Prang!
Keadaan bilik yang tertutup itu tunggang-langgang selepas kehadirannya. Lelaki itu menghumban segala barang yang ada di sekeliling. Gelas kaca yang ada di atas meja juga dicampak ke lantai sebelum berderai jatuh ke lantai. Kerusi diangkat lantas dicampak ke dinding sehingga patah dibuatnya.
"Arghhhhhh!" Jeritannya bergema di seluruh bilik, melepaskan rasa yang menyesakkan dada. Rambut dicengkam kasar. Memori silam yang sebaik mungkin cuba dibuang kembali menjengah fikiran sekali gus menghadirkan rasa sakit.
Tubuh sasanya bersandar ke dinding sebelum perlahan-lahan jatuh melorot ke lantai. Kaki diangkat, lutut dibawa rapat ke dada. Sedikit demi sedikit air mata jatuh menitis ke pipi.
"Ibu..."
"Siapa ibu kau? Eh kau pergi lah sana, jangan ganggu aku! Aku benci kau, faham tak?!"
Kepala tertunduk ke bawah, menyembunyikan tangisan yang semakin lama semakin kuat. Setiap kali dia menangis, setiap kali air matanya jatuh, umpama hatinya disiat-siat dengan pedang tajam. Disebabkan itu, dia cuba tunjuk kuat di hadapan semua orang. Biar orang lihat dia seperti lelaki yang kejam, bukan lelaki yang lemah.
"Kau lemah. Sebab tu kau tak mampu benci ibu kau sendiri. Walaupun dia dah buang kau... dah tinggalkan kau... kau tetap sayangkan dia! Kau memang bodoh!" Tempelaknya pada diri sendiri diselangi tangisan yang berlagu.
"Naufal..."
Kepala menengadah kepada suara yang memanggilnya di muka pintu. Wajah figura itu amat menjengkelkan baginya. Dia kenal raut muka itu. Raut muka simpati sedangkan dia benci apabila orang memandang simpati padanya. Dia bukan manusia yang tagihkan perhatian dan simpati orang! Dia cuma dahagakan kasih sayang seseorang...
"Aku dah cakap jangan panggil aku nama tu lagi, kan? Panggil aku—"
"Kau tetap Naufal yang aku kenal. Tak pedulilah apa pun yang kau cuba tunjuk pada orang lain, kau cuba sorokkan identiti kau pada sesiapa pun, aku lebih kenal kau." Pintas lelaki asing itu laju. Kaki menapak mendekati Naufal sebelum dilabuhkan duduk di sebelah lelaki itu. Pandangan dijatuhkan pada wajah Naufal. Bukan dia tak perasan lelaki itu menangis.
"Apa yang dah jadi dengan kau, Fal? Bertahun-tahun aku biarkan kau hidup sendiri, berharap kau akan jadi lebih baik. Bukan..." kepala menggeleng kesal. Tak dapat meneruskan kata.
"Aku cuba buang semua rasa tu. Tapi sakitnya masih terasa. Kau tak faham, Izz. Kau ada keluarga yang bahagia. Kau ada umi yang sentiasa sayang kau. Kau ada baba yang sentiasa kisahkan kau. Dan kau ada isteri yang cintakan kau. Tapi aku tak... aku tak rasa semua tu... aku tak ada keluarga, aku cuma sebatang kara." Tubir mata mula berkaca-kaca. Sebak menghenyak dada.
"Siapa cakap kau sebatang kara? Kau lupa ke keluarga aku pun keluarga kau juga? Kau tu yang jauhkan diri daripada kami semua. Kau tahu tak umi baba selalu tanya pasal kau sampai aku dah tak tahu nak jawab apa? Lepas kau dah ada kerja, kau terus tinggalkan rumah. Kau cakap nak hidup sendiri, tak nak bergantung pada sesiapa, tapi sebenarnya kau bukan nak hidup sendiri tapi kau nak jauhkan diri daripada semua orang." Dia sudah salah anggap. Fikirnya, selama ini Naufal telah lupakan apa yang terjadi. Lelaki itu semakin pulih daripada masa lalu tetapi rupa-rupanya tak. Naufal masih terbelenggu dan terkurung dalam masa silam sendiri.
YOU ARE READING
𝐁𝐀𝐓𝐓𝐋𝐄 𝐈𝐍 𝐋𝐎𝐕𝐄
Romance[ Book 5 ] Warning: Digalakkan untuk baca Lose In Revenge dahulu untuk mengelakkan kekeliruan. Selagi bergelar manusia, kita takkan berhenti diuji. Begitu juga seperti Randika. Menjadi seorang Randika Daniel memang tidak mudah. Sehingga ke tua pun...