44

96 6 0
                                    

DARI jauh rumah ladang yang terletak di atas bukit sudah dapat dilihat dengan jelas. Rumah agam yang sebahagian besarnya diperbuat daripada kayhu dan mempunyai ukiran-ukiran halus itu kelihatan begitu mendamaikan. Bahagian beranda dan ibu rumah semuanya dibina agak tinggi di atas tiang-tiang besar yang kukuh. Hanya bahagian dapur yang kelihatan terletak di atas tanah yang sudah ditambun dan dibina setinggi dua kaki.

Terdapat juga sebatang anak sungai di hadapannya dengan dibina sebuah jambatan kayu untuk menyeberang. Kelihatan bagaikan sebuah taman yang cantik dengan pokok-pokok bunga ditanam ditebing sungai itu.

"Cantiknya tempat ni!" puji Arisa ketika sampai di perkarangan rumah itu. Pantas dia membuka pintu kereta dan melompat keluar. Sungguh nyaman tempat itu, sama seperti tempat percutian dia dan Izhar tempoh hari.

"Eh, orang jauh dah sampai!"

Arisa terus berpaling bila kedengaran suara menegur dari arah rumah. Kelihatan seorang lelaki dan wanita separuh baya sedang menuruni tangga untuk menyambut mereka. Ketika itu, Izhar sudah berada di sisinya dan terus memegang tangannya menuju ke depan tangga. Semua yang lain juga turut berhimpun di situ.

"Pak Ali, Mak Na..." tegur Izhar sambil bersalaman dengan kedua-dua suami isteri itu.

"Ini isteri kamu Izhar?" soal Mak Marina bila Arisa menyalaminya. "Comelnya!" komen Mak Marina bila Arisa tersenyum dan mengangguk bagi menjawab soalannya. Dia dan Pak Ali yang tidak dapat hadir semasa majlis resepsi pengantin tempoh hari begitu tertambat hati kepada Arisa walaupun baru pertama kali melihat gadis yang polos itu.

"Ha'ah, Mak Na... inilah Arisa, isteri Iz." Izhar turut tersenyum lebar. Daripada gaya Mak Marina dapat dirasakan yang wanita itu telah jatuh suka kepada isterinya.

"Bestnya tempat ni!" ujar Arisa bila Pak Ali dan Mak Marina beredar untuk menyambut yang lain. "Rumah ni pun bukan main besar lagi."

"Jom, kita masuk. Abang nak tunjukkan bilik kita." Sekali lagi Izhar menarik tangan Arisa untuk dibawa naik ke atas rumah pula.

Memang luas rumah itu. Ruang tamunya saja sudah hampir 500 kaki persegi, belum masuk bilik, ruang makan dan dapur. Walaupun rumah itu jauh di pedalaman dan jarang dikunjungi, ianya masih terbela rapi dengan lantai parket yang berkilat bagaikan cermin. Entah berapalah gaji yang dibayar kepada Pak Ali suami isteri setiap bulan untuk merawat rumah itu.

Arisa mengikut Izhar masuk ke bilik mereka. Bilik yang luas dan lengkap dengan segala peralatan dan bilik air. 

"Wow, cantiknya bilik ni! Semua kelengkapan dalam bilik dibuat dari kayu. Semua bilik macam ni ka?" soal Arisa sambil beredar ke tingkap lepas di bahagian hadapan bilik. Tingkap kayu berukir yang panjang sampai ke lantai. Terdapat pula penghadang yang dibuat dengan kayu lorek separas pinggang.

"Lebih kuranglah! Cuma kelengkapan di dalam bilik tu semuanya dipilih sendiri. Bilik Kak Dura dan Didi lain sikit. Dia orang tak suka perabot kayu."

"Didi..." panggil Arisa sambil melambai-lambai ke arah adik iparnya itu ketika menjenguk di tingkap. Kelihatan Adila sedang mengangkat begnya dari dalam kereta. "Jom, abang... kita angkat barang dulu," ajak Arisa sambil berlari keluar.

Izhar yang ditarik keluar bersamanya hanya mengikut tanpa sebarang bantahan. Langkah keduanya mati di pintu utama. Kelihatan Pak Ali sudah pun mengangkat beg-beg dan barang-barang yang dibawa mereka.

"Apa susah-susah, Pak Ali... nanti kita orang angkatlah sendiri." 

"Tak susah apa pun, Iz..." jawab Pak Ali senang. "Eloklah simpan beg-beg ni semua. Makan tengah hari pun dah siap tu. Mak Na kamu masak istimewa hari ni!"

KOPI LADYKU by Ainul HazrahWhere stories live. Discover now