20

124 8 0
                                    

ARISA terus mendongak untuk melihat dengan lebih jelas, malang Izhar yang terpacak di hadapannya menghalang untuk dia melihat lebih jauh.

"Encik Iz, tepilah sikit!" Tidak sabar, Arisa terus menolak sedikit bahu Izhar. Wajah Arisa yang tadinya bagai ayam hilang anak terus bercahaya. "Ya ALLAH! Kita balik rumah Icha? Encik Iz... Terima kasih!" jerit Arisa keriangan.

Tanpa sedar, lengan Izhar terus dipegang Arisa yang melompat-lompat keriangan. Seronok bukan kepalang bila Izhar sudi menghantarnya pulang ke rumah.

"Terima kasih, Encik Iz!" ucap Arisa sekali lagi sambil terus menggenggam tangan Izhar.

 "Awak ni bila nak beromantik selalu saja sakitkan saya."

Melopong Arisa seketika. Apa pula yang romantiknya? Dia hanya sedang bergembira sebab dapat pulang bertemu keluarganya.

"Sakit tau! Kalau betul pun nak berterima kasih, bagi ciuman ke, peluk ke lailah juga! Ini tak, sampai lebam tangan saya awak kerjakan."

Spontan Arisa melepaskan tangan Izhar daripada cengkamannya. Memerah lagi tangan Izhar. Sama seperti semasa dia menyangka yang dia ditinggalkan oleh Izhar di pejabat dahulu. 

"Kenapa ni?" soal Nek Da yang baru turun dari kereta. 

"Tengoklah, nek!" Izhar terus menghulurkan tangannya kepada Nek Da mengadu akan hal Arisa. "Seronok sangat pun susah! Habis merah tangan Iz ni!"

"Hmm... yang tu pun nak gaduh!"

"Sorry, Encik Iz!" pinta Arisa masih dengan sengihan lebar. Keadaan Izhar sedikit tidak mencalarkan kegembiraannya. "Alah, sat lagi hilanglah tu..." sambung Arisa selamba sambil berlalu ke belakang kereta. Beg pakaiannya segera dicapai sebelum kembali ke sisi Nek Da dan Izhar. 

"Jom, Nek Da kita pi rumah Icha," ajak Arisa masih dengan senyuman yang tidak terlepas daripada bibirnya.

"Rumah Icha kat belakang ni saja," beritahu Arisa sambil menunjuk ke arah rumahnya yang terletak di belakang rumah yang berada di hadapan mereka. Ayahnya dan tetamu yang datang selalu meletakkan kereta mereka di situ kerana kawasan di situ lebih lapang dan tidak terlalu hampir dengan laut. 

"ALLAH! Icha... nenek tak boleh nak laju, tanah ni gembur sangat. Tenggelam kaki nenek ni. Nenek ni dahlah berat." Dengan berpegang pada bahu Arisa, Nek Da bertatih perlahan-lahan mengikut gadis itu. 

"Tanah kat tepi laut macam nilah, Nek Da. Kat rumah Icha pun macam nilah tanah dia. Nek Da nak naik wheel chair?"

"Tak payahlah, Icha... bukannya jauh mana pun. Lagipun boleh jalan ke wheel chair dengan tanah macam ni?" 

"Hmm... susahlah sikit! Hah! Apa kata kalau Nek Da suruh Encik Iz saja dukung Nek Da, cepat sikit," usik Arisa dengan ketawa nakal membuat Izhar menarik muka panjang.

"Hilang akal apa awak? Baik saya tolak wheel chair tu, walaupun susah sikit, dah tentu boleh sampai. Kalau saya nak kendong nenek ni alamat sejam lagipun belum tentu sampai rumah awak."

"Alah, Icha... kalau nak kendong nenek memanglah tak boleh, cuba kalau suruh dia kendong anak dara, boleh memanjang, laju aje!" sindir Nek Da membuat Arisa ketawa terbahak-bahak. Semakin seronok dia bila Nek Da pula mengenakan Izhar.

"Eh! Kak Dura dengan Didi tak mau pi rumah Icha ka?" Baru Arisa perasan Baidura dan Adila masih lagi berada di dala kereta, belum keluar sedari tadi. Mungkinkah keduanya tidak mahu ke rumahnya yang begitu daif dan jauh berbeza dari rumah mereka?

"Dia orang nak ambil barang tu, kejap lagi datanglah."

"Ooo..." Arisa mengangguk tanda faham. Tidak mungkin Baidura tidak mahu ke rumahnya. Baidura bukannya tidak biasa dengan keadaan rumah Arisa. Cuma Nek Da dan Adila yang memang tidak pernah melihat dan tahu keadaan rumahnya.

KOPI LADYKU by Ainul HazrahWhere stories live. Discover now