SUDAH seminggu lebih sejak mereka semua pulang dari bercuti. Arisa kini terus menjalankan kerjanya seperti biasa, begitu juga dengan yang lain.
Berdebar-debar hati Arisa bila dia dipanggil Baidura ke biliknya. Mereka telah berjanji untuk menghubungi ayahnya untuk mengetahui keputusan peperiksaan yang telah diumumkan pada hari ini.
"Kak Dura telefon ayah Icha sekarang ya?"
Arisa mengangguk laju. Dia sebenarnya sudah tidak sabar untuk mengetahui keputusan yang diperolehnya.
Setelah panggilan dijawab, Baidura terus menyerahkan telefon itu kepada Arisa. Begitu tekun Arisa mendengar setiap apa yang diveritahu oleh ayahnya sementara tangannya pula tekun menyalin keputusan yang disampaikan kepadanya.
"Macam mana?" soal Baidura tidak sabar. Daripada gaya percakapan dan senyuman Arisa semasa berbual dengan ayahnya tadi amat menyakinkan Baidura yang Arisa telah mendapat keputusan yang baik.
Arisa tidak menjawab, cuma pancaran matanya menunjukkan yang dia amat gembira dengan berita itu. Kertas yang ditulis dengan keputusan peperiksaannya diserahkan kepada Baidura.
"Hebatnya!" komen Baidura setelah meneliti kertas itu. Arisa bukan sahaja lulus, tetapi agak cemerlang keputusannya dengan mendapat 8A dan 3B. "Tahniah, Icha!" ucap Baidura sambil memeluk erat tubuh Arisa. Bangga dia dengan pencapaian Arisa.
"Pandainya adik Kak Dura ni. Lepas ni bolehlah masuk universiti. Icha dah isi borang kat web IPT tu, kan?"
"Dah."
"Malam nanti kita kemas kini permohonan tu ya? Icha kena tengok betul-betul kursus apa yang sesuai dengan Icha. Tapi, Kak Dura rasa mesti tak ada masalah sebab keputusan Icha pun bagus. Kursus..."
Mati kata-kata Baidura bila telefon bimbitnya berbunyi. Tersenyum dia melihat nama pemanggilnya. "Iz! Mesti dia nak cakap dengan Icha!" Telefon itu terus diserahkan kepada Arisa setelah menekan butang untuk menjawab.
Tepat seperti sangkaan Baisura, Izhar memang menelefon untuk mengetahui keputusan peperiksaan Arisa. Seperti Baidura, Izhar juga amat bangga dengan pencapaian Arisa. Daripada apa yang diceritakan Adila tentang kebolehan Arisa ketika menolong dia menelaah pelajaran, sudah dapat diagak yang Arisa memang seorang pelajar yang cemerlang!
Bukan sahaja Baidura dan Izhar, malah seisi rumah amat berbangga dengan pencapaian Arisa.
Malamnya, Baidura dan Izhar membantu Arisa untuk mengemas kini borang permohonan kemasukan ke universiti. Arisa cuma mengikut kehendak keduanya walaupun hatinya berat untuk melanjutkan pelajaran. Kebajikan adik-adiknya harus diambil kira sebelum dia meneruskan niat untuk belajar lagi.
***********************************************************************************************
TERKEJUT Arisa bila diberitahu oleh Nek Da yang dia ingin membuat majlis kesyukuran buat Arisa pada hujung minggu itu. Alangkah bertuahnya dia! Dan alangkah baiknya jika saat-saat begini dapat diraikan bersama-sama dengan mak ayah dan adik-adiknya.
"Tak payahlah susah-susah Nek Da. Bukannya apa sangat. Keputusan Icha pun bukannya bagus sangat, bukannya dapat straight A pun."
"Apa tak bagus? Baguslah tu!" tingkah Nek Da tidak setuju dengan kata-kata Arisa. "Icha patut bersyukur sebab dah dapat keputusan baik macam tu."
"Memang Icha bersyukur sangat, Nek Da. Tapi, Icha tak rasa keputusan tu dapat menolong Icha pi jauh."
"Kenapa pula?" soal Baidura mula tertarik dengan perbualan neneknya dan Arisa.
"Icha... sebenarnya Icha tak fikir pun nak sambung belajar lagi."
"Tak nak belajar lagi? Kenapa?" Izhar pula menyoal dengan perasaan pelik. "Bukan senang nak dapat keputusan macam tu, kenapa pula tak nak sambung belajar? Awak tahu pelajaran tu penting untuk masa depan!"
YOU ARE READING
KOPI LADYKU by Ainul Hazrah
RomantiekSekadar berkongsi. Berminat? Silalah beli. https://play.google.com/store/books/details/AINUL_HAZRAH_KOPI_LADYKU?id=6GOLCwAAQBAJ Arisa kata, dia Puteri Duyung! Kata Izhar, Arisa Dayang Senandung! Hakikatnya, Arisa hanyalah anak nelayan yang tinggal d...