45

99 5 0
                                    

"HAH, Icha! Iz mana?" Nek Da dan Kak Sal yang baru turun dari biliknya setelah diurut oleh Kak Sal menyoal bila melihat Arisa yang leka menolong Mak Lah dan Mak Marina membuat lepat pisang di dapur. Sakit kakinya kerana duduk terlalu lama di dalam kereta tadi. 

"Ada kat luar, nek dengan Pak Ali." Lepat yang sudah siap dibalut dicapai dan disusun ke dalam periuk kukus.

"Wah, sedaplah Mak Marina buat lepat pisang!" puji Adila yang berselera mengunyah lepat yang masih panas.

"Eh, budak ni! Tahu makan saja, bukannya nak tolong!" marah Nek Da pada Adila.

"Tak payah tolong, Didi. Makan saja banyak mana yang Didi nak. Banyak lagi lepat yang dah masak pada Mak Leha."

Adila terus bangun mendapatkan Mak Leha yang sedang mengemaskan bungkus lepat yang sudah masak sebelum dihidangkan. Sebiji lagi lepat diamblilnya. Memang lazat masakan Mak Marina!

"Didi tu dah kira bagus, nek... tahu juga dia yang tu lepat pisang! Sesetengah budak sekarang ni, lepat pun tak kenal, nak makan pun tak lalu. Yang dia orang thau, makan piza, KFC dan entah-entah apa lagi makanan barat tu. Kuih-kuih tradisional kita ni, dia orang tak pandang pun!"

Panjang bebelan Mak Marina. Betul katanya, ramai orang sekarang yang tidak kenal lagi kuih-muih kampung. Jangankan hendak makan, ada yang tengok pun tak pernah!

"Mak Na buat kuih apa tu?" soal Baidura sambil menuruni anak tangga ke dapur.

"Kuih apa lagi, kuih kegemaran Duralah..."

"Alah, bestnya... sayang Mak Na!"

"Sekarang ni dah ada che' abang, sayang lagi ke kat Mak Na ni?"

"Sayanglah!" jawab Baidura dengan ketawa mengekek. "Mak Na ni... kalau dah kahwin pun takkan tak boleh nak sayangkan orang lain?"

"Mana che' abang Dura tu?"

"Tidur..."

"You ni... ada sajalah!"

Perbualan mereka semua mati bila terdengar suara manja dan orang ketawa dari pintu dapur. Elina rupanya yang ketawa riang, bersama dengan Izhar. Mesra sekali kedua-duanya, bahkan Elina kelihatan menumbuk-numbuk manja lengan Izhar di sisinya.

"Hah, Iz! Dari mana kamu ni?" soal Nek Da, sadis kedengarannya.

"Saja pusing-pusing tengok rumah ni."

"Bukan kamu dengan Pak Ali tadi?"

"Ha'ah! Sambil berbual tadi kami pusing-pusing tengok rumah ni. Kata Pak Ali, dia dah upah orang untuk baiki bumbung setor kat belakang tu. Bumbung dia kemek dan berlubang sebab kena hempap kelapa hari tu," terang Izhar tentang perkara sebenarnya. Risau juga bila rata-rata mereka asyik mengerling kepadanya dan Elina. Sementara Arisa pula kelihatan biasa sambil meneruskan kerjanya.

"Si Elina ni mana datangnya pulak?"

Izhar menggaru-garu dagunya. Tak habis lagi rupa-rupanya soalan Nek Da. Sama saja nampaknya cara Nek Da dan Pak Ali yang baru dijumpanya tadi. Kalau dengan Pak Ali yang merupakan inspektor pencen itu, fahamlah Izhar. Cara percakapannya memang macam polis sedang bersoal siasat. Tapi, Nek Da yang tidak ada kena-mengena dengan polis pun sudah berjangkit dengan Pak Ali nampaknya.

"Kami jumpa masa nak masuk tadi."

Nek Da tidak menyoal lagi, cuma pandangannya jatuh ke wajah Arisa. Cuba ditebaknya perasaan cucu menantunya yang tekun membuat kerja. 'Dia ni tak ada perasaan agaknya? Buat tak peduli aje!'

***********************************************************************************************

ARISA duduk di atas bunjut polisterin yang diperbuat daripada kulit di sebeah Izhar. Bunjuti itu memang sedap diduduki kerana ia akan mengikut bentuk tubuh kita. Memang sesuai untuk bersantai dan menghabiskan masa begitu. Sambil menonton televisyen tidak henti-henti mulut mengunyah apa saja makanan yang diletakkan di hadapan mereka.

KOPI LADYKU by Ainul HazrahWhere stories live. Discover now