69

102 7 0
                                    

SEJAK pulang ke situ tengah hari tadi, Izhar hanya memencilkan dirinya di dalam bilik. Jiwanya langsung tidak tenteram bila mengenangkan Arisa yang ditinggalkan sendirian dengan keadaan yang serba tidak berkeupayaan. Namun, hatinya terasa sakit dengan setiap kata-kata dan tuduhan yang dilontarkan Arisa. Arisa langsung tidak menghargai segala pengorbanannya selama ini.

"Iz..." Panggilan dan ketukan di pintu menghilangkan wajah Arisa daripada fikiran Izhar.

"Hmmm... Kak Dura. Masuklah," suruh Izhar seletak pintu terkuak luas. 

"Iz apa khabar?" soal Baidura sambil melangkah ke sofa di sudut bilik.

"Sihat."

"Iz okey?"

Izhar menatap Baidura seketika sebelum mengangguk perlahan.

"Baguslah, Iz dah balik. Kami semua risaukan Iz." Baidura diam seketika. Matanya ralit meneliti wajah Izhar yang penuh dengan seribu satu persoalan. Wajah yang sugul dan kelihatan sedang menanggung masalah yang amat besar. Tentunya masalah antara dia dan Arisa. 

"Iz pergilah ke pejabat tu macam dulu. Susah Kak Dura bila Iz tak ada. Semua cek yang lebih dari lapan puluh ribu Uncle Zabidi tak boleh sign. Kak Dura kena bawa balik untuk nenek sign. Iz tahulah nenek tu dia bukannya boleh stres, nanti darah dia naik. Kak Dura risau sangat," pujuk Baidura lembut.

Serasa lepas sedikit beban yang dipikulnya bila Izhar sudah pulang. Tidak perlulah lagi mereka berkeras terhadap Izhar nampaknya. Dia dan Nek Da telah berpakat untuk menggertak Izhar dengan menyingkirkannya dari syarikat bila Izhar langsung tidak mempedulikan akan hal syarikat. Nampaknya, semua itu tidak perlu dilakukan lagi.

Izhar mengeluh perlahan. Kepulangannya bukan untuk berbakti kepada mereka. Dia hanya melarikan dirinya daripada Arisa! Entah sampai bila dia akan di situ, dia sendiri tidak pasti. Yang nyata, dia bukan pulang sebab takutkan ugutan Baidura.

"Dura, makanan dah siap." Suara Kak Sal di pintu yang ternganga menarik perhatian keduanya.

"Jom, Iz... kita makan," ajak Baidura sudah menarik tangan Izhar agar turut bersamanya. Dia sebenarnya risau akan keadaan Izhar bila diberitahu Nek Da yang Izhar hanya berkurung di dalam bilik sejak kepulangannya tadi tanpa keluar untuk makan atau minum.

"Apa yang sebenarnya berlaku sampai Iz langsung tak balik sini dan tak pernah ke pejabat?" Sambil menuju ke ruang makan, Baidura mula mencungkil rahsia Izhar.

"Iz tak ada masa, Kak Dura... Icha tak sihat."

"Dah lebih dua bulan Iz, takkan tak sihat lagi?"

Izhar dan Baidura sama-sama menarik kerusi dan duduk di meja makan. Nak Da dan Adila sudah kelihatan di tempat masing-masing. Fariq tidak kelihatan di situ. Mungkin masih belum pulang atau masih di dalam bilik.

"Ke... Icha yang halang Iz dari balik sini? Manalah tahu kalau dia marahkan kami," sambung Baidura lagi.

"Tak Kak Dura, Icha tak macam tu. Dia tak pernah halang Iz," nafi Izhar cepat. Dia tidak mahu Baidura terus-menerus menyalahkan isterinya. 

"Kalau dia tak halang, kenapa sampai Iz tak pernah balik sini jumpa kami, tak pedulikan kami langsung." Masih kurang percaya nampaknya Baidura dengan jawapan Izhar.

"Icha sakit, Kak Dura... Iz tak boleh tinggalkan dia!"

"Iz tak boleh ikutkan sangat Icha tu. Kalau sakit pun takka Iz kena duduk dengan dia 24 jam! Nenek pun tak fahamlah, kenapa Iz sampai jadi macam ni? Dulu Icha tu tak macam ni, sekarang ni dah rasa senang, dah..."

"Nenek, semua ni bukan salah Icha. Dia tak minta sakit macam tu. Dan Iz sendiri yang tak nak tinggalkan dia bukannya dia yang paksa Iz jaga dia 24 jam!" Izhar yang mahu menyenduk lauk mula hilang sabar bila Arisa dituduh yang bukan-bukan oleh neneknya dan Baidura. Apatah lagi bila dia teringatkan Arisa yang kini sendirian dan belum menjamah makanan sejak tengah hari tadi. Entah apa agaknya yang sudah terjadi kepada Arisa.

KOPI LADYKU by Ainul HazrahWhere stories live. Discover now