16

105 9 0
                                    

ADILA menelaah pelajarannya seperti biasa. Terasa ada kekurangan bila Arisa tidak bersama dengannya ketika itu. Tumpuannya mula hilang bila mengingati kejadian antara Arisa dan abangnya. Nasib baik tadi Arisa dapat dipujuk Baidura supaya mematikan niatnya untukberpindah. Apa agaknya cerita Arisa sekarang?

Buku kerja Matematik di atas meja ditutup Adila. Laju langkahnya menuju ke bilik Arisa. Terkejut dia dengan apa yang dilihatnya setelah masuk ke bilik Arisa. Arisa kelihatan sedang mengemas pakaiannya di dalam beg yang dibawanya dari kampung dahulu.

"Kak Icha buat apa berkemas ni? Kan tadi dah cakap tak jadi nak pindah?!"

Tanpa sempat dijawab Arisa, Adila berlalu keluar. Bernafas besar Arisa bila Adila kembali lagi ke situ tidak lama kemudian bersama Izhar. Mulanya Adila ingin memanggil Baidura sekali, tapi dilarang oleh Izhar. Rasanya lebih mudah perkara ini diselesaikan di antara dia dan Arisa sahaja. 

"Icha... kenapa berkemas ni? Kan awak dah setuju nak tinggal kat sini?!" soal Izhar. "Awak bukan nak pindah, kan?" sambungnya ragu-ragu berharap jawapan yang tidak mengecewakan daripada mulut Arisa.

"Daklah, Icha bukan nak pindah. Betul kata Kak Dura, Icha tak sepatutnya pindah dari sini."

"Habis tu, buat apa berkemas?"

"Icha nak balik duduk kampung, senang cerita! Tak payah sewa rumah, tak payah naik bas... tak payah kerja!" Nampaknya kata-kata Baidura yang disangka telah melembutkan hati Arisa tadi telah membuat keadaan lebih teruk lagi. Arisa bukan sahaja mahu pindah bahkan mahu berhenti kerja dan pulang ke kampungnya semula.

"Icha... Kak Dura bukan tak benarkan awak kerja kat situ. Kak Dura cuma nak awak terus tinggal kat sini. Awak ingat senang nak dapat rumah sewa yang murah kat sini? Nanti duit gaji awak tu habis bayar sewa dan tambang ke tempat kerja saja. Itu yang dia maksudkan. Kalau awak tinggal kat sini, awak tak payah bayar sewa dan tambang. Awak boleh pergi kerja dengan Kak Dura macam selalu."

 "Pasal tulah Icha nak balik kampung. Icha tau Icha tak boleh nak hidup kat luar sana sorang-sorang. Lagipun tak lama lagi keputusan periksa pun dah nak keluar. Nati bolehlah Icha cari kerja dekat-dekat dengan rumah Icha. Tak payah pi jauh-jauh pun boleh..."

"Habis, awak tak nak sambung belajar?" potong Izhar sebelum Arisa menghabiskan ayatnya. "Bukan awak kerja ni nak kumpul duit untuk sambung belajar nanti? Hari tu awak cakap, awak dah pun isi borang kat website IPT tu, kan? Takkan sekarang dah tukar fikiran pula?"

"Kalau boleh memanglah Icha nak belajar, tapi kami ni bukannya orang kaya. Lebih baik Icha bagi peluang kat adik-adik saja. kalau Icha kerja boleh juga ringankan beban mak dan ayah nanti."

 "Awak ingat bila dah ada sijil SPM tu, senang-senang awak boleh dapat kerja yang baik? Awak kerja saja kat sini, bila dah dapat result nanti, kami boleh tukarkan awak ke jawatan lain yang lebih sesuai." Lembut Izhar memujuk, berharap ianya akan memberi kesan dan dapat menambat hati Arisa untuk terus tinggal di situ.

"Tak apalah, kalau ada rezeki, kat mana pun Icha boleh kerja. Kalau tak pun Icha keluar pi jual kuih ganti Amin dan Aman. Depa pun dah nak periksa tak lama lagi." Arisa meneruska kerja mengemas pakaiannya. Sedikit tidak tertarik dengan umpan yang dipasang Izhar. 

"Takkan awak nak kerja jual kuih? Tak... apa-apa pun awak tak boleh balik," tegas Izhar. Apa pun alasan yang diberika Arisa, dia tidak akan membenarkan Arisa pergi kerana dia tahu itu cuma alasan yang direka oleh Arisa.

 "Pasal apa pulak tak boleh balik?" 

Terpempan Izhar bila dia disoal kasar dengan pandangan Arisa yang mencanak terus ke anak matanya. Adila yang menyaksikan pergolakan antara mereka diperhatikan. Susah juga dia hendak bertegas bila ada pemerhati begitu. 

KOPI LADYKU by Ainul HazrahWhere stories live. Discover now