32

103 5 0
                                    

BERKAT kesunguhan Arisa, dia kini sudah pun lulus ujian memandu. Dia tidak mahu mempersia-siakan peluang yang ada. Jika dia tidak berjaya untuk kali yang pertama pun, dia tahu Izhar pasti akan membiayainya sehingga dia berjaya. Namun, dia tidak mahu mengambil kesempatan. Dia tahu Izhar melakukan semuanya kerana tidak mahu dia dipandang rendah oleh saudara-maranya.

Hari ini, Arisa dan Izhar ke butik pengantin untuk mengukur pakaian pengantin mereka yang telah hampir sebulan ditempah. Atas permintaannya, Nek Da juga ikut sekali kerana Baidura ada hal dan tidak dapat menemani mereka. Amat teruja Arisa bila melihat pakaian pengantinnya yang telah siap dijahit. Ada duit apa saja boleh didapati dengan cepat dan mudah!

"Cantiknya..." puji Arisa dengan mata yang tidak berkelip bila besi beroda yang digantung empat pasang pakaian pengantinnya ditolak keluar. Dua pasang untuk majlis di kampungnya dan dua pasang lagi untuk majlis di hotel bersama Baidura nanti. Hampir tidak percaya yang dia akan memakai pakaian itu pada hari perkahwinannya nanti.

"Cubalah!" suruh Izhar lembut.

"Nak cuba yang mana satu dulu?" Tidak tahu Arisa yang mana satu harus dicuba dahulu, semuanya amat cantik dan memukau matanya. Mungkin tidak sehebat mana untuk orang lain, tetapi sudah teramat hebat buat dirinya.

Izhar mencapai baju kurung moden yang akan digunakan semasa majlis akad nikah mereka. "Cuba yang ni dulu," suruh Izhar sambil dia sendiri mengambil pakaian untuk majlis yang sama untuk dicubanya.

Tanpa banyak soal, Arisa mecapai baju itu dan masuk ke bilik menukar pakaian. Sesuai benar baju itu dengannya. Terpukau Izhar melihat Arisa dalam persalinan itu. Jika sudah disolek cantik, pasti akan lebih menyerlah.

"Cantiknya cucu nenek!" puji Nek Da sambil memerhatikan Arisa dari atas ke bawah. Pada penglihatannya Arisa memang cantik, kecantikan semula jadi yang tidak terlihat kerana kemiskinan hidupnya. Bak kata lagu Saleem, air yang jernih di dalam bekas yang berdebu!

Sehelai demi sehelai pakaian itu dicuba Arisa. Semuanya disediakan dengan set kasut dan hiasan kepalanya sekali. Setiap pasang baju dengan kasut dan hiasan kepala yang berbeza. Sementara untuk upacara akad nikah pula disediakan pula set tudung yang bersulam cantik sama seperti sulaman di bajunya.

Pakaian yang terakhir dicuba Arisa ialah gaun labuh berwarna ungu muda berpotongan ikan duyung yang kembang di bahagian bawah dan bahagian belakangnya pula meleret panjang hingga beberapa meter.

"Wah! Ni dah betul-betul macam puteri duyung, kan nek?" soal Arisa teruja. 

"Yalah... inikan trend sekarang ni. Tapi macam tak berapa cukuplah dia punya hiasan ni!" komen Nek Da sambil meneliti gaun yang dipakai Arisa. 

"Apa yang tak kena lagi, nek? Kan dah cantik sangat ni!" Arisa turut menunduk dan memerhatikan pakaiannya. Apa lagi yang tidak kena? Semuanya tampak begitu menawan. 

"Memanglah, nek... baju tu tak siap betul lagi. Ikut design asal banyak lagi manik dan labuci yang nak dipasang. Dia orang siapkan baju yang Icha nak bawa balik tu dulu. Baju ni akan disiapkan sebelum majlis kahwin kat sini nanti."

"Ooo... patutlah!" Angguk Nek Da tanda faham.

"Nak tambah apa lagi, Encik Iz? Kan dah cantik ni?"

"Ichaaa!" Nek Da bersuara tidak puas hati. 

"Errr... sorry nek!" Masih saja Arisa memanggil Izhar dengan panggilan encik kecuali di hadapan keluarga Nek Da, sekali-sekala tersasul juga dia.

"Abang... baju ni dah berat dah. Kalau tambah manik dan labuci semua tu maunya jadi lima enam kilo!"

"Merepek saja Icha ni. Mana ada sampai lima enam kilo!" sanggah Nek Da. Memang baju itu bukanlah berat mana pun, Arisa saja yang melebih-lebih.

"Alah, nak cantik! Berat sikit apa salahnya?"

KOPI LADYKU by Ainul HazrahWhere stories live. Discover now