"AWAK jangan merempit tau!" Arisa memberi peringatan sebelum mereka mula bergerak.
"Tak adalah, puan. Mahunya kena kerat dengan doktor tu kalau merempit dengan motor dia ni. Kalau puan nak tahu, motor ni kita orang panggil Miss Chawi. Dalam kawasan ni tak ada motor lain yang lebih cantik lagi dah."
Arisa ketawa senang mendengar celoteh Muslihin yang begitu berhati-hati sekali menunggang motosikal. Adalah patut motor diberikan gelaran Miss, macam ratu cantiklah pulak! "Dah tak dak perempuan cantik ka sampaikan motor pun boleh dapat gelaran Miss Chawi?"
"Sebelum ni tak ada. Tapi hari ni ada."
"Pasal apa pulak hari ni baru ada?"
"Sebab saya baru nampak puan hari ni. Saya rasa setakat ni puanlah yang paling cun kat sini."
"Err... ni mesti kes bodek ni. Pandai awak!"
"Manalah tahu kalau-kalau boleh naik gaji."
Arisa dan Muslihin sama-sama ketawa. Serasi benar nampaknya mereka berdua. Baru sahaja berkenalan, namun sudah terlihat kemesraannya. Tentu saja mudah mesra kerana Arisa juga sebenarnya bukan berasal dari golongan berada, bahkan kehidupan pekerja-pekerja ladang itu mungkin lebih baik daripada kehidupannya sebelum ini.
"Eh! Stop... stop!"
"Kenapa puan?" soal Muslihin kalut seraya memberhentikan motosikal. Nasib baik tidak laju jika tidak mahunya Arisa melekat di tubuhnya bila berhenti mendadak begitu.
"Saya nampak mempelam, besar!"
"Aduh!" Muslihin menepuk dahi. Terkejut dia bila disuruh berhenti tadi. Difikirkan ada sesuatu yang tidak kena tadi, rupa-rupanya hanya kerana Arisa nampak buah mangga besar.
"Mana?" soal Muslihin lagi setelah turun dari motornya.
"Tu!" Arisa berpatah balik beberapa meter sambil menunjuk ke arah buah yang dimaksudkannya. Memang besar buat itu! "Awak tolong ambilkan."
Tanpa banyak soal, Muslihin terus memanjat pokok mangga yang tidak berapa besar itu. Sekejapan sahaja dia turun semula dengan buah mangga di tangannya.
""Besarnya! Kenapa saya tak perasan buah ni masa memetik tadi? Tapi, buah ni pun dah tak boleh dieksport sebab dah terlebih tua, nak kuning dah hah, sehari dua lagi dah boleh makanlah ni."
"Macam ni nak minta naik gaji? Buah mempelam besar buah nyok ni pun tak nampak!" Seloroh Arisa mengusik Muslihin. "Dah berapa lama awak kerja kat sini?"
"Saya kerja sementara saja. Bila cuti sem saya kerjalah, dapat juga duit poket."
"Awak belajar lagi?"
Muslihin mengangguk sebagai memberi jawapan.
"Kat mana?"
"UPM."
"Oh! Budak U lah ni!" Arisa tersenyum. "Lepas keluar nanti bolehlah awak jadi penolong Doktor Jamal ya!"
"Harap-harap macam tulah. Kalau boleh, saya pun nak tinggal kat sini dan tolong memajukan kawasan ni. Lagipun majikan kami kan baik. Isteri dia pun baik." Dalam serius Muslihin mula mengusik Arisa. Memang harapannya besar untuk menolong membangunkan ladang itu. "Lagipun saya sebenarnya penegang dana pembelajaran dari TMH, takkan senang-senang saya nak cari kerja kat tempat lain dan lupakan jasa baik TMH."
"TMH tu apa?"
"Teguh Makmur Holdingslah."
"Ooo! Sebutlah bagi penuh, mana saya tahu!" Rupa-rupanya masih banyak yang Arisa tidak tahu tentang syarikat dan keluarga suaminya. Lagipun sebagai tukang sapu, dia bukannya tahu menahu tentang hal pengurusan syarikat.
"Ramai juga anak-anak pekerja ladang dan kakitangan syarikat yang berkhidmat lebih dari lima tahun mendapat dana itu. Kami ni orang susah, semuanya tu rahmat yang amat besar buat kami. Lainlah orang kaya macam puan."
Arisa menelan air liur mendengar kata-kata Muslihin. Nampaknya, semua orang di situ tidak tahu dari mana asal usulnya. Tujuan dia berkahwin denga Izhar juga adalah untuk mendapatkan 'dana' bagi melanjutkan pelajarannya.
"Saya pun bukannya orang senang!" rintih Arisa perlahan. "Eh, jomlah balik. Nanti suami saya saman awak, baru tau. Kalau dia terus sack awak, baru padan muka! Dana awak pun hilang sekali!"
"Eh, janganlah macam tu, puan..." Pantas Muslihin melompat ke atas Miss Chawi. Segera mereka berlalu pergi setelah Arisa kemas di tempat duduknya.
