ANGIN yang bertiup menampar pipinya terus membuka matanya. Hampir sahaja dia menjerit apabila bayangan api yang cuba memakan tubuhnya menjengah ruang matanya yang tertutup. Sebaik sahaja matanya dibuka, nafasnya yang laju terus diaturnya. Pemandangan yang menyapa mata hazelnya terus membuatkan dahinya berkerut. Dia juga baru sedar kedudukannya yang sedang terbaring. Perempuan itu bangkit.
Kepalanya dipalingkan ke kiri dan ke kanan, memandang ke arah sekeliling yang asing buat dirinya. Dahinya yang berkerut kelihatan normal semula. Kepalanya dipegang, cuba untuk mengingati apa - apa yang berkenaan namun pita kaset dalam kepalanya seolah - olah tersangkut dan tak boleh memutarkan sebarang memori di dalam mindanya lagi.
Langit biru, dan tubuhnya terbaring di atas rumput hijau lembut seakan karpet, dikelilingi dengan bunga ros, daisi dan tulip. Mereka seolah berlumba - lumba melepaskan wangian mereka yang mengasyikkan. Perempuan itu terus bangkit dari baringnya. Menyedari tubuhnya menyarungkan sehelai gaun putih, kepalanya terteleng sebelum dahinya kembali berkerut. Namun, akhirnya dia berdiri juga di atas dua batang kakinya sendiri.
Laju kakinya melangkah, meneroka sekitar padang bunga tersebut tanpa sesiapa yang boleh menghalanginya. Tubuhnya terasa ringan, seolah - olah angin yang membawanya pergi menyelusuri kawasan tersebut. Rama - rama berwarna - warni turut berterbangan di sisinya, ibarat para dayang yang mengiringi langkah sang puteri. Nayla senyum manis. Di mana pun dia sekarang, tak mahu tinggalkan tempat ini.
Suara manisnya yang ketawa menikmati keindahan alam terus memecahkan kesunyian kawasan tersebut. Nayla sukakan suasana ini. Tiada siapa yang boleh menghalang bagaimana dia mahu melangkah, tiada siapa yang boleh mengatur cara dia harus ketawa, tiada orang yang boleh mempertikaikan lagi solekan di wajahnya. Dia seolah - olah berada di syurga, jauh dari duniawi yang memakan jiwanya.
Di kala itu juga, iris matanya dapat menangkap satu susuk dari belakang yang memandang ke arah langit. Wajahnya tak dapat Nayla lihat. Rambutnya berwarna perang, hampir mirip dengan hujung rambutnya sendiri. Suara mendayu lembut yang dia dengar tadi tak lain tak bukan datangnya dari perempuan misteri ini. Siapakah dia ? Kenapa dia turut terjebak sama dalam mimpi indah Nayla ?
Langkahnya diatur, mendekati perempuan tersebut. Sekali lagi, langkahnya diiringi rama - rama yang mengelilingi tubuhnya dalam bentuk bulatan. Semakin dia mendekati perempuan misteri itu, bauan mawar terus menusuk hidungnya - seolah - olah ia datang dari perempuan misteri itu. Alunan lagu yang bagaikan madu itu juga sungguh manis untuk Nayla telan di telinganya. Apabila dia semakin mendekati, perempuan itu balikkan tubuhnya.
Melihat Nayla, perempuan bermata hazel, berpipi cerah dan sedikit merah serta berambut perang itu tersenyum manis. Wajahnya tenang, memandang ke arah Nayla yang tergamam atas apa sahaja yang baru dia lihat. Nayla pula, seolah - olah terlalu terpesona dengan kecantikan perempuan di depan matanya itu. Wajahnya sempurna. Tiada sebarang cacat cela. Bulu matanya lentik secara asli. Layaknya seorang, bidadari.
Bidadari kiriman Tuhan.
ANDA SEDANG MEMBACA
𝐂𝐀𝐑𝐋𝐄𝐍𝐄 | [✓]
Romance®2024- NADYYANR WORKS ────────────── Academic rival to lovers ? NAYLA IEMELDA, pelajar terbaik akademi berprestij. Tugasnya cuma sekadar melakarkan kejayaan dan menempa nama untuk menjadi yang terbaik antara yang terbaik. Bersama senyuman sempurna...
![𝐂𝐀𝐑𝐋𝐄𝐍𝐄 | [✓]](https://img.wattpad.com/cover/372130288-64-k638218.jpg)