Bab 1

1.9K 20 0
                                    

Sang suria sudah hampir-hampir terbenam di ufuk  barat,melemparkan cahaya merah kekuningannya menerobosi celah-celah dedaun kayu di Kampung Kuala Kedah. Angin petang menderu sepi, dedaun kelapa meliuk-lintuk dipuput bayu bagaikan jejari lentik penari jelita. Burung-burung riuh berbunyi di dahan menikmati udara petang yang nyaman setelah sehari suntuk keluar mencari rezeki.

Namun kanak-kanak masih leka bermain di halaman berlari-larian dan berkejar-kejaran.

Di serambi rumah yang sederhana besarnya,dua orang lelaki separuh usia masih asyik berbual-bual tanpa menghiraukan suasana hingar-bingar di halaman.

"Mana Si-Kuntum tak nampak-nampak daripada tadi?"tanya lelaki gemuk berkulit cerah berpakaian segak kepada teman perbualannya yang berkulit sawo matang.Orangnya sederhana sahaja tetapi tegap,lengannya berulas,dadanya yang tidak berbaju kelihatan berotot.

"Mengikut abangnya barangkali,"jawabnya lanjut sambil mengerling acuh tak acuh ke halaman."Si-Bujang tu dah 6 tahun menuntut di Tanah Rencong.Baru sepurnama pulangnya."

Lelaki berpakaian segak batuk-batuk kecil bagaikan kurang senang nama itu disebut.

"Jadi,apa keputusanmu,Jalil?"dia meminta pendapat.

"Beginilah,Tok Penghulu,"lelaki yang dipanggil Jalil itu agak keberatan.

"Perkara jodoh bukan perkara kecil. Berilah hamba tempoh barang seminggu dua.Perlu hamba duduk berbincang dengan isteri hamba Siti."

"Baiklah,aku beri tempoh dua minggu,"Tok Penghulu bangun tergesa-gesa dari duduknya,diikuti oleh Jalil.

"Selepas habis tempoh,akan kuhantar rombongan meminang.
Terima sahajalah,Jalil.Anakku Wan Perkasa dengan anak gadismu itu memang sudah sepadan,bak pinang dibelah dua."

"Ya,Tok,"hanya itu yang mampu dijawab Jalil,wajahnya agak keruh.

Tanpa menghulur tangan berjabat salam,Tok Penghulu terus turun dari serambi,memakai capalnya lalu bergegas meninggalkan pekarangan rumah. Jalil memerhati sehingga Tok Penghulu hilang dari penglihatan, kemudian memanjang leher meninjau ke halaman seperti mencari sesuatu.

"Mana budak-budak ni,dah dekat nak senja belum balik-balik lagi,"rungutnya pada diri sendiri,kemudian memekik memanggil isterinya.

"Siti!Oi,Siti!"

Di saat itu,Bujang sedang leka menunjukkan apa yang dipelajari di seberang laut kepada adik perempuannya,

"Kelmarin abang dah tunjuk enam jurus,petang ini jurus ketujuh,namanya Jurus Sitir. Caranya begini,"Bujang pun menunjukkan caranya,diperhati dengan teliti oleh Kuntum.

"Yang kelapan Jurus Keawal,yang kesembilan Lewatan....!"

"Abang cepat sangat,susah Kuntum mau ingat,"rungut Kuntum.

"Kenapa nama jurus pelik-pelik belaka sampai susah nak sebut?"

"Manalah abang tahu,"bidas Bujang."Itulah yang abang pelajari di Acheh dulu."

Ketika itu terdengar sayup-sayup nama mereka dipanggil dari arah rumah.

"Mak dah panggil tu,"Kuntum mengingatkan abangnya.

"Kau baliklah dulu,nanti mengamuk pula Mak dengan Ayah,"Bujang menolak bila Kuntum memegang tangan mengajaknya pulang bersama.

"Abang nak mandi dulu."

Dua beradik itu pun berpisah,seorang pulang ke rumah,seorang lagi menuju ke perigi.

Selesai menjamu selera malam itu,Jalil termenung seorang diri di serambi,matanya memerhati suasana alam yang bermandikan cahaya bulan.Isterinya Siti sedang mengemas pinggan-mangkuk.Dalam dalam rumah kedengaran suara Bujang mengajar adiknya membaca Al-Qur'an. Wajahnya murung bila mengenangkan rahsia yang selama ini terpendam.

Tengku Alang Iskandar StoryWhere stories live. Discover now