Pandangan mula berbalam-balam melihat sekujur tubuh yang terbaring kaku di atas katil. Tak pernah sekalipun air matanya tak jatuh setiap kali melihat keadaan Shafira. Wajah itu terlihat sangat pucat seperti tak bernyawa. Wayar-wayar yang berselirat di tubuh kecil itu sering mengguriskan jiwa. Walaupun sudah dua hari berlalu, Shafira tetap sama. Masih tak sedarkan diri. Masih tak mampu bangun dari koma.
Menggigil dia menyentuh ubun-ubun Shafira. Bibir diketap kuat. Air mata yang cuba untuk menitis sehabis baik dihalang. Dia tak mahu nampak lemah di hadapan adiknya. Dia perlu kuat untuk kesembuhan Shafira. Meskipun gadis itu kaku tak sedarkan diri, Shafira masih dapat dengar apa yang dibicarakan. Jadi dia tak mahu adiknya mendengar tangisannya yang bila-bila masa saja akan pecah.
"Fira..." tak kuat dia menyebut nama itu. Hati bertambah sakit.
"Abang datang lagi hari ni temankan Fira. Mama dengan papa dah balik sebab abang minta dia orang rehat dekat rumah. Kasihan mama jagakan Fira sepanjang malam. Biar abang pula teman Fira malam ni, ya?" Sendu nada suaranya. Ya Allah, katakan padanya, bagaimana dia hendak kuat melihat keadaan Shafira yang sangat teruk ketika ini? Kulit gadis itu penuh dengan calar dan luka angkara kemalangan tersebut. Wajah Shafira yang sebelum ini licin tanpa sebarang cacat cela, kini dihiasi luka dan membengkak.
"Fira..." tangan halus Shafira digenggam. Tidak terlalu kuat, takut menyakiti adiknya.
"Abang minta maaf sampai hari ni abang tak dapat nak jejak Rizqi. Tapi Fira jangan risau, abang dah beritahu pegawai dia. Insha Allah tak lama lagi suami Fira akan tahu." Air mata yang tak dapat ditahan akhirnya tumpah terkena pergelangan tangan Shafira.
"Abang tahu, Fira nak sangat Rizqi ada dekat sini temankan Fira. Fira mesti rindukan Rizqi, kan? Tapi Rizqi tengah kerja sekarang. Nanti bila dia dah habis kerja, dia akan datang sini. Fira sabar sikit, ya?" Dia tak meminta lebih, cukuplah adiknya bertahan sehingga Rizqi datang. Dia tak mampu memikirkan jika sahabatnya tidak sempat melihat isteri sendiri yang masih bertarung dengan nyawa. Entah apa agaknya reaksi sahabatnya nanti apabila mengetahui isteri sendiri sedang tenat.
"Fira, tolonglah bangun. Abang tahu abang bukan seorang abang yang baik. Abang tak pandai nak melayan adik sendiri. Abang tak pandai nak tunjuk kasih sayang abang pada Fira tapi abang sayangkan Fira sangat-sangat. Tolonglah bangun... abang merayu, Fira... abang merayu." Rintihnya diselangi tangisan yang tak mampu ditahan. Sesiapa pun takkan kuat apabila berada di situasinya. Darah daging sendiri, lahir dari rahim yang sama, membesar bersama-sama, tika ini sedang bertarung untuk hidup. Dia seperti hilang separuh dari dirinya.
Tiba-tiba, dada Shafira turun naik dengan kencang. Helaan nafas gadis itu kedengaran sangat kuat. Suara Saif tersekat dalam rengkung. Kepala pantas menoleh ke arah mesin defibrilator yang berbunyi mendatar, bukan lagi turun naik. Ini bermakna degupan jantung gadis itu terhenti.
"Shafira!" Digoncang kuat bahu gadis itu tetapi Shafira langsung tak membuka mata.
"Ya Allah!" Air mata mencurah-curah ke pipi. Butang kecemasan yang berada di kepala katil ditekan sebelum seorang doktor dan beberapa orang jururawat bergegas masuk ke dalam wad.
YOU ARE READING
𝐁𝐀𝐓𝐓𝐋𝐄 𝐈𝐍 𝐋𝐎𝐕𝐄
Romance[ Book 5 ] Warning: Digalakkan untuk baca Lose In Revenge dahulu untuk mengelakkan kekeliruan. Selagi bergelar manusia, kita takkan berhenti diuji. Begitu juga seperti Randika. Menjadi seorang Randika Daniel memang tidak mudah. Sehingga ke tua pun...