74

112 6 0
                                    

SEJAK beberapa hari ini, kaki Arisa sentiasa rasa berdenyut-denyut bagai ada jarum yang mencucuk-cucuk kaki itu. Kadangkala tidak tertahan rasa sakit itu, namun selagi dia mampu dia tidak akan biarkan Izhar tahu akan apa yang dirasainya. Dia tidak mahu Izhar menderita bersamanya. 

"Kenapa abang tengok sehari dua ni, Icha macam ada yang tak kena saja?" Perubahan Arisa dikesan juga oleh Izhar. Arisa yang sudah kelihatan ceria dan bersemangat, kini lebih banyak berdiam diri dan adakalanya berkeluh kesah seolah-olah ada sesuatu yang berat dipikulnya.

"Apa yang tak kena?" soal Arisa balik, seolah-olah tidak ada yang tidak kena dengan dirinya. "Icha biasa saja." 

"Icha..." Izhar mengeluh kecil. Dia pasti Arisa merahsiakan sesuatu daripadanya. "Abang tahulah kita ni tak berjiran dan abang bukannya kenal Icha dari kecik, dari tapak kaki Icha dua jari! Tapi, abang dah kenal sangat perangai Icha ni. Icha tak macam ni. Sehari dua ni, Icha diam saja, nampak sedih macam sedang fikirkan sesuatu. Tolong jangan berahsia daripada abang, sayang! Icha tahukan abang sayang Icha, abang tak boleh tengok Icha macam ni!"

Izhar membelai rambut Arisa yang terbaring lesu di atas katil di dalama bilik.  Tidak seperti selalu, Arisa kini lebih suka berbaring di atas katil itu. Jarang sekali dia mahu duduk di atas kerusi rodanya kecuali pada waktu makan dan bersolat. Jika selalunya dia riuh menolong Izhar di dapur, kini dia hanya menyepi, Menjadikan rumah itu bagaikan tiada berpenghuni.

"Sebenarnya, Icha rindu sangat kat mak, ayah dan adik-adik Icha. Dah lama tak jumpa depa semua. Sejak ayah buka kedai ni, depa dah tak dak masa dah nak jenguk Icha." Arisa menarik nafas panjang. Semoga alasannya dapat diterima Izhar tanpa banyak soal. "Kadang-kadang Icha rasa macam depa dah tak sayang kat Icha lagi dah," sambung Arisa menambah perisa akan pembohongannya.

"Tak baik Icha cakap macam tu. Mak dan ayah tak pernah lupakan Icha. Kan dia orang selalu telefon. Lagipun kan dia orang nak datang sini pada pertengahan bulan depan. Bukannya lama, lebih kurang sebulan saja lagi," pujuk Izhar lembut. 

Arisa tersenyum tawar. Syukurlah, nampaknya alasan yang diberikan boleh diterima pakai oleh Izhar. Sejak Muiz tidak ke laut, dia dan Azizah telah membuka sebuah gerai makan tidak jauh dari rumah mereka. Dengan kebolehan Azizah yang pandai memasak, gerai itu sentiasa saja didatangi pelanggan dan membuat mereka sentiasa sibuk. Namun dalam kesibukan itu, mereka selalu saja menelefon dan bertanyakan tentang keadaan Arisa. Mereka sememangnya tidak pernah lupakan Arisa.

***********************************************************************************************

IZHAR terjaga pada waktu dinihari. Lenanya bagai dikejutkan oleh satu suara yang merintih perlahan. Dari lampu tidur yang malap di hujung bilik dapat dilihatnya tubuh Arisa bergerak-gerak kecil dengan mulutnya ditutup dengan telapak tangan. Tentunya untuk menghalang suaranya daripada sampai ke telinga Izhar.

"Sayang..." Muka Arisa yang agak memiring dialihkan supaya jelas di matanya. "Kenapa ni?" Jemari Arisa yang menutup mulutnya dipegang dan digosok-gosok Izhar. Terasa amat sejuk jari-jemari itu.

"Sayang sakit?" Mendengar suara Arisa yang berdesis-desis menahan sakit, Izhar terus duduk. Hatinya kian dihambat kerisauan. Tidak pernah dia melihat Arisa begitu sebelum ini. "Sakit kat mana?"

"Kaki Icha... sakit sangat!" beritahu Arisa dengan air mata yang berderaian. Kesakitannya kali ini sudha tidak tertanggung lagi. Tidak dapat lagi dia menyembunyikannya seperti selalu.

"Icha rasa macam mana?" Selimut yang menutupi kaki Arisa diselak dan kaki itu disentuh izhar dengan begitu berhati-hati. Spontan jari-jemarinya dialihkan dari kaki itu bila Arisa menjerit kesakitan. 

"Jangan pegang! Sakit sangat-sangat. Rasa mencucuk-cucuk, macam nak putus," rintih Arisa berselang-seli dengan esakannya.

Izhar hanya mampu mengeluh. Retak seribu hatinya melihat Arisa yang berkeluh-kesah menahan kesakitan sedangkan dia tidak mampu untuk meredakannya. Andai saja dia punya kuasa mahu saja dialihkan semua kesakitan itu ke atas dirinya sendiri, namun apakan daya dia cuma insan biasa yang tidak memiliki apa-apa keajaiban.

KOPI LADYKU by Ainul HazrahWhere stories live. Discover now