"IZ tengoklah ni." Baidura menghulurkan sebuah sampul surat besar kepada Izhar. "Kak Dura tak nak cakap banyak, Iz bacalah sendiri apa yang ada kat dalam tu!"
Sampul surat diterima Izhar dengan sebuah keluhan halus. Dia sudah dapat mengagak apa isi kandungan sampul itu. Nek Da dan Baidura benar-benar telah melakukan apa yang dikatakan kepadanya dahulu.
"Nanti-nantilah Iz tengok," ujar Izhar kembali tersenyum. "Kita makan dulu ya? Makanan semua dah siap." Masih lagi Izhar memujuk kaka dan neneknya untuk makan di rumahnya. Jika dia sudah disingkirkan dari syarikat sekalipun tidak bermakna ikatan persaudaraan mereka akan terputus.
"Ikut suka Izlah! Kalau tak makan nanti, kata kami tak sudi pulak." Nek Da yang sedari tadi membiarkan Baidura menjalankan tugasnya kembali bersuara. Kasihan juga dia untuk menolak ajakan Izhar buat kedua kalinya.
"Iz... Kak Dura nak ke bilik air kejap!" ujar Baidura seraya bangun dari tempat duduknya.
"Kak Dura mengandung?" soal Arisa sebaik saja Baidura mahu memulakan langkahnya. Teruja dia melihat perut Baidura yang sah-sah lebih besar dari biasa. "Dak berapa bulan?"
"Dah empat bulan. Kak Dura ni dah berumur, kenalah beranak cepat. Lainlah Icha tu, muda lagi! Nak tunggu sepuluh tahun lagi pun boleh. Tapi ingat sikit, suami Icha tu pun bukannya muda sangat, jangan sampai kerepot baru nak dapat anak."
Arisa tersenyum kelat, cuba membuang jauh-jauh perasaan kecil hatinya. "Insya-ALLA, Kak Dura... kalau ada rezeki kami nanti, adalah."
Baidura menjeling tajam. Cepat dia melangkah ke bilik air. Meluat dia dengan perangai Arisa yang buat-buat baik.
"Icha ni merancang ke?" Soalan yang keluar daripada bibir Nek Da membuahkan tawa di bibir Arisa. Namun tawanya perlahan-lahan surut bila Nek Da mendengus kasar dan memalingkan wajahnya.
"Daklah nenek." Perlahan suara Arisa. Dia memang tidak merancang, tetapi dia juga tidak mungkin akan menimang cahaya mata seperti yang diimpikan.
"Okey! Makanan dah siap. Jemputlah, nek... jom kita makan," ajak Izhar. Dia berganjak ke cermin besar di tepi dinding. Sikat dan cekak rambut Arisa yang terletak dia atas meja di situ dicapai. Siap rambut Arisa disikat, cekak rambut beriben kecil warna ungu itu dikenakan dikepalanya.
"Dah siap!"
"Abang!" Tangan Izhar yang mahu berlalu dipegang Arisa. "Kita makan kat sinilah," bisiknya.
"Mana voleh..."
"Tapi..." Arisa tidak mahu Nek Da dan Baidura tahu akan keadaannya. Jika dia dibawa dengan kerusi roda ke meja makan nanti pasti semua rahsia yang disembunyikan akan terbongkar.
"Kita berserah saja, sayang!" Izhar bangun juga untuk mengambil kerusi roda Arisa. Tidak ada apa lagi yang dapat mereka lakukan melainkan berserah. Mungkin sudah tiba masanya untuk Nek Da dan Baidura tahu akan keadaan Arisa yang sebenarnya!
"Kenapa nek?" Baidura yang baru keluar dari bilik air berbisisk kepada Nek Da. Masam kelat dilihatnya wajah Nek Da merenung tajam kepada Izhar ketika adiknya lalu di tepi wanita itu tadi.
"Meluat nenek tengok! Dahlah tak buat satu apa, rambut dia pun Iz sikatkan!"
Spontan Baidura memandang Arisa. Memang lupa diri nampaknya Arisa. Jika mendapat kesempatan tentu akan direjam-rejamnya muka Arisa ke dalam mangkuk tandas. Melampau-lampau sangat adik iparnya itu!
Kemarahan Nek Da dan Baidura mula diganti dengan seribu tanda tanya bila melihat sebuah kerusi roda dari dalam bilik. Untuk apa pula kerusi itu? Kedua-duanya saling berpandangan sebelum kembali menyorot pandangan ke arah Izhar dan Arisa.
YOU ARE READING
KOPI LADYKU by Ainul Hazrah
RomanceSekadar berkongsi. Berminat? Silalah beli. https://play.google.com/store/books/details/AINUL_HAZRAH_KOPI_LADYKU?id=6GOLCwAAQBAJ Arisa kata, dia Puteri Duyung! Kata Izhar, Arisa Dayang Senandung! Hakikatnya, Arisa hanyalah anak nelayan yang tinggal d...