ARMAN dan Azmin sudah lama melelapkan mata. Tinggal Arisa yang terkebil-kebil sendirian mengimbas kembali kejadian petang tadi yang begitu merobek hatinya. Berat rasa hati untuk masuk ke biliknya. Mengingatkan wajah bengis Izhar tadi, hatinya jadi kecut dan membuatkan dirinya terasa begitu kerdil.
Arisa bangun menuju ke balkoni. Angin malam yang meniup lembut juga tidak dapat menenangkan hatinya seperti selalu. Kegelapan malam yang suram membuatkan hatinya turut gelap dan malap.
Pandangan Arisa kemudian jatuh ke kolam renang di sisi rumah. Semakin bergetar kuat hatinya. Parah perasaannya mengingatkan kata-kata Izhar tadi. Perlahan air matanya yang berkali-kali kering, gugur lagi. Bagaimana dia mahu melalui hari esok dan berhadapan dengan Izhar?!
***********************************************************************************************
SEJAK lepas makanmalam tadi, Izhar menyendiri di dalam biliknya. Terasa amat janggal malam itu bila dia tidak ditemani Arisa. Selalunya pada waktu begitu Arisa pasti sedang nyenyak di dalam pelukannya. Hingga lewat malam Arisa masih tidak muncul di bilik mereka. Entah apa yang sedang dilakukan isterinya itu.
Terlayang kembali peristiwa petang tadi. Peristiwa yang menyebabkan Arisa kini menjauhkan diri daripadanya. Amat kecewa dia melihat pasu kesayangan mamanya berserakan di lantai. Bila dia diberitahu Arisa yang Amin memecahkan pasu tidak terfikir langsung pasu itu yang dimaksudkan.
Entah mengapa tergerak hatinya untuk melihat pasu pecah itu bila dia turun untuk minum selepas menunaikan solat. Meruap serta-merta darahnya bila melihat pasu yang dipecahkan Amin bukannya sembarangan pasu, tetapi pasu yang dihadiahkan kepada mamanya.
Teringat kata-kata pedas yang dilemparkan kepada adik ipar dan isterinya tadi, Izhar mula menyesal. Betul kata Nek Da, cuma sebuah pasu! Apalah yang hendak dimarahkan sangat. Bayangan wajah Arisa yang tersedu-sedu tanpa suara membuat hatinya semakiin kesal.
Hanya kerana sebuah pasu, dia lupa segala-galanya. Lupa perasaan cintanya buat Arisa. Lupa untuk bersabar, lupa akan erti kasih sayang. Lupa qadak dan qadar. Tersedar daripada kekhilafannya, Izhar amat berharapkan Arisa di sisinya tetapi dalam keadaan begitu mustahil Arisa akan datang kepadanya.
Izhar bangun keluar bilik. Pasti Arisa sedang bersama adik-adiknya. Masuk ke bilik itu, Izhar hanya melihat dua tubuh terbaring lena di atas katil. Mana Arisa? Melalui pintu yang sedia terbuka, Izhar menuju ke balkoni. Sah, Arisa juga tiada di situ. Dengan debaran kuat menghentak jantungnya, Izhar menjenguk ke bawah. Lega bila tidak terlihat tubuh Arisa terbaring di situ. Takut dia jika Arisa mengambil tindakan drastik kerana terlalu tertekan. Nauzubillah!
Di mana lagi harus dicari Arisa? Di bilik Baidura? Tidak mungkin. Bilik Adila? Pantas Izhar melangkahkan kakinya ke situ. Terpisat-pisat Adila di muka pintu bila biliknya diketuk, namun jawapan yang diterima amat mengecewakan Izhar. Arisa tiada di situ.
Harapan terakhir Izhar ialah bilik Nek Da. Kemungkinan besar Arisa di situ kerana selama ini banyak masalahnya dikongsikan dengan Nek Da.
"Arisa mana ada kat sini!" jawapan Nek Da menyesakkan lagi nafas Izhar. Jika bukan di situ ke mana perginya Arisa? Mustahil dia melarikan diri dari rumah malam-malam begini sedangkan kedua-dua orng adiknya masih di situ. Jika dia berniat untuk lari, pasti adik-adiknya akan dibawa bersama.
"Kat mana Icha ni? Bilik Didi, bilik Aman dan Amin pun tak ada! Tak mungkin dia kat bilik Kak Dura!" Izhar meraup mukanya yang kusut. Semakin kusut bila kepala yang tidak gatal digaru-garunya. Sudah tidak tahu di mana harus dicarinya Arisa.
"Dah tengok kat luar? Mana tahu dia ambil angin kat taman tu? Orang tengah risau, mungkin nak cari ketenangan..." Nek Da mula mengatur langkah, namun langkahnya cepat didahului oleh Izhar. Tidak sabar dia untuk menemui Arisa. Selagi Arisa tidak terlihat di depan mata, dia tidak akan senang hati dan tidak akan berhenti mencari.
YOU ARE READING
KOPI LADYKU by Ainul Hazrah
RomantizmSekadar berkongsi. Berminat? Silalah beli. https://play.google.com/store/books/details/AINUL_HAZRAH_KOPI_LADYKU?id=6GOLCwAAQBAJ Arisa kata, dia Puteri Duyung! Kata Izhar, Arisa Dayang Senandung! Hakikatnya, Arisa hanyalah anak nelayan yang tinggal d...