34

101 5 0
                                    

ESOK, tibalah hari besar buat Izhar dan Arisa. Semuanya sudah diuruskan sebaik mungkin. Majlis akad nikah akan diadakan di masjid terapung yang baru itu. Masjid yang telah pun siap dibina dan sudah boleh digunakan itu akan dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri. Semuanya telah diuruskan oleh pihak pejabat daerah.

Walaupun majlis kenduri akan diadakan di perkarangan masjid, rumah Muiz tetap dihias cantik. Terdapat juga khemah-khemah didirikan di tepi pantai di hadapan rumah bagi memudahkan saudara-mara yang datang untuk berehat memandangkan rumah itu tidaklah begitu luas untuk menampung semua saudara-mara mereka.

Riuh-rendah rumah Muiz dengan tetamu dan jiran-jiran yang datang menolong.

"Ringan jodoh hang, Icha. Baru lepas sekolah dah nak kahwin," komen Nek Pah turut berasa senang hati dengan pernikahan Arisa.

"Dah jodoh, Nek Pah."

"Hang ni ada apa-apa ka, Icha? Sampai tak dan-dan nak kahwin."

"Ada apa pulak, Cik Mon?" Seperti yang sudah diduga pasti Maimon akan mempertikaikan perkahwinan Arisa yang agak tergesa-gesa. "Dah nak kahwin, kahwin sajalah."

"Yalah, gaji bakal laki hang tu bukannya besar mana, dan ka dia himpun duit nak kahwin? Kalau tak dak apa-apa, pasal apa kalut semacam saja?" Maimon merapatkan tubuh ke sebelah Arisa. "Hang bunting ka?" Penuh curiga dia bertanya.

"Cik Mon... kami ni pi dating pun tak pernah, mana dan nak jadi apa-apa pun." Arisa ketawa panjang walaupun ingin rasanya ditenyeh-tenyehnya mulut Maimon ketika itu. Faham benar dia perangai Maimon yang tidak pernah senang dengan kesenangan orang lain. Tidak ada gunanya dia marah-marah dan terbawa-bawa dengan kenyataan Maimon itu.

"Aik... kan hangpa duduk serumah?" tingkah Maimon lagi, tidak puas hati. 

"Memanglah duduk serumah, tapi ramai orang lain lagi. Lagipun Cik Mon, kalau Icha ni dah bunting, buat apa nak tunggu sampai sebulan lebih? Baik kahwin masa bertunang dulu, baru boleh tutup malu. Kalau kahwin lambat-lambat macam ni sama juga, esok kahwin tak sampai lapan bulan dah beranak! Malu jugak, kan?" tempelak Arisa sekaligus mahu menghilangkan kecurigaan Maimon.

"Apalah hang ni, Mon... suka sangat ingat tak elok kat orang!" sokong Mak Bi pula turut tidak senang dengan perangai Maimon. "La ni memang 'pesen' lagu tu. Hari ni bertunang, esok nikah, lusa kenduri. Sekali harung semua siap. Bukan macam kita dulu-dulu, bertunang sampai berbulan-bulan. Kadang sampai makan tahun, baru nak nikah."

"Manalah tau, tunang Icha tu gaji pun bukannya berapa duit sangat!"

"Dia simpan duit dari dululah. Takkan nak kahwin baru nak simpan, memanglah tak cukup." Nek Pah pula menokok, mematahkan kata-kata Maimon.

"Ni... Icha, berapa hantaran dia bagi? Cik Mon tanya kat mak, dia kata dia tak tau. Dia malu nak habaq kot..." Maimon mengangguk-angguk, mengiakan kata-katanya sendiri. Siap berkerimut hidung dan mulut sekali. Kalau hendak menjatuhkan orang lain, dialah pakarnya.

"Entah, Cik Mon... Icha pun tak berapa tau sangat pasal tu. Masa meminang tu, Icha tak balik. Icha pun tak teringat pulak nak tanya kat ayah. Tak kisahlah berapa dia nak bagi. Kat KL tu, dia dan keluarga dia dah banyak tolong Icha. Lagipun dia kata kalau Icha dapat masuk universiti, dia nak tanggung semua perbelanjaan Icha," cerita Arisa akan hal sebenar tanpa berselindung. Tiada langsung niatnya untuk menunjuk-nunjuk kepada semua tetamu yang ada.

"Bagus la macam tu! Sejuk Nek Pah dengar."

"Bagus apanya? Mana dia nak korek duit, Icha? Silap-silap 'shoru' pun boleh miss."

"Entahlah, Cik Mon! Harap-harap tu biarlah dia kotakan apa yang dia janjikan." Sudah malas Arisa untuk bertikam lidah dengan Maimon. Jika diberitahu siapa Izhar yang sebenar takut pula jika dia dikatakan mengada-ngada. Entah-entah dia dikatakan mereka-reka cerita pula nanti. Biarlah mereka semua tahu sendiri siapa sebenarnya Izhar.

KOPI LADYKU by Ainul HazrahWhere stories live. Discover now