27

94 7 0
                                    

LEGA hati Arisa bila Izhar muncul kembali beberapa minit kemudian. Tanpa suara dan isyarat, tangan Arisa dicapainya. Cincin yang dipakai Arisa semasa jamuan makan malam di Megah Bersatu terus disarungkan ke jari manis Arisa.

"Lah... mana boleh main sarung-sarung saja, Encik Iz! Ingat orang anak ayam ka apa, tak dak mak ayah! Hari tu dah main-main sekali, dahlah."

"Alah, ayah awak mesti terima punyalah. Takkan lelaki macam ni punya smart, dia nak tolak?"

"Kalau yakin sangat dia tak tolak, kahwinlah dengan dia. Icha tak dak hak ka nak tolak?" Arisa mula mencerut. Persoalan itu belum habis lagi. Masih banyak yang perlu difikirkan sebelum dia dan Izhar disatukan. Hati Arisa kuat mengatakan yang Izhar sebenarnya salah perhitungan. Terlalu banyak perbezaan yang menjadi tembok pemisah antara mereka dan dia tidak mungkin mampu merobohkan tembok itu.

"Takkan awak nak tolak? Tak bagus lagi ke saya ni? Awak nak cari suami yang macam mana lagi?"

"Encik Iz memang cukup serba-serbi. Dah tak dak tolok bandingnya lagi dah! Tapi, Encik Iz dah terlebih bagus. Terlalu bagus!" Suara Arisa mula bertukar irama. Apalah sangat yang bagus tentang dia sehingga dia hendak memilih yang lebih baik daripada Izhar? "Cuba Encik Iz tengok Icha ni betul-betul!"

"Hmm... okey saja. Tak ada yang cacat. Muka pun lawa, ada iras-iras macam pelakon!"

"Hah, nampak macam pelakon saja, kan? Tak adalah nampak macam tuan puteri, macam anak raja... kan!"

 "Eh, awak memang pun tuan puteri! Puteri duyung!"

"Encik Iz ni... betul-betullah sikit!" Arisa mendengus geram. Dalam waktu serius begitu, masih lagi Izhar mahu berlawak. "Dengar baik-baik apa Icha nak kata! Encik Iz sedar dak yang kita ni terlalu banyak perbezaan?"

"Penting ke nak..."

"Jangan menyampuk!" potong Arisa tidak puas hati.

Garang saja bunyi suara Arisa membuat Izhar kaku bagaikan patung.

"Dengar dulu apa Icha nak kata! Encik Iz sedar tak yang Icha ni orang kampung, orang miskin?! Anak nelayan yang hidup serba kekurangan dan cukup makan pakai saja. Sedangkan Encik Iz tu daripada keturunan Tengku-Tengku, kaya-raya, kacak... kita ni tak padan langsung!"

Arisa berhenti membasahkan bibir. Nampaknya Izhar bagaikan tidak terkesan dengan apa yang diucapkan. Bersahaja nampaknya dia menopang dagu sambil mendengar semuanya, bagaikan acuh tak acuh saja. 

"Icha ni apa pun tak tau! Buat malu Encik Iz saja nanti. Bukan Encik Iz saja yang malu, kalau Icha malukan Encik Iz, dengan Icha sekali dapat malu. Kalau kita kahwin, Icha memang akan cuba sedaya upaya untuk bahagiakan Encik Iz dan bagi apa yang terbaik buat Encik Iz, tapi Icha ni tak pandai langsung, macam katak bawah tempurung. Daripada kita sama-sama malu, baik Encik Iz batalkan saja niat tu.

Dah tu kena fikir juga apa orang nak kata nanti. Saudara-mara Encik Iz ni dahlah tak sukakan Icha, nanti dengan Encik Iz sekali depa meluat. Lagipun Icha ni tak dak pelajaran, bodoh. Encik Iz tu doktor, pengarah syarikat terkenal pulak tu! Doktor apa kalau benda macam tu pun tak boleh nak fikir?"

"Amboi, sedap hati awak saja nak kutuk saya!" Izhar mula berubah posisi. Dari menopang dagu terus tegak badannya. Dia tidak boleh membiarkan Arisa bercakap banyak lagi. Makin banyak pula dia dikutuk nanti. 

"Okey, cukup! Dah panjang sangat awak membebel, sakit telinga saya!"

"Icha tak habis lagi..."

"Cuuukup!" Izhar mengangkat tangan tanda menyuruh Arisa diam. 

Arisa memberi jelingan maut kepada Izhar tanda protes. 

"Sekarang awak pula dengar apa saya nak cakap, jangan menyampuk selagi saya tak habis!"

KOPI LADYKU by Ainul HazrahWhere stories live. Discover now