SEPERTI yang inginkan Arisa dulu, dia kini melanjutkan lagi pengajiannya ke peringkat PHD pula setelah berjaya mendapatkan segulung ijazah. Walaupun kini tanggungjawabnya lebih besar setelah bergelar ibu, dia tidak pernah lelah menjalankan kewajipannya untuk belajar dan melayan keluarganya. Cuma bila tiba musim peperiksaan, seperti biasalah mereka akan sama-sama makan lauk kedai.
"Kami nak keluar beli makanan. Icha nak makan apa?" soal Izhar beriringan dengan Aris, permata hati mereka. Arisa begitu leka menelaah pelajarannya.
"Apa-apa sajalah. Icha tak kisah!"
"Okeylah, kami pergi dulu. Bye sayang!" Izhar menunduk dan mencium dahi Arisa. Begitu juga Arisa, dia turut mencium pipi Izhar.
"Emak sayang ayah saja?" soal Aris yang sudah berusia empat tahun. Sama saja becok mulutnya seperti Arisa.
"Mestilah nak cium buah hati emak ni!" Arisa memeluk Aris. Kedua-dua pipi anak kecil yang comel itu diciumnya penuh kasih.
"Bye sayang!" ujar Aris mengulangi kata-kat Izhar membuat Arisa tergelak besar. Dicubit-cubitnya perlahan pipi anak kecil itu sebelum anak itu dibawa pergi oleh Izhar.
"Abang!" panggil Arisa sebelum Izhar jauh meninggalkannya. "Pari bakar satu!"
"Okey!" jawab Izhar dengan senang hati. Apa saja kemahuan Arisa jarang sekali dibangkangnya. Apatah lagi dia sendiri memang sukakan ikan itu.
***********************************************************************************************
IZHAR memasukkan lauk-pauk yang dibelinya satu per satu ke dalam mangkuk. Siap semua lauk terhidang, dia segera berlalu mendapatkan Arisa untuk mengajaknya makan. Seperti yang dijangka, Arisa bukannya menelaah, tetapi sedang menganyam mimpi. Perlahan-lahan Arisa dikejutkannya.
"Hai...lah! Emak siapalah yang rajin sangat baca buku ni?" usik Izhar setelah Arisa membuka matanya.
"Emak siapa lagi... emak Arislah," jawab Aris bersahaja. Ketawanya terus pecah bila Arisa pura-pura memasamkan mukanya.
"Bukan main nakal lagi anak emak ni! Belajar dari ayahlah ni!" Semakin kuat ketawa Aris bila dia digeletek oleh Arisa.
"Apa pula abang? Ichalah! Kan Icha yang selalu kenakan abang?"
"Tak mengaku konon!" Tubuh kecil Aris terus dicempung Arisa dan dibawanya ke ruang makan. Sedari tadi perutnya memang sudah berkeriuk. Aris didududkkan di kerusi kecil yang dikhaskan buatnya. Melihat makanan yang sudah terhidang tidak sabar Arisa untuk menjamahnya.
Seketul ikan pari bakar diangkat dan diletakkan ke dalam pinggan Izhar sebelum dia mengambil seketul untuk dirinya sendiri.
"Abang tak mahulah ikan ni. Hanyirlah!" Ikan yang baru diletakkan Arisa ke pinggannya terus diletakkan semula oleh Izhar ke tempat asalnya, sedikit pun tidak menjamah ikan itu.
Ikan itu diangkat Arisa dan diciumnya. "Mana ada, tak hanyir pun!" komen Arisa dengan kening yang hampir bertemu. "Mengada-ngadalah abang ni!"
"Bukan abang mengada, memang hanyir pun ikan tu hari ni." Izhar menolak bekas berisi ikan bakar itu supaya lebih jauh daripadanya. Bau ikan itu memang meloyakan tekaknya. "Abang tak boleh nak makanlah. Kalau makan mesti muntah nanti. Ni pun dah terasa dekat tekak dah ni."
"Abang nak muntah?" Arisa merenung Izhar. Sesuatu kembali terlayar di matanya. Beberapa tahun dulu pun, Izhar muntah kerana makan ikan pari bakar. Huh! Bagai De javu! De javu? Spontan Arisa memegang perutnya. Haidnya memang belum datang.
"Abang!" panggil Arisa dengan tangan yang masih melekat perutnya. "Abang rasa... Aris nak dapat adik ka?"
"Adik?" Mata Izhar tertancap ke perut Arisa. Terbeliak matanya seketika. "Betul Aris nak dapat adik?"
Arisa mengangkat bahu. Dia memang tidak pasti, tetapi firasatnya kuat mengatakan yang dia kini berbadan dua.
Izhar tersenyum, matanya kembali mencari ikan pari bakar di dalam mangkuk. Kali ini, dia benar-benar terasa meloya. Cepat dia bergegas ke bilik air sebelum isi perutnya terburai di meja makan itu.
Arisa menarik nafas dalam-dalam. Wajah Tengku Mohd Aris dipandangnya dengan senyuman lebar. "Aris nak adik?"
"Nak... nak... nak!" jawab Aris cepat sambil membalas senyuman emaknya.
Arisa mencium Aris. Dengan rasa penuh kesyukuran, bekas ikan pari bakar dibawanya ke dapur. Dia akan makan ikan itu bila dia bersendirian nanti walaupun dia sebenarnya sudah tidak sabar untuk meratahnya.
Demi Izhar, dia mesti bersabar. Sudah cukuplah dia terseksa kerana ikan itu! Apalah sangat keinginannya jika hendak dibandingkan dengan segala yang diberikan Izhar kepadanya selama ini. Amat bersyukur dirinya kerana telah dikurniakan suami yang sebaik dan setabah Izhar. Sungguh dia amat bahagia di samping Izhar, di samping keluarganya yang akan membesar dan terus membesar.
YOU ARE READING
KOPI LADYKU by Ainul Hazrah
RomanceSekadar berkongsi. Berminat? Silalah beli. https://play.google.com/store/books/details/AINUL_HAZRAH_KOPI_LADYKU?id=6GOLCwAAQBAJ Arisa kata, dia Puteri Duyung! Kata Izhar, Arisa Dayang Senandung! Hakikatnya, Arisa hanyalah anak nelayan yang tinggal d...