51

121 4 0
                                    

SELESAI mengemaskan katilnya, Arisa beralih ke tingkap. Nyaman terasa angin bukit yang berhembus. Daun-daun kelapa sawit di bawah bukit kelihatan terbuai-buai mengikut tiupan angin itu.

Izhar, Pak Jamal dan Pak Ali sedang berbual di halaman. Mungkin juga sedang membincangkan tentang ladang mereka. Hari ini, Pak Jamal dan isternya Mak Hajar dijemput untuk makan tengah hari di rumah mereka. Begitulah selalunya.

Agak lama di situ, Arisa beredar ke dapur untuk melihat jika ada kerja yang boleh ditolongnya. Seperti biasa, jika sunyi senyap di dapur itu pasti semuanya sedang berhimpun di luar rumah atau di rumah Pak Ali. Benar sangkaan Arisa, ramai berkumpul di belakang rumah.

Riuh suara masing-masing dengan acara-acara yang tersendiri. Mak Jah, Mak Marina, dan Kak Sal sibuk menyiang keladi yang dibawa oleh Mak Hajar dam Pak Jamal. Pak Adam pula mengait kelapa muda dengan diperhatikan oleh Mak Leha dan Adila. Nek Da pula sedang berbual dengan Mak Hajar yang kelihatan sedang mengupas bawang di atas pondok.

"Tak payahlah menyibuk nak siangkan keladi ni, Icha... karang tak pasal-pasal gatal tangan kamu tu," larang Mak Jah sebaik saja Arisa mahu memegang sepokok keladi di hadapan mereka.

"Gatal Mak Jah? Kalau gatal macam mana nak makan?" soal Arosa pelik. Dia memang tidak pernah memasak keladi. Emaknya juga jarang-jarang sekali memasak makanan itu. Manalah dia tahu benda itu gatal.

"Keladi ni kena celur dulu dan buang airnya, lepas tu nanti barulah boleh dimasak dan dimakan."

"Tangan pun jadi warna koko macam tu, gatal ka Mak Jah?" soal Arisa bila melihat jari-jari mereka semua kelihatan berwarna coklat disebabkan terkena getah keladi. 

"Gatallah juga. Warna coklat ni sebab kena getah dia. Alah, nanti sental saja dengan span hijau pencuci pinggan tu, bersihlah balik."

Arisa mengangguk-angguk tanda faham. Susah juga untuk memasak keladi. Selalu dia dengar orang puji sayur keladi sedap, rupa-rupanya banyak yang perlu dilakukan sebelum ianya dapat dimakan. 

"Hai, Adam... banyakkah kelapa muda kamu tu?"Terdengar Pak Ali menegur Pak Adam yang masih melangut mengait kelapa. 

"Banyak apanya, Abang Ali... adalah empat lima biji! Sampai dah senget kepala ni, kelapa tu tak juga jatuh-jatuh."

"Itulah, orang asyik pulas stereng kereta saja, manalah reti nak kait kelapa ni!" seloroh Pak Ali sambil mendekat kepada Pak Adam. "Bak sini galahnya, biar saya yang kait. Karang salah urat, tak pasal-pasal tak boleh makan sayur keladi tu. Rugi besar tu!"

Tanpa banyak kerenah, galah terus bertukar tangan. Berpeluh-peluh Pak Adam, tidak setimpal langsung dengan bilangan kelapa yang telah diturunkannya. 

"ALLAH, senangnya Abang Ali buat!" puji Pak Adam.

 "Hero kampung Adam," sampuk Pak Jamal mengusik, membuahkan ketawa semua yang mendengar.

"Icha siang keladi juga ke?" soal Izhar yang sudah duduk di atas pondok. Dahi Arisa yang masih berbekas dipandangnya. Nasib baik tidak begitu jelas lebamnya. Bengkak pun sudah tidak kelihatan lagi.

"Daklah. Tengok saja." Arisa bangun dan mendapatkan Izhar yang bertenggek di pondok. "Mak Jah tak bagi, dia kata gatal!"

"Alah, Icha... kalau gatal pun tak apa, ada orang boleh garu," usik Mak Hajar yang terkenal dengan mulut lasernya yang tidak berinsuran.

"Susah tu, Mak Ajar... karang bukan menghilangkan gatal, makin gatal adalah."

Jawapan nakal Izhar membuatkan Arisa merah muka. Perlahan-lahan jarinya mengetip lengan Izhar. 

"Ada ke patut buat lawak macam tu!" rungutnya perlahan kepada Izhar. 

"Alah..."

"Iz... Icha!"

KOPI LADYKU by Ainul HazrahWhere stories live. Discover now