Tubuh menggigil kecil. Bibir bergetar hebat tanpa suara. Mata berkaca-kaca kerana terkejut. Pertama kali. Pertama kali Randika datang berjumpa dengannya selama dua minggu dia berada di dalam. Apabila melihat wajah Randika, dia seakan-akan dapat melihat muka sendiri kerana mereka saling tak tumpah seperti orang yang sama.
"Naufal apa khabar? Sihat?" Suara serak basah Randika menjengah pendengaran. Azrael tunduk kepala seketika, tak mahu Randika melihat air matanya yang sudah pun mengalir ketika lelaki itu bersuara.
Azrael angguk. Lambat-lambat dia angkat wajah membalas pandangan sayu Randika. "Sihat." Dia seperti mati kata apabila berdepan dengn ayah kandungnya seperti ini. Pada penglihatannya, Randika kelihatan susut. Nampak benar tak cukup rehat. Kerana dia kah?
Randika senyum tipis. Sudah lama dia mahu melawat Azrael, tetapi dia belum ada kekuatan sehingga hari ini dia tetapkan hati untuk datang juga. Masih ingat kata-kata isterinya supaya berdamai dengan takdir. Hendak tak hendak, Azrael tetap anaknya. Tetap darah dagingnya.
Biarpun sewaktu Azrael dijatuhkan hukuman, dia diburu oleh beberapa orang wartawan setelah dia keluar daripada mahkamah. Namun, semuanya dihalang oleh anak buahnya. Sehingga hari ini, dia tak buka mulut langsung untuk menjawab soalan-soalan wartawan.
Malu? Tak. Dia tak pernah malu mengetahui anaknya berada di 'dalam'. Yang bermukim di dada hanyalah penyesalan. Azrael berada di sini kerana dia. Kerana kurang kasih sayang daripada dia bahkan tak pernah merasainya walaupun secebis. Dia yang memilih untuk mengabaikan. Dia yang memilih untuk mempertikaikan. Hanya kerana lebih mementingkan Larissa dan anak-anaknya, Rizqi dan Rhea. Hingga dia terlupa, Azrael juga darah dagingnya.
"Daddy minta maaf, Naufal." Randika buka mulut. Terselit nada sayu dan suara yang seperti menahan gelora jiwa.
Azrael terkedu. Daddy? Tak pernah terbayang seumur hidupnya untuk Randika menggelar diri sendiri sebegitu dengannya.
"Daddy yang salah selama ni. Daddy yang abaikan Naufal. Pertikaikan kewujudan Naufal. Khilaf daddy kerana tak bertanggungjawab hingga Naufal menjadi seperti sekarang." Jiwa merusuh. Dada dihimpit dengan kekesalan.
"Daddy minta maaf, nak. Daddy sepatutnya tahu, Naufal tak salah. Naufal tetap anak daddy. Sama seperti Rizqi dan Rhea."
Rahang Azrael bergerak kiri kanan menyembunyikan pilu dan tangis. Dada berombak ganas. Mata menjadi kuyu.
"Kalau daddy dapat putarkan masa, daddy akan jaga Naufal. Daddy akan bawa Naufal hidup dengan daddy. Naufal takkan terseksa. Naufal takkan menderita macam sekarang. Semua salah daddy, nak..." satu benda yang dia sedar, sejauh mana pun dia lari dari kenyataan, kebenaran akan tetap mengejarnya dan menghantui seluruh hidup.
Azrael menggeleng. "Saya yang pilih jalan ni. Saya yang pilih untuk jadi macam ni."
"Tapi semua tu berpunca daripada daddy. Daddy yang buat Naufal berubah dan pilih jalan ni. Daddy minta maaf... Ya Allah..." kalaulah dia dapat peluk tubuh Azrael, sudah lama didakap. Jika belum terlambat, dia mahu memberi kasih sayang yang selama ini anaknya tak pernah dapat.
YOU ARE READING
𝐁𝐀𝐓𝐓𝐋𝐄 𝐈𝐍 𝐋𝐎𝐕𝐄
Romance[ Book 5 ] Warning: Digalakkan untuk baca Lose In Revenge dahulu untuk mengelakkan kekeliruan. Selagi bergelar manusia, kita takkan berhenti diuji. Begitu juga seperti Randika. Menjadi seorang Randika Daniel memang tidak mudah. Sehingga ke tua pun...