Humaira hanya melihat gerak geri Prof Zahir di depannya. Namun, pandangannya kosong. Dia melihat Prof Zahir memeriksa beberapa dokumen dan menandatangani dokumen tersebut.
Prof Zahir sesekali memandang Humaira. Selepas tiga hari dari board meeting tempoh hari, Humaira dipanggil olehnya untuk perbincangan susulan. Tetapi selepas tiga hari ini dia sudah dapat melihat perubahan pada Humaira. Wajahnya muram, matanya seperti bengkak dan badannya kelihatan lemah. Melihat wajah sayu pelajarnya itu, dia tahu Humaira masih tidak mampu menerima keputusan yang dibuat oleh pihak universiti bersama ibubapanya.
"How are you doing?" Prof Zahir cuba menegur.
"Not good." Humaira membalas perlahan dengan berterus-terang.
Prof Zahir menghela nafas berat. Rasa serba salah mula hadir tetapi itulah yang dia perlu rasa selepas setiap kali menjatuhkan hukuman ke atas pelajar yang melakukan masalah disiplin. Cuma kali ini, pertama kali keputusan itu dibuat bersama ibubapa kerana rayuan mereka yang tidak mahu anak-anak mereka digantung belajar.
"Humaira. Saya tahu awak tak boleh terima semua ni. Tapi saya nak awak tahu ini keputusan mak ayah awak dan Harris. Dan mereka rasa ini yang terbaik buat kamu berdua."
"Tapi saya rela kena gantung belajar dari kahwin dengan lelaki tu." Humaira membalas tanpa perasaan.
Prof Zahir tergamam. Dia tahu Humaira akan berpendirian begitu.
"Itu kata awak. Mak ayah awak? Sedih kecewa mak ayah awak dengan kes ni pun, diorang tak nak awak tertinggal. Lepas tu kalau awak sambung, awak nak bertahan lagi setahun dengan cerita awak yang berpanjangan tak sudah ni?"
Humaira memandang tepat wajah Prof Zahir. Dia mula berasa geram kerana kini seolah semua orang masih mahu berpihak orang yang membuat fitnah itu.
"Apa-apa pun sekarang ni saya nak awak buat keputusan semula. Fikir masak-masak. Saya tahu benda ni berat untuk awak. Saya sendiri rasa bukan senang untuk awak yang baru berumur 21 tahun nak tempuh benda ni."
"Buat keputusan semula? Maksud Prof?" Humaira berkerut cuba memahami maksud Prof Zahir.
"Awak tahu kan setiap kes disiplin yang masuk board meeting akan ada second trial board meeting ?"
Humaira menggeleng.
'Mana lah aku tahu. Ni first time kot aku terlibat dengan JDU.' Humaira mendengus dalam hati.
"Haritu kami nak bagitahu awak. Tapi keadaan pun dah tegang. Awak pun dah lari dari meeting room. Saya ada bagitahu parents awak. Mereka tak cerita?"
Humaira menggeleng perlahan. Dia akui dirinya sendiri tidak mahu bercakap dengan ibu dan ayah selepas ayah masih bertegas mahu dia dan Harris berkahwin.
"Biasanya dalam tempoh sebulan ke dua bulan kita akan adakan second trial board meeting. Jadi masa tu awak boleh buat rayuan untuk kami pertimbangkan semula keputusan kes." Prof Zahir cuba jelaskan.
Ketika itu riak wajah Humaira berubah serta merta. Seolah tidak percaya apa yang didengarinya.
"Maksud Prof saya ada peluang ke nak lepas dari kes ni? Betul ke ni?"
"Saya tak boleh janji awak akan lepas. Tapi awak boleh buat rayuan untuk kurangkan hukuman awak. Jika asalnya kami dah decide awak dan Harris kena gantung belajar setahun, mungkin akan dikurangkan mengikut progres kes awak akan dibincangkan."
"Jadi saya tetap salah kan kat mata semua panel JDU?" Humaira menyoal hampa.
Prof Zahir hanya merenung Humaira.
"Kami sendiri tak mahu keadaan menjadi terlalu rumit. Saya sendiri rasa kes awak ni sepatutnya tak berpanjangan. Tapi sebab gambar tu...."
Humaira memandang Prof Zahir. Rasa kecewa tidak pernah hilang dari dirinya terhadap mereka yang mengadili kesnya.
YOU ARE READING
HUMAIRA
RomanceSatu kebetulan yang berlaku pada satu malam hingga menjadi peristiwa hitam bagi Humaira. Peristiwa hitam yang terpaksa menyatukan dua insan yang tidak pernah kenal sesama sendiri. Mampukah Humaira menerima yang kebetulan itu sememangnya takdir untuk...