***********************************************************************************************
"ABANG..." panggil Arisa dari jauh bila ternampak kelibat Izhar di beranda rumah. Tangannya turut melambai-lambai ke arah Izhar. Dia terus melompat turun sebaik sahaja motosikal diberhentikan Muslihin.
"Terima kasih, Mus!"
"Sama-sama." Muslihin berlalu pergi setelah meminta diri daripada Izhar.
"Hei, jaga Miss Chawi tu elok-elok. Jangan sampai awak kena kerat nanti," jerit Arisa sambil berlari-lari anak mendapatkan Izhar.
"Abang... Pasal apa dok sorang-sorang ni?"
"Dah Icha tak ada, abang duduk sorang-soranglah!" sinis bicara Izhar. Mungkin mahu mengusiknya, fikir Arisa.
"Abang... tengok, Icha dapat mempelam besar. Mus kata, esok lusa bolehlah makan. Hmm... wanginya buah ni. Bau pun dah sedap sangat!" Mangga itu terus didekatkan Arisa ke hidung Izhar, namun sedikit tidak mendapat reaksi daripada suaminya.
"Pasal apa ni?"
"Mangga yang elok macam tu bukan untuk dipetik sesuka hati. Buah tu untuk dijual. Kalau semua mangga tu nak dimakan, apa yang tinggal untuk dijual? Tak cukup lagi buah yang Pak Jamal simpan tu sampai nak kena petik sendiri lagi?"
Soalan sinis Izhar membuat hati Arisa yang tadinya begitu riang melihat Izhar yang disangka sedang menunggu kepulangannya terus tercampak jauh. Ranap terus semua keriangannya.
"Alah, sebiji saja!" Dengan nada yang amat perlahan, Arisa cuba membela dirinya.
"Kenapa tak bawa balik satu ladang tu terus?" dengaus Izhar kasar sebelum melangkah ke dalam bilik, meninggalkan Arisa terpacak sorang-sorang di situ.
'Besar sangatkah kesalahan aku? Manalah aku tau ada larangan untuk petik buah sesuka hati.' Arisa mengeluh panjang. Jika dia tahu begitu keadaannya tidak mungkin dia akan berani-berani menyuruh Muslihin mendapatkan buah itu. 'Si Muslihin ni pun satu, bagitaulah yang buah tu tak boleh petik. Ni dia buat bodoh saja sampai aku kena marah.'
Arisa beredar ke dapur untuk menyimpan buah mangga itu sebelum melangkah ke biliknya untuk memujuk Izhar yang kelihatan begitu marah.
"Abang... Icha minta maaf," pinta Arisa perlahan sambil mendongak melihat Izhar yang berdiri di tepi tingkap bilik. "Pasal apa abang tak bagitahu awal-awal yang buah kat ladang tu tak boleh petik ikut suka hati? Kalau Icha tau, Icha pun tak petik tadi..."
Seolah-olah tidak mendengar kata-kata Arisa, Izhar terus berlalu dan berbaring di atas katil. Matanya terpejam bagaikan sedang keletihan yang amat sangat.
Arisa mengikut Izhar ke katil dan duduk di situ. Tangan Izhar dipicit-picitnya perlahan walaupun dia tidak dipedulikan oleh suaminya itu. "Macam mana dengan Ku Elina? Tangan dia teruk ka?"
Masih saja Izhar berdiam diri bagaikan patung. Sedikit pun tidak mengendahkan perbuatan dan kata-kata Arisa.
"Abang peluk dia dak?" soal Arisa cuba menyakat. Mana tahu jika Izhar akan lembut hatinya?
"Apa Icha peduli kalau abang peluk dia sekalipun? Icha peluklah jantan mana yang Icha suka!"
Mati serta-merta senyum nipis yang mula terlarik di bibirnya. Mata Izhar yang melekat di wajahnya bagaikan menyiat-nyiat kulit mukanya.
"Abang..." Arisa ingin membela dirinya, tetapi niatnya terus padam bila Izhar mengiringkan tubuhnya ke arah lain dan menutup kepalanya dengan sebiji bantal tanda dia tidak mahu mendengar apa saja penjelasannya.
Sesal sekali hati Arisa. Hanya kerana sebiji mangga, dia dimarah sampai begitu sekali. Apa yang dia tidak tahu, kemarahan Izhar bukan kerana mangga yang dipetiknya, tetapi kerana marahkan Arisa yang membonceng motosikal dengan Muslihin!
YOU ARE READING
KOPI LADYKU by Ainul Hazrah
Storie d'amoreSekadar berkongsi. Berminat? Silalah beli. https://play.google.com/store/books/details/AINUL_HAZRAH_KOPI_LADYKU?id=6GOLCwAAQBAJ Arisa kata, dia Puteri Duyung! Kata Izhar, Arisa Dayang Senandung! Hakikatnya, Arisa hanyalah anak nelayan yang tinggal d...