[ Book 5 ]
Warning: Digalakkan untuk baca Lose In Revenge dahulu untuk mengelakkan kekeliruan.
Selagi bergelar manusia, kita takkan berhenti diuji. Begitu juga seperti Randika. Menjadi seorang Randika Daniel memang tidak mudah. Sehingga ke tua pun...
Alamak! Gambar ini tidak mengikut garis panduan kandungan kami. Untuk meneruskan penerbitan, sila buang atau muat naik gambar lain.
Tombol pintu dipulas. Bilik yang gelap gelita itu menyapa pandangan. Tangan kemudian membuka suis lampu. Terus terang-benderang bilik tersebut. Namun, tiada sesiapa di dalamnya.
Kaki melangkah masuk mendekati katil. Punggung dihenyakkan di situ. Tangan mengusap perlahan cadar katil tersebut. Tiba-tiba dada terasa sebak. Hati dipagut rasa sedih.
"Sayang..." ujar seseorang di muka pintu. Daripada tadi dia mencari kelibat isterinya. Rupa-rupanya berada di sini.
Larissa toleh memandang suaminya yang semakin merapatinya. Air mata yang mengalir dikesat lembut. Senyum diukir buat Randika.
"Sayang buat apa dekat bilik Rizqi ni?" Hairan juga dia apabila Larissa berada di dalam bilik anak mereka. Setiap kali Rizqi cuti ataupun balik ke rumah mereka, bilik inilah yang akan dihuni lelaki itu.
Larissa geleng dengan senyuman.
"Rissa rindu anak kita, bang..." luah Larissa bersama air mata yang menitis membasahi pipi.
"Mestilah, sayang. Takkan nak biar dia bujang sampai tua? Bukan ke sayang sendiri risau kalau dia tak kahwin-kahwin?" Inilah perempuan. Sebelum ini Larissa yang selalu risau jika Rizqi masih tidak menemukan permata hati tapi sekarang lain pula.
"Iya, cuma Rissa sedih... kedua-dua anak kita dah kahwin. Dia orang akan ada hidup sendiri lepas ini. Rissa rasa macam baru semalam kita besarkan dia orang." Betapa pantasnya masa berlalu, tak lama lagi Rizqi akan berkahwin dan pasti mereka akan menimang cucu daripada Rhea ataupun Rizqi. Di matanya, mereka masih lagi budak kecil yang masih memerlukan kasih sayangnya. Takkan pernah habis kasih yang akan dicurahkan buat anak-anaknya.
Randika angguk mengiyakan kata-kata isterinya. Dia juga tak menyangka, dahulu dia yang memangku anak mereka, mengazankan anak mereka tapi sekarang kedua-duanya sudahpun ada kehidupan sendiri.
"Begitulah kehidupan, sayang... umur kita akan meningkat dan masa akan berlalu dengan sangat pantas. Anak yang kita jaga sekarang, yang kita sayang, semakin lama semakin besar. Sebab itu pentingnya kita untuk hargai setiap momen kita dengan anak-anak kita." Ujar Randika.
"Rissa rasa macam baru lagi dapat tahu Rissa mengandung."
Randika ketawa kecil. Tiba-tiba kenangan kisah mereka suatu waktu dulu menyapa fikiran.
"Dan abang pula rasa macam baru lagi abang jaga Rissa waktu Rissa mengandungkan Rhea."
Larissa pandang wajah suaminya. Terbit senyum di bibir. Masih segar di ingatan bagaimana Randika menjaganya sebaik mungkin walaupun hanya daripada jauh. Lelaki itu sangat bertanggungjawab ke atasnya. Walaupun hubungan mereka tidak baik waktu itu, Randika tak pernah lepas tangan. Sentiasa menjaga kebajikannya dan anak dalam kandungan.