58

94 6 0
                                    

KEPULANGAN Izhar disambut Arisa seperti biasa, namun kemurungannya tidak dapat disembunyikan daripada penglihatan Izhar.

"Kenapa sayang abang ni? Tak sihat?"

Arisa menggeleng. Senyum semanis mungkin cuba dilakarkan buat Izhar, namun ianya kelihatan amat hambar. 

"Icha, kenapa ni?"

"Icha nak minta maaf dekat abang..." Arisa menelan liur. Amat payah untuk dia menyusun ayat untuk memberitahu Izhar akan kejadian yang telah berlaku. Alangkah baiknya jika Nek Da turut berada di situ. Nek Da tentu dapat membantu.

"Kenapa? Apa yang Icha dah buat sampai nak minta maaf ni?" Izhar cuba tersenyum walaupun dia mula rasa tidak sedap hati. Arisa tidak pernah berkeadaan begitu sebelum ini. 

"Amin... dia... terlanggar pasu ket tepi kolam tu..."

"Habis tu? Pasu tu pecah?"

Arisa mengangguk bagaikan burung belatuk.

"Hmm... dah nak pecah, nak buat macam mana!"

"Tapi, pasu tu mahal!"

"Dah... dah! Takkan sebab pasu pecah Icha sampai macam baru keluar dari ICU? Abang dah lambat ni, nak mandi... nak solat!" Izhar mencium dahi Arisa sekali lalu sebelum berlalu ke bilik air.

Ada sedikit rasa lega di hati Arisa bila Izhar juga tidak begitu mengambil kisah akan pasu yang telah dipecahkan oleh Azmin. Nampaknya, dia saja yang risau tidak menentu.

Siap membuat menuman untuk Izhar, Arisa keluar dari dapur untuk memanggil suaminya itu untuk minum. Sampai di ruang tamu hatinya yang tadinya sudah lega kembali cemas. Kali ini perasaan itu lebih teruk dari tadi. Dari ruang itu terdengar kuat suara Izhar sedang mengamuk. Arisa bergerak mencari arah suara itu dan nyata suara itu datang dari arah kolam renang di sisi rumah.

Hati Arisa mula bergetar hebat bila melihat Azmin terpacak kaku tidak jauh dari tempat pasu pecah tadi sementara Izhar kelihatan bercekak pinggang di hadapannya. Kelihatan Arman turut berada beberapa kaki di belakang Azmin. Melihat akan kedatangan Arisa, Arman terus mendapatkannya. Nyata benar dia juga takut melihat kemarahan yang dilemparkan Izhar terhadap adiknya.

Bahu Arman dipeluk kuat oleh Arisa. Pertama kali melihat keadaan Izhar begitu, tidak keruan jadi hatinya yang sudah cemas tadi.

"Abang!"

"Kenapa tak cakap yang Amin pecahkan pasu ni?"

"Icha dah bagitau tadi, abang kata..."

"Icha tak kata pun Amin pecahkan pasu antik ni! Icha tahu berapa harga pasu ni?" Izhar menunduk, memungut sekeping serpihan pasu di atas lantai.

"Dan yang paling penting, ini pasu kesayangan mama. Pasu yang abang hadiahkan buat mama daripada hasil tulang empat kerat abang sendiri. Bersusah payah abang kumpul duit dengan kerja basuh pinggan kat restoran masa abang kat oversea dulu semata-mata nak beli hadiah ni buat mama, sekarang apa dah jadi?"

Arisa menahan nafas. Bukan menahan sebenarnya, tapi nafasnya terasa tersekat-sekat bagai tidak mahu keluar. Sesak jantungnya dengan amukan Izhar terhadap Azmin yang langsung tidak berani mengangkat muka. Perlahan air matanya gugur satu per satu.

Memang Azmin bersalah. Tetapi bukan disengajakan. Kini, Arisa juga tidak dapat hendak menolong, tidak berani lagi hendak membuka mulut untuk memujuk Izhar. Salahnya juga membiarkan adik-adiknya berkejaran tadi sehingga berlakunya insiden itu.

"Sekarang, apa Amin nak buat? Boleh ganti pasu ni balik?" soal Izhar sinis dan menyakitkan di telinga Arisa dan sudah tentu juga adik-adiknya. "Boleh ke nak ganti?" bentak Izhar. Serpihan pasu di tangannya dilemar ke arah Azmin penuh geram.

KOPI LADYKU by Ainul HazrahWhere stories live. Discover now