48

112 6 0
                                    

IZHAR dan semua kaum Adam yang lain keluar untuk menunaikan solat fardu Jumaat. Siap memasak, kaum Hawa yang tinggal di rumah pula sibuk menunaikan kewajipan masing-masing terhadap ALLAH S.W.T.

Arisa duduk termenung di tingkap biliknya. Tempat yang paling menenangkan. Pandangannya amat cantik dirasakan sejak dia datang ke situ. Namun, sejak tengah hari tadi tempat itu tidak lagi dapat menenangkan hatinya yang walang. 

Daripada duduk memikirkan masalahnya yang entah bila akan selesai, Arisa beransur ke dapur. Pasti ada sesuatu yang boleh dilakukannya sementara menunggu yang lain siap bersolat. Sekejap lagi semua orang akan berhimpun untuk makan tengah hari, ada baiknya dia mula menyediakan minuman.

Walaupun Arisa sibuk menggodek air di dalam bekas minuman, fikirannya tetap saja tidak dapat melupakan keadaan antara dia dan Izhar. Sebagaimana laju tangannya bekerja, selaju itu juga otaknya berputar. Siap minuman dibancuh, Arisa menuangkannya ke dalam jag-jag kecil untuk dihidangkan nanti. Dua biji jag diangkat Arisa untuk diletakkan di atas meja makan.

"Wahhh!" Terlepas salah sebuah jag dari tangan Arisa bila dia tiba-tiba disergah seseorang. Cepat saja hilang semangatnya bila dia yang sememangnya tidak begitu menumpukan perhatian disergah begitu.

"Aduh!" Terdengar jeritan kuat begitu hampir di telinganya serentak dengan bunyi kaca terhempas ke lantai.

Bundar mata Arisa melihat Elina terlompat-lompat kesalitan bila jag kaca yang terlepas dari tangannya terhempas ke atas kaki Elina. Nasib baik juga kaki Elina tidak terkena serpihan kaca yang berderai di situ.

"Ku Elina..." panggil Arisa kalut, cuba menenangkan gadis itu. Jag yang masih di tangan cepat diletakkannya kembali. Ketika itu, keadaan mula ramai bila semua sudah hadir di situ termasuk juga Izhar dan kaum Adam lain yang telah pulang dari bersolat.

"Eh, tepilah bodoh!" bentak Elina sambil menepis tangan Arisa yang tergapai-gapai untuk memegangnya. "Yang kau hentak jag air ni kat kaki aku, kenapa? Apa salah aku pada kau? Kau saja nak sakitkan aku, kan? Saja nak balas dendam, kan?" 

"Dak... Icha tak niat macam tu pun!"

"Icha... apa lagi ni?" soal Izhar tidak berpuas hati. Riaknya menunjukkan yang dia sebenarnya langsung tidak memihak kepada Arisa. 

"Tak boleh ke buat perangai elok-elok sikit? Apa yang Icha tak puas hati, hah? Apa lagi yang task kena sampai buat perangai macam budak-budak ni? Tak bolehkah guna otak tu sikit." Leteran Izhar mula kedengaran.

"Abang, Icha tak sengaja.. Icha terke..."

"Tak sengaja apa?" Cepat bicara Arisa yang terketar-ketar disanggah Izhar. Tidak langsung memberi peluang buat isterinya membela diri. "Ingat orang..."

"Izhar!" Panggilan kuat Nek Da mematikan suara lantang Izhar yang masih belum berpuas hati terhadap Arisa.

Merasakan wajahnya yang pijar dan menebal, Arisa berlari ke bilik. Tidak sanggup lagi dia bertentang mata dengan semua orang di situ.

"Apa yang dah rasuk Iz ni? Takkanlah Icha saja-saja nak jatuhkan jag tu atas kaki Elina. Cubalah fikir sikit. Icha tu memang budak-budak lagi, tapi iz yang dah tua ni kenapa tak gunakan otak? Terpekik terlolong macam kena rasuk hantu. Nasib baik rumah kita dan rumah Pak Ali saja kat sini, kalau tidak malu saja pada semua orang kampung!" sembur Nek Da garang, mematikan terus kata-kata pedas Izhar.

Bukan Izhar tidak sedar yang dia agak berkasar dengan Arisa. Entah mengapa rasa sebal yang bergayut di hatinya membuat dia begitu mudah untuk naik darah dan memarahi Arisa sebelum mengambil kira kesalahan siapa sebenarnya hingga perkara itu terjadi.

"Sakit sangat ke Elina?" soal Nek Da sinis kepada Elina yang sudah didudukkan oleh Baidura di atas kerusi. "Takkan sakit lagi kot?" Mahu saja Nek Da terus menyindir Elina yang begitu lancang mulutnya memaki hamun Arisa tadi. Namun dia sedar ianya hanya akan memburukkan lagi keadaan. Sudahlah Izhar dan Arisa bertegang urat, nanti Baidura dan Fariq juga akan turut begitu.

KOPI LADYKU by Ainul HazrahWhere stories live. Discover now