Part 23

3.4K 185 10
                                    

Rizqi rasa seperti termakan dengan kata-kata sendiri

Alamak! Gambar ini tidak mengikut garis panduan kandungan kami. Untuk meneruskan penerbitan, sila buang atau muat naik gambar lain.

Rizqi rasa seperti termakan dengan kata-kata sendiri. Sebelum ini beria dia pujuk isterinya. Jika Shafira tak mampu untuk buat, dia boleh bantu gadis itu. Dan sekarang di sinilah dia. Buka saja pintu rumah, terus matanya dihidangkan dengan keadaan rumah yang seperti tongkang pecah. Tercekik air liur sendiri. Kaki rasa lemah semacam hendak melangkah. Dia keliru, Shafira duduk seorang di rumah ataupun ada lagi sepuluh orang?

Dia ayunkan kaki ke ruang tamu. Terlihat isterinya tidur ternganga di atas sofa dengan satu kaki di atas kepala sofa. Di tangan gadis itu terdapat snek makanan yang masih belum habis. Bukan itu sahaja, di bibir Shafira juga terdapat cebisan snek yang masih tak dikunyah gadis itu.

Kemudian mata dihala ke arah meja kecil yang ada di ruang tamu. Penuh dengan plastik makanan. Ada juga snek yang sudah habis tetapi plastiknya masih berterabur di atas karpet.

Kepala tergeleng melihat air gas yang dibiarkan tak bertutup. Seketika dia mengeluh kecil tapi cepat saja dia usir rasa itu. Dia perlu bersabar. Hendak mendidik seorang wanita bukan semudah ABC. Semuanya perlukan kesabaran setinggi bangunan Burj Khalifa.

"Tak apa, Rizqi. Dia isteri kau. Didik. Bukan herdik." Berkali-kali dia ingatkan diri sendiri. Lantaran itu, dia pantas buka uniform kerja lantas disandar ke kerusi. Dengan segala kudrat yang ada, dia alihkan snek yang ada di tangan isterinya lantas diletak di atas meja. Tubuh isterinya dicempung. Sempat dia mengelap serbuk yang hinggap di mulut Shafira. Takut nanti bersemut pula muka isterinya.

Perlahan-lahan dia letak Shafira di atas katil. Tak mahu lena isterinya terganggu. Selimut ditarik hingga ke dada. Rambut Shafira diselak ke belakang telinga. Dikucup dahi dan kedua-dua pipi gadis itu sebelum melangkah keluar dari bilik. Dia ada misi. Bukan untuk menghapus musuh. Tetapi untuk mengemas rumah yang seperti diceroboh musuh.

Dia mula dengan mengemas meja di ruang tamu. Plastik makanan dikumpulkan seraya dimasukkan ke dalam plastik besar. Air gas yang sudah habis juga dimasukkan ke dalam plastik besar. Kaki melangkah ke dapur untuk mengambil kain kecil tetapi langkahnya terhenti serta-merta melihat keadaan dapur yang seperti tunggang terbalik. Pinggan yang bertimbun dalam sinki. Kuali yang tak dibasuh selepas guna. Air yang melimpah di atas lantai.

"Aku kena letak cctv lepas ni. Risau ada orang lain dalam rumah ni. Takkan isteri aku bela saka?" Gumamnya sendiri.

Dada turun naik. Cuba ditarik nafas panjang-panjang lalu dihembus perlahan. Sabar, Qi. Sabar... desisnya dalam hati.

Dia teruskan semula misinya yang tergendala tadi. Meja dilap sehingga bersih. Karpet disapu sehingga tiada satu kotoran pun yang hinggap. Bantal disusun cantik di atas sofa. Selesai di bahagian ruang tamu, dia mengemas di bahagian dapur pula. Air yang melimpah atas lantai tadi dimop dengan pencuci pembasmi kuman. Pinggan yang telah dicuci disimpan dalam kabinet. Meja makan juga tak lupa untuk dilap.

Peluh yang merenik di dahi diseka kasar. Rasanya dia tak perlu ke gim lagi lepas ini. Buat kerja rumah pun boleh keluarkan peluh. Sekarang dia faham perasaan orang wanita yang harus mengemas rumah. Belum lagi dengan kain yang perlu dibasuh, disidai dan dilipat. Semua itu memakan tenaga yang banyak.

𝐁𝐀𝐓𝐓𝐋𝐄 𝐈𝐍 𝐋𝐎𝐕𝐄Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang