ARISA mengemas pakaiannya. Bukan apa sangat yang hendak dibawa, dia bukannya ada banyak pakaian pun. Siap memilih pakaian yang hendak dibawa, Arisa duduk di atas katilnya. Baru dia teringat yang begnya sudah diambil oleh Izhar. Hendak diminta semula segan pula rasanya.
Arisa mengambil keputusan untuk menunggu sahaja. Mungkin Izhar akan teringat tentang perkara itu dan mengembalikan begnya nanti. Malangnya sehingga lewat malam, Izhar masih belum memulangkan begnya!
Selepas solat subuh, Arisa mula kelam-kabut. Pakaiannya masih belum dimasukkan ke dalam beg. Teringat olehnya kata-kata Izhar pada malam dia mengambil begnya tempoh hari. Dengan senyum nakal, Arisa menyimpan pakaiannya. Tak guna beg pun bukannya tak boleh bawa pakaian! Bukannya nak naik bas, naik kereta!
***********************************************************************************************
BEG pakaian yang hendak dibawa semuanya telah dihimpun di hadapan pintu utama. Banyak juga beg yang hendak dibawa. Terutamanya Nek Da, ada saja yang hendak dibawanya bersama.
"Ni bunjut apa pula ni?" soal Izhar bila terpandang kain batik yang diikat seperti bunjut bersama-sama dengan beg-beg lain. "Siapa punya ni?"
"Entah!" jawab Baidura juga agak terkejut melihat bunjut itu. "Apa isi kat dalamnya?"
Izhar pantas mengangkat bunjut itu untuk memastikan isi di dalamnya.
"Hei... jangan buka!" larang Arisa.
Spontan Izhar dan Baidura berpaling ke arah Arisa yang tersengih-sengih malu.
"Hmm... tu baju Icha." Risau Arisa bila Izhar sudah melonggarkan ikatan bunjut itu. Buatnya berterabur pakaian dalamnya di situ, di mana dia hendak sorok muka? Cukuplah dia malu pada Izhar semasa Izhar sesuka hati mengeluarkan pakaian dari begnya tempoh hari.
"Lah... kenapa letak macam ni? Kenapa tak masukkan dalam beg?" soal Baidura hairan.
"Macam mana nak bubuh dalam beg, ada orang curi beg Icha! Icha buatlah bunjut macam tu."
Jawapan selamba Arisa meledakkan tawa Izhar. Baru dia teringat beg Arisa telah diambilnya semasa Arisa mahu pulang ke kampung tempoh hari. "Lah, kenapa tak minta?"
"Icha cuma ikut cakap Encik Iz saja. Hari tu kan Encik Iz kata Icha boleh buat bunjut untuk isi baju, jadi Icha buatlah macam ni."
"Awak ni betullah, bendul!" Izhar melangkah ke atas. Dia turun semula beberapa ketika kemudian dengan sebuah beg di tangannya. "Nah, isi pakaian awak dalam ni."
"Ini bukan beg Icha."
"Memanglah, tu beg saya. Balik nanti awak bagilah balik beg tu pada saya, saya cuma pinjamkan saja!" Sengaja Izhar tidak mahu memberikan beg Arisa, takut juga dia jika Arisa tiba-tiba lari dari rumah mereka.
Siap semua barang dimasukkan ke dalam kereta, mereka terus memulakan perjalanan. Hari masih lagi cerah-cerah tanah ketika itu. Mak Jah dan kak Sal sejak petang semalam sudah mula bercuti.
"Kat mana nak berhenti makan ya? Iz dah laparlah!" ujar Izhar sambil menggosok-gosok perutnya. "Kita berhenti kat Rawang nak?"
"Buat apa nak berhenti, kan Icha dah siapkan bekal." Spontan Arisa menjawab.
"Bekal?" Berkerut dahi izhar. Selama ini tidak pernah mereka membawa sebarang makanan jika berjalan jauh. Semuanya akan dibeli di dalam perjalanan. Baidura di sebelahnya dikerling dengan kening yang terangkat.
"Ha'ah! Icha awal-awal pagi dah bangun tadi untuk siapkan bekal. Dia buat sandwic sardin," beritahu Baidura.
"Roti kat rumah tu banyak lagi, kalau kita tak makan nanti expired pula, tulah Icha buatkan sandwic, boleh juga buat alas perut. Lagipun kalau kat rumah, kami dah biasa bawa bekal kalau nak berjalan jauh. Jimat sikit belanja!" terang Icha pula secara panjang lebar. Bekas berisi sandwic dibuka dan dihulurkan pada Nek Da dan Adila. Cepat kedua-duanya mencapai seorang sepotong.
YOU ARE READING
KOPI LADYKU by Ainul Hazrah
RomanceSekadar berkongsi. Berminat? Silalah beli. https://play.google.com/store/books/details/AINUL_HAZRAH_KOPI_LADYKU?id=6GOLCwAAQBAJ Arisa kata, dia Puteri Duyung! Kata Izhar, Arisa Dayang Senandung! Hakikatnya, Arisa hanyalah anak nelayan yang tinggal d...