64

88 6 0
                                    

"MAK... Icha..." Tidak mampu Izhar meneruskan kata-katanya. Hanya pandangannya terjurus ke arah dapur urmah di mana Azizah tercegat di tepi tangga dengan wajah yang pucat. Sedari tadi wanita itu berkelakuan pelik dan kini semakin pelik bila mertuanya itu kelihatan resah bagaikan melakukan kesalahan yang besar.

Mata Izhar segera terarah ke bilik miliknya dan Arisa. Sejak tadi bilik itu tertutup rapat dan dia dilarang masuk ke bilik yang dikatakan semak itu. Hatinya mula terfikirkan sesuatu. Mungkinkah Arisa berada di situ?

Dengan tangannya sudah memulas tombol pintu, Izhar sekali lagi berpaling kepada Azizah. Kali ini, mertuanya sudah terduduk di anak tangga yang paling atas dengan sedu-sedan yang sayu kedengaran.

Bilik yang dikatakan semak itu terus menjadi santapan mata Izhar. Semuanya masih kelihatan biasa, masih kemas dan tersusun. Pintu dikuak izhar semakin lebar dengan mata yang turut terbuka selebar-lebarnya. 

Kaku Izhar melihat sesusuk tubuh yang tidak bermaya terlantar di atas katil. Tubuh manusia yang tidak pernah disapa matanya itu diperhatikan tanpa berkelip dan jelas dia tidak boleh ditipu lagi. Jasad yang berada di hadapannya itu tidak lain dan tidak bukan adalah insan yang amat dirindui dan dinantikan kepulangannya! Arisa... ya Arisa kini benar-benar berada di hadapan matanya!

"Icha..." Dengan air mata kesyukuran dan kasih sayang yang tidak pernah padam, tubuh Arisa tenggelam di dalam pelukan rindu Izhar. Lama dan syahdu sekali ciuman Izhar di dahi Arisa melepaskan rindu yang melemaskannya selama ini. Tiada kata yang terucap, hanya deraian ombak laut yang kedengaran menjadi saksi pertemuan yang menyayat hati itu.

Izhar melepaskan pelukan bila terasa tubuhnya ditolak Arisa. Tampak Arisa bagai mahu menjauhkan diri daripadanya.

"Icha... ini abang, sayang! Ini abang!" Izhar bersuara tegas, memberi keyakinan kepada Arisa tentang siapa dirinya. Dengan hati yang mula sangsi, wajah Arisa dipandangnya penuh kasih. Risau dia jika Arisa hilang ingatan dan tidak mengenalinya lagi. 

Dengan penuh gusar, wajah Arisa yang terpejam dialihkan supaya menghadapnya. Aliran halus di hujung mata Arisa membuat nafasnya semakin sesak. Setelah begitu lama menanti, dia tidak mengharapkan pertemuan dan sambutan begini daripada Arisa. Arisa langsung tidak menunjukkan rasa rindu dendamnya. Arisa bagaikan mahu menjauh dan langsung tidak mengharapkan kehadirannya.

"Icha... kenapa, sayang? Icha... buka mata, sayang! Pandang abang! Ini abang, suami Icha... Icha!"

Setelah lama Izhar merayu, pelupuk mata Arisa yang bertaut rapat terpisah juga. Jelas di penglihatan Izhar kesengsaraan yang amat dalam ditanggung isterinya. Mata yang dahulunya sentiasa bercahaya dan penuh keceriaan, kini suram tidak bermaya. Hanya penderitaan yang terbias di situ.

"Buat apa abang mai sini? Pi balik! Icha tak mau jump abang, Icha tak mau tengok abang! Pilah... pi balik rumah abang!"

Terkapa-kapa Izhar bila Arisa tiba-tiba menjadi berang dan menghalaunya. Tindak balas Arisa amat mengecewakannya. Adakah kerana Arisa masih berkecil hati dan marah akan peristiwa yang berlaku sebelum mereka berpisah dahulu?

"Icha... kenapa ni, apa salah abang? Dah lama abang tunggu Icha, tak pernah abang lupakan Icha, kenapa Icha..."

"Abang tak fahamkaaa? Icha kata Icha tak mau tengok muka abang... Icha tak mau jumpa abang! Pilah keluar... keluar!" Sebiji bantal yang terletak di sisinya dicapai Arisa dan dihentak-hentakkannya kepada Izhar walaupun nyata sekali kudratnya langsung tidak ada.

Jeritan Arisa yang bagai orang kerasukan membuat Izhar mula hilang punca, tidak tahu apa yang harus dilakukannya.

"Izhar... jom, keluar dulu."

KOPI LADYKU by Ainul HazrahWhere stories live. Discover now