23

103 7 0
                                    

"MAK, nanti kami nak ikut Abang Iz pi pulau boleh dak?" soal Arman mewakili adiknya Azmin untuk meminta izin mengikut Izhar.

"Nak buat apa pi sana?"

"Sajalah, kak... nak bawa dia orang ni jalan-jalan," sampuk Izhar tanpa dipinta. Jika dia yang meminta izin pasti mudah mendapat kebenaran daripada Azizah dan Muiz. 

"Errr... sapa lagi nak pi?"

"Ikutlah... kalau semua orang nak ikut sekali pun boleh juga."

"Kak Dura tak pergilah. Kejap lagi dah janji nak jumpa Sofian. Ada hal nak bincang sikit. Bawa nenek dan Kak Zah ajelah," saran Baidura. 

"Kak pun malaslah nak pi. Bukannya ada apa nak buat kat sana." Azizah dan keluarganya memang jarang sekali menyeberang ke pulau. Kalau setakat hendak membeli-belah, di kawasan itu juga ada banyak kedai untuk membeli barang. Lagipun dia bukannya banyak duit hendak membeli-belah di pasar raya dan gedung-gedung mahal di situ, lebih jimat kalau pergi ke pasar malam saja.

"Nenek pun tak nak ikutlah, Iz. Nanti petang sikit nenek nak duduk tepi pantai tu, tanam kaki dalam pasir, sambil tu boleh juga cari siput. Zah kata banyak siput kat pantai depan ni. Iz pergilah bawa budak-budak tu. Kesian dia orang dah berharap nak pergi."

"Kalau macam tu tinggal Iz, Icha, Di..."

"Icha tak pi," potong Arisa cepat bila namanya disebut Izhar. Mulanya ada juga rasa teringin untuk ke sana semasa diajak Adila, tetapi setelah dimarahi oleh Izhar tadi keinginannya terus mati.

"Lah, tak bestlah Kak Icha! Kenapa pula tak nak ikut?"

"Kak Icha memang tak kata nak ikut pun. Didi yang nak ajak Encik Iz pi tadi, kan? Didi pilah. Kak Icha nak teman nenek kat rumah." Lembut bicara Arisa masih dapat mengawal perasaannya yang panas. Tidak baik pula hendak berkasar di hadapan Nek Da. Apatah lagi bila didengar mak ayahnya, dia juga yang kena leter nanti.

"Pergilah Icha. Mak Icha kan ada untuk temankan nenek."

"Tak palah, nek..."

"Mana boleh Kak Icha tak ikut! Nanti sapa nak tengokkan kami kat sana?" sanggah Arman tidak senang. Tidak seronok rasanya jika Arisa tidak ikut sekali.

"Ha'ah, Kak Icha... tak bestlah!" sokong Azmin pula.

"Nak tengok apa? Aman dan Amin bukannya budak kecik lagi, dah nak baligh dah! Jagalah diri sendiri..."

"Kak Icha ni..." gerutu Arman dan Azmin serentak bila Arisa sudah mula melalut meleteri mereka. Perasaan geramnya pada Izhar dan Adila nampaknya kini dilampiaskan pada adik-adiknya.

"Pilah ikut Icha," suruh Muiz yang sedari tadi hanya mendengar perbualan mereka. "Depa berdua ni bukannya boleh diharap sangat! Tak menang tangan Izhar sorang nak kepung depa tu nanti. Buatnya sesat kat mana-mana lagi susah."

Arisa hanya mampu mengeluh. Jika ayahnya sudah memberi arahan begitu terpaksalah nampaknya dia ikut sekali untuk ke pulau.

***********************************************************************************************

BUKAN kepalang seronoknya Arman dan Azmin dapat merentas laut dengan menaiki MERCEDES-BENZ VIANO yang dipandu Izhar. Bagai bertih jagung mulut masing-masing menegur apa saja yang singgah di pandangan mereka. Adila juga tidak mahu ketinggalan nampaknya. Dia turut teruja bila dapat menaiki jambatan sepanjang 13.5 kilometer itu. Cuma Arisa yang menyepi sejak dari mula perjalanan tadi.

"Kenapa monyok ni? Tak habis marah lagi?" soal Izhar perlahan sambil melirik Arisa di sebelahnya.

"Siapa yang marah?" balas Arisa masih dengan pandangan terjurus ke hadapan. Perlahan juga nadanya, takut didengari oleh adik-adiknya dan Adila di tempat duduk belakang. Nasib baik semuanya sedang asyik berceloteh hingga tidak sedar akan keadaan kakak dan abang mereka. 

KOPI LADYKU by Ainul HazrahWhere stories live. Discover now