Pintu yang diketuk berkali-kali membuatkan dia terbangun. Tangan menggosok mata yang kabur. Cahaya matahari yang menembus masuk menyilaukan pandangan.
"Shafira! Bangun!" Jerit si pemanggil di luar muka pintu. Tahulah dia siapa gerangan tersebut. Siapa lagi kalau bukan...
"Mawar Shafira binti Mohd Shafiq!"
"Iya, mama! Dah bangun dah!" Laungnya kuat. Jika tadi masih duduk terus bangun dari katil mendengar suara singa mama. Kepala yang terasa gatal digaru. Kaki perlahan melangkah ke pintu sebelum wajah mama menjadi santapan mata.
"Ya Ampun, apa nak jadi dengan kamu ni, Fira? Dengan matahari dah terpacak atas kepala baru bangun, rambut dah macam singa jantan." Bebel Rose melihat keadaan anak perempuannya. Naik pening dia dengan sikap Shafira. Anak gadisnya ini tidak seperti anak lelakinya. Si abang lebih mendengar kata dan pembersih. Tapi si adik...
Shafira hanya diam. Bebelan mama seperti masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Mulut menguap besar.
"Ish, kamu ni! Menguap tutup mulut!" Lengan Shafira terus menerima habuan membuatkan gadis itu meringis sakit.
"Apa ni, mama? Sakitlah!" Lengan diusap perlahan. Gamaknya mama tak tahu tangan wanita itu seperti bisa ular. Sekali kena, terus rasa sampai ke langit sakitnya.
"Haih, kalau macam ni lah perangai kamu, memang sampai bila-bila lah mama tak dapat menantu!" Bebel Rose lagi. Dia tahu, bebel lah sebanyak mana pun, Shafira masih sama. Lagi buat perangai tak semenggahnya.
Terus tegak tubuh Shafira apabila mama sebut tentang 'menantu'. Senyum mula terbit di bibir. Gigi menggigit jari telunjuk yang dibawa ke mulut.
"Ha, tu dah kenapa tu senyum miang macam tu?" Dia rasa dia patut bawa anaknya ini berjumpa dengan doktor. Makin hari perangai makin pelik. Sakit agaknya budak ni...
"Mesti best kan ma kalau dapat kahwin? Dapat pula lelaki handsome, kaya, tinggi, badan tegap, kulit sawo matang... haih mesti indah dunia ni!" Dia sudah mula membayangkan jika semua yang diangankan menjadi kenyataan. Tidak dinafikan, setiap hari dia akan berangan dapat kahwin dengan ciri-ciri lelaki idamannya. Jika perempuan lain sibuk fikir masa depan, mahu kejar cita-cita masing-masing tapi tidak untuk dia. Impiannya hanya satu, ingin berkahwin dengan ciri-ciri lelaki idamannya.
Rose mendecit sinis. Kepala tergeleng. Mulalah tu sesi berangan...
"Cukup-cukuplah berangan tu. Ada ke lelaki nak kat kamu?"
"Kenapa pula?" Bentak Shafira. Wajah dicemberutkan.
"Tengoklah diri kamu tu. Dengan tak mandi. Rambut macam singa jantan. Air liur basi melekat kat pipi. Siapa nak kahwin dengan kamu kalau macam ni lah perangai kamu, Fira?"
"Ish, mama ni! Semalam Fira stay up buat assignment lah!" Bentak Shafira.
"Bukan semalam aje kamu macam ni. Setiap hari!" Selar Rose.
YOU ARE READING
𝐁𝐀𝐓𝐓𝐋𝐄 𝐈𝐍 𝐋𝐎𝐕𝐄
Romance[ Book 5 ] Warning: Digalakkan untuk baca Lose In Revenge dahulu untuk mengelakkan kekeliruan. Selagi bergelar manusia, kita takkan berhenti diuji. Begitu juga seperti Randika. Menjadi seorang Randika Daniel memang tidak mudah. Sehingga ke tua pun...