hatinya melihat muka cemberut Elina yang dibalut dengan berjuta-juta rasa kecewa.

"Beg ubat apa, Nek Da? Sal tak ambil pun!" soal Kak Sal di pintu kereta. Seingatnya, tidak ada pula beg ubat Nek Da yang diberikan kepadanya. Jangan pula nanti dia tertinggal beg itu, gawatlah jawabnya.

KOPI LADYKU by Ainul HazrahWhere stories live. Discover now