JIKA Nek Da dan Baidura terkejut Arisa mahu pulang ke kampung semalam, apatah lagi Izhar. Sepulangnya pagi tadi, Izhar tercari-cari wajah yang amat dirinduinya itu, tetapi malangnya kelibat Arisa langsung tidak kelihatan.
"Icha balik kampung!"
Termangu-mangu Izhar bila diberitahu Nek Da yang Arisa sudah pulang ke kampung. Sedikit pun dia tidak terfikir yang Arisa akan bertindak begitu.
"Nenek tak halang dia ke?"
"Dura ada juga tanya sama ada Iz izinkan dia atau tidak, tapi dia kata Iz tak kisah dan dia akan beritahu Iz. Takkan dia tak beritahu Iz?" soal Nek Da curiga. Entah-entah betul sangkaannya yang Arisa dan cucunya itu bergaduh lagi.
"Petang semalam Iz call dia, tapi dia tak angkat. Dia ada call Iz balik malam semalam, tapi Iz tengah seminar. Iz tutup handphone. Lepas seminar tu baru tengok ada missed call. Nak call balik dah lambat, tak naklah kacau dia."
"Iz gaduh lagi ke? Icha tu nampak macam masih berkecil hati lagi pada Iz."
"Kecil hati?" Izhar menggaru kepalanya. Mustahil dia akan memberitahu Nek Da apa yang berlaku malam sebelum dia berangkat ke Johor.
"Yalah... dia kata bila Iz cuti, Iz bolehlah jemput dia. Itu pun kalau Iz masih nakkan dia di sini."
"Entahlah, nek... Iz pun tak tahu nak cakap apa!" Izhar mengeluh panjang, bagai ada sesuatu yang berat sedang dipikulnya. "Sebelum Iz pergi semalam pun, Iz dah rasa semacam. Berat sangat nak tinggalkan Icha, rasa sebak pun ada. Tak sangka pula dia nak pergi macam ni."
"Habis tu, macam mana sekarang?"
"Iz ingat nak balik Penang. Hati ni rasa tak sedap saja, nek."
"Eloklah tu. Tapi, bawa kereta tu elok-elok nanti. Banyak-banyaklah bersabar, banyak beristighfar. Ingat ALLAH. Insya-ALLAH semuanya selamat nanti," pesan Nek Da panjang lebar. Risau dia jika Izhar tenggelam punca dan memecut laju kerana ingin cepat bertemu Arisa.
***********************************************************************************************
SUDAH pukul 2.30 petang ketika Izhar sampai ke kampung Arisa. Dalam perjalanan tadi, dia langsung tidak berhenti di mana-mana hentian pun kerana ingin cepat berjumpa Arisa. Sebelum terus ke rumah mertuanya, Izhar berhenti dulu di masjid terapung untuk solat zohor. Biarlah dia lebih tenang untuk bersua Arisa nanti. Dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan yang sudah sedia tegang.
Sampai di rumah Muiz, Izhar diberitahu oleh Azizah yang Arisa tiada di rumah. Lebih menggemparkan lagi, Arisa mengikut ayahnya menangkap ikan di laut!
Hampir sejam menunggu, kelibat bot Muiz belum juga kelihatan. Izhar mundar-mandir di tepi pantai. Berdebar-debar hatinya menunggu kepulangan Arisa dan Muiz. Semakin berdebar hatinya bila hari yang panas terik tiba-tiba mendung bagaikan mahu hujan dengan angin yang bertiup kencang. Pemandangan pulau juga kelihatan berbalam-balam seperti dilindungi kabus tebal tanda hujan telah turun di situ.
Izhar berlari ke dalam rumah, Azizah didapatkannya.
"Mak, nampak macam ribut nak datang. Kat tengah laut sana dah gelap sangat."
Azizah menjengah keluar pintu. Sungguh apa yang dikatakan Izhar, langit kelihatan gelap dan laut pula berombak kuat menghempas pantai. Risau hatinya, kelibat suami dan anaknya masih belum kelihatan!
***********************************************************************************************
"AYAH... kuatnya angin!" Risau hati Arisa bila hari yang panas terik tiba-tiba menjadi gelap bila matahari dilitupi awan mendung yang ditiup angin itu.
YOU ARE READING
KOPI LADYKU by Ainul Hazrah
Lãng mạnSekadar berkongsi. Berminat? Silalah beli. https://play.google.com/store/books/details/AINUL_HAZRAH_KOPI_LADYKU?id=6GOLCwAAQBAJ Arisa kata, dia Puteri Duyung! Kata Izhar, Arisa Dayang Senandung! Hakikatnya, Arisa hanyalah anak nelayan yang tinggal d...