21

104 10 0
                                    

IZHAR kembali semula ke rumah Muiz selepas makan malam bersama keluarganya. Dia sendiri agak teruja untuk bermalam di situ buat pertama kalinya. Arman dan Azmin orang yang paling seronok dengan kedatangan Izhar. Rupa-rupanya banyak buah tangan yang dibelikan oleh Izhar buat mereka dari Cameron Highlands tadi.

"Mak, kat mana nak bagi Encik Iz tu tidur?" soal Arisa sambil memerhati sekeliling ruang rumahnya.

"Bagi dia tidur kat sinilah, kat mana lagi! Takkan nak suruh dia tidur kat dapur pulak?" Azizah yang sedang mengenakan sarung bantal menjawab acuh tak acuh. Walaupun mereka serba kekurangan, dia sentiasa memastikan rumah dan peralatan yang mereka gunakan sentiasa bersih. Apatah lagi buat tetamu yang sekali-sekala bertandang ke situ.

"Bagi dia tidur kat sini? Habis Icha?" Ternganga mulut Arisa. Jika Izhar tidur di ruang itu, takkan dia pula yang kena tidur di dapur sorang-sorang?

"Icha tidur kat dapurlah!"

"Mak, hmm... tak maulah!" rengek Arisa perlahan. Takut juga jika perbualan mereka terdengar oleh Izhar yang sedang berbual dengan ayahnya di atas pangkin di bawah pokok ubi kayu. "Tulah, ayah tu pandai-pandai saja ajak Encik Iz tu tidur sini, Icha juga yang jadi mangsa!"

"Dahlah, toong mak bentangkan tilam tu. Lapik dengan cadar ni. Buat bagi kemas-kemas sikit. Malu saja kat Izhar tu kalau tengok tempat tidur dia berserabut-serabut nanti."

"Dia tu tak pernah tidur atas tilam nipislah, mak," bebel Arisa sambil tangannya tetap mengikut perintah Azizah untuk menyiapkan tempat tidur Izhar. Ditariknya cadar supaya tegang dan disumbatkan lebihannya di bawah tilam supaya kelihatan kemas. " Dah tau malu, buat apa ajak dia tidur sini!"

"Budak ni..."

"Yalah... pasal dia Icha kena tidur kat dapur. Ni... tilam Icha ni pun dah bagi kat dia. Nanti Icha nak tidur atas apa?"

"Cik Arisa Hanum... jangan merungut sangat boleh dak? Takkan mak nak suruh Icha tidur kat dapur tu? Dah siap kemaskan tilam tu, bentang lemek ni. Buka bagi besar dan tindan dua. Nanti tak celuih pula nak tidur tiga orang kalau lipat dua macam selalu."

Selalunya setiap comforter akan dilipat dua supaya lebih tebal. Arman dan Azmin akan tidur di atas setiap satu comforter itu.

"Mak... takkan Icha nak tidur sini kot?"

"Awat, gatai sangat nak tidur sini? Sapa suruh Icha tidur situ? Ayah yang nak tidur sini. Icha masuk bilik tidur dengan mak."

"Ooo..." Arisa tersengih. Apalah bengap sangat? Tidak mungkin emak dan ayahnya hendak membiarkan dia tidur di ruang itu bersama Izhar!

"Nah, letak bantal dan selimut ni kat atas tilam tu."

Arisa mencapai bantal dan selimut yang dihulurkan emaknya. Diperhatikan seketika tilam yang sudah kemas dan sedia untuk ditiduri. Tiba-tiba dia terus meniarap dan bergulir-gulir di situ sambil mencium-cium tilamnya.

"Icha!"

Terdengar serentak suara Muiz dan Azizah memanggilnya membuatkan dia tersentap tiba-tiba. Cepat Arisa berpaling ke arah pintu. Merah mukanya bila kelihatan Izhar juga turut berada di sebelah ayahnya smbil tersengih-sengih melihat keadaannya. 

"Ya ALLAH! Apa kena dengan anak dara Zah ni?"

"Eeii... budak ni! Dah elok-elok tilam tu, habis berkedut balik. Icha ni pasal apa?" bebel Azizah tanpa mempedulikan soalan suaminya. Geram dia dengan kerenah Arisa.

"Alah, emak, ayah... kasi chancelah Icha nak manja-manja dengan tilam ni!" Arisa menjawab selamba. "Icha rindulah nak tidur atas tilam kesayangan Icha ni. Ingat malam ni dapatlah nak landing kat sini, tapi tak bolehlah pulak!"

KOPI LADYKU by Ainul HazrahWhere stories live. Discover now