Sudah setengah jam dia berdiri kaku di luar bilik wad. Hanya mampu memerhati di sebalik birai tingkap. Bukan tak mahu mendekati Shafira tetapi melihatkan wajah gadis itu yang tersenyum dan gelak ketawa bersama keluarganya, dia jadi serba salah. Bagaimana kalau jika dia masuk, gadis itu akan kembali memberontak? Mengingatkan itu, dia menghembus nafas berat. Lagi.
Sakit apabila dia hanya dapat perhati dari jauh walhal dia lebih berhak mendekati isterinya. Seberapa lama lagi dia dapat menahan diri? Seberapa mampu lagi dia menanggung rindu terhadap sang isteri? Ini lebih perit daripada tak dapat berjumpa langsung.
"Fira, abang nak sangat peluk Fira sekarang ni..." rintihnya sendiri. Sejak daripada dia tahu tentang keadaan isterinya, setiap hari dia hanya perhati daripada jauh. Siang dan malam dia menjaga gadis itu tanpa pengetahuan Shafira. Itu yang termampu buat masa ini. Dia tak mahu apa-apa berlaku pada isterinya. Dia mahu Shafira cepat sihat dan cepat mengenalinya seperti dulu.
Dia rindukan hubungan mereka yang dahulu. Dia yang sering mengusik dan Shafira yang sentiasa merajuk akibat disakat. Dia rindu hendak melihat senyuman gadis itu yang sentiasa terukir setiap kali bersamanya. Sekarang, jangankan senyum, pandang pun tidak.
Pintu yang terbuka dari dalam menghentikan lamunan Rizqi. Kepala menoleh melihat figura yang baru keluar. Juring mata yang basah diseka kasar.
"Rizqi..." tergamam dia apabila melihat tubuh Rizqi di luar bilik wad. Berapa lama agaknya lelaki itu berdiri di luar?
Rizqi hanya senyum tipis seraya melangkah ke bangku. Dilabuhkan duduk. Begitu juga Saif.
"Macam mana dengan Fira? Dia okay?" Soal Rizqi perlahan. Melihat dari mata kasar, gadis itu nampak baik-baik saja. Tetapi tidak tahulah dalamannya bagaimana. Mental gadis itu pasti tidak sebaik luaran yang dipertontonkan.
Saif angguk. "Okay. Alhamdulillah. Cuma... dia cari kau."
Rizqi menelan liur kesat. Kepala kembali ditoleh ke arah birai tingkap. Terlihat Rose sedang menyuap isterinya makan.
"Qi, aku rasa kau kena jumpa dia. Setiap hari dia tanya pasal kau. Setiap hari dia tunggu kau." Saif mulakan bicara. Sudah naik lelah dia hendak memberi alasan setiap kali Shafira bertanya tentang Rizqi. Tak tahu jawapan apa lagi dia harus reka.
Rizqi menggeleng lemah. "Tak boleh, Saif. Keadaan dia tak pulih lagi. Kalau aku jumpa dia pun, dia akan meracau macam sebelum ni. Dia... tak kenal aku pun, Saif. Semua tu sia-sia aje. Sia-sia..." tangan ditongkat pada lutut. Kepala menekur ke lantai. Sesal menyelubungi diri.
Saif mengeluh berat. Dia juga buntu bagaimana hendak membantu Rizqi dan Shafira.
Suasana sunyi buat seketika sebelum tangisan seseorang kedengaran. Saif terkedu melihat bahu Rizqi terhinggut. Walaupun dia tak dapat lihat wajah lelaki itu tetapi dia yakin Rizqi sedang menangis.
"Qi..."
"Aku kesal dengan diri aku, Saif." Tiba-tiba dia bersuara.
"Aku suami dia yang sepatutnya ada dengan dia waktu ni tapi... Dia rasa aku orang asing. Dia tak kenal aku. Dia rasa aku adalah satu ancaman. Padahal... Aku suami dia... Aku suami dia yang sah!" Bergetar nada suaranya. Tangan digenggam kuat, menahan diri daripada terus menghamburkan tangisan. Dia bukan lelaki yang berlagak macho, dia hanya lelaki biasa yang tetap mengalirkan air mata ketika melibatkan orang yang dia sayang.
YOU ARE READING
𝐁𝐀𝐓𝐓𝐋𝐄 𝐈𝐍 𝐋𝐎𝐕𝐄
Romance[ Book 5 ] Warning: Digalakkan untuk baca Lose In Revenge dahulu untuk mengelakkan kekeliruan. Selagi bergelar manusia, kita takkan berhenti diuji. Begitu juga seperti Randika. Menjadi seorang Randika Daniel memang tidak mudah. Sehingga ke tua pun...