Selepas berpisah dengan bapa saudaranya,Bujang terus menghala ke arah yang dipersetujui sambil menggalas kampitnya.Dia singgah di beberapa tempat bertanya tentang isterinya Chendana tetapi tidak membuahkan hasil. Tiada sesiapa yang kenal siapa Chendana atau perempuan Melayu yang menyerupai Chendana.Namun,dia tidak putus asa. Dia terus juga bertanya tanpa jemu-jemu. Menjelang waktu rembang,dia sudah berada semakin jauh dari pengkalan.Gedung,kedai dan rumah-rumah kediaman semakin berkurangan.Melihat matahari hampir tergelincir ke barat,dia pun singgah di sebuah warung.Kebetulan berhampiran warung itu terdapat sebuah surau tua yang sudah lama ditinggalkan orang. Warung itu dilupakan dulu.Dia perlu membersihkan diri sebelum sembahyang zohor.Tanpa berlengah lagi,dia pun singgah di surau tua.Mujurlah terdapat sebuah perigi.Air perigi itu kelihatan jernih dan bersih walaupun di sekitarnya semak ditumbuhi rumput liar.Melihat tiada baldi di situ,dia mengambil upih pinang lalu dibentuknya menjadi seperti cebok. Dia pun menukar pakaiannya dengan kain basahan lalu mandi.Pakaiannya dibasuh,diperah lalu dijemur.Keadaan di atas surau tua itu pula berselerak,lantainya berhabuk,dinding dan lelangit penuh dengan sarang labah-labah.Dikerat-nya beberapa helai daun pisang,dihampar dijadikan sejadah. Dengan hanya berkain pelikat dan berselimpang kain cindai pemberian Ratna,dia pun mengerjakan solat jamak taqdim.Sementara menunggu pakaiannya kering,dia berwirid dan berzikir seorang diri,dirinya hanyut ke alam lain yang serba indah,aman damai lagi tenteram.Sementelah lagi keadaan di surau tua itu redup kerana dinaungi pepohon yang rendang. Menjelang petang,setelah Bujang nyaris-nyaris terlelap,baru dia bangun menyarungkan pakaian pendekarnya. Pakaian serba hijau pemberian Ratu Jambi yang sudah kering itu dilipat disimpan di dalam kampitnya. Dengan bertanjak,berbengkung serta berkeris dua,dia pun menyarungkan capalnya lalu beredar ke warung berhampiran. Beberapa orang yang tidak dikenali melihat sahaja kampit yang digalasnya tetapi tidak ada yang berani menegurnya. Bujang meletakkan kampit itu di atas meja,matanya meninjau lauk-pauk yang tersaji di dapur.."Air kopi satu,"katanya pada pembantu warung yang menghampiri mejanya."Nasi satu.Lauk ikan goreng." "Kopi dua,nasi dua,hamba yang bayar,"terdengar suara yang macam dikenalinya. Pembantu kedai itu angguk kepala lalu meninggalkan mereka. Bujang menoleh ke sebelah memandang orang yang baru datang itu. Memang tidak salah lagi. Pemuda cina yang tersenyum padanya itu memang dikenalinya meskipun dibaluti pakaian Melayu. "Duduklah,Taiko Chin,"pelawa Bujang dengan ramah. "Taiko Chin lagi,"keluh pemuda itu sambil duduk,bahasa Melayunya fasih."Nama hamba Lim Kin Chin,Panglima. Panggil saja Ah Lim. Kalau Taiko Chin,bunyinya tak sedap." Bujang tergelak."Kedah tempatnya jauh. Ah Lim buat apa di sini?" "Hamba tak bekerja dengan Taukeh Wong lagi,"jelas Ah Lim."Sekarang hamba bekerja di atas kapal,ikut Tuan Jourdain.Sama Nakhoda Ali." "Hamba kenal dengan Nakhoda Ali,"sampuk Bujang,teringat kembali kapal yang ditumpanginya dari Pulau Pinang ke Melaka bersama Andika dan rakan-rakan lain. Pembantu warong membawa makanan yang dipesan. Mereka pun makan dengan tenang. " Hamba dengar Panglima mencari isteri Panglima,"Ah Lim menukar tajuk. "Ya,benar,"akui Bujang."Namanya Chendana.Berlesung pipit di pipi. Bertahi lalat di hujung bibir sebelah kanan.Kulitnya kuning langsat.Rambut ikal mayang.Dia dipercayai masih berada di sini." "Sudah dibawa ke tempat lain,"Ah Lim membuat kejutan dengan beritanya. "Ke mana?"suara Bujang tiba-tiba meninggi,tangannya menepuk meja,menyebabkan air daslam cawan berkocak dan hampir tumpah.Beberapa orang memandang ke arah mereka. "Kata orang,ke Madiun di Jawa Tengah,"balas Ah Lim dengan tenang."Dijual kepada seorang pegawai Belanda untuk dijadikan gundik. Hamba dapat berita ini dari seorang perempuan yang baru turun dari kapal bersama isteri Panglima." "Cis,"Bujang memengkis,menahan geram.Kalau diikutkan hati,roboh meja itu dan terpelanting pinggan-mangkuk dibuatnya.Namun,tidak ada gunanya dia melepaskan geram tidak bertempat.Ah Lim dan orang-orang di situ tidak bersalah. Lantas dia menarik nafas panjang sambil beristighfar dalam hati. Rasa marahnya padam seperti api dijirus air. Dia duduk semula menyambung makannya. "Kamu mesti tolong hamba,Ah Lim,"pinta Bujang setelah hatinya tenang."Cari sesiapa yang boleh menunjuk jalan ke sana.Upahnya lumayan." "Beginilah,Panglima,"Ah Lim memberi cadangan."Pedati hamba ada di sana. Kita balik ke pengkalan,biar hamba tanya orang kalau-kalau ada yang mahu ke Madiun." "Kamu ttidak ikut serta?"tanya Bujang. "Hamba masih terikat janji dengan Tuan Jourdain,"Ah Lim menjelaskan."Orang Inggeris menyebut contract. Tempoh contract hamba dan rakan-rakan hamba selama tiga tahun.Tapi, hamba akan membantu Panglima setakat mana yang termampu." Petang itu juga mereka naik pedati balik ke pengkalan.Sementara Bujang menunggu di sebuah masjid,Ah Lim keluar bertanya khabar dan mencari orang yang boleh membantu dalam pekerjaan tersebut dengan berbekalkan sedikit wang pemberian Bujang.Tinggal Bujang bertawakaf seorang diri di mesjid berhampiran pasar itu. Menjelang senja,Ah Lim yang ditunggu-tunggu tidak datang,sebaliknya Panglima Kahar yang muncul dengan wajah berseri-seri. "Paman bertemu Ah Lim tadi,"Panglima Kahar menyampaikan berita baik itu."Dia sudah balik ke kapal kerana Tuan Jourdain hendak belayar malam ini.Tapi,dia berjaya menemui orang yang sanggup ke Madiun.Besok pagi,orang itu akan berjumpa dengan kita di hotel." "Bujang bercadang hendak bermalam di masjid ini,"Bujang cuba menolak. "Tak bolehlah begitu,"Panglima Kahar berkeras."Paman sudah berjanji nak jumpa di sana." "Baiklah,"Bujang terpaksa akur meskipun hatinya memberontak. Di atas kapal Nakhoda Mamat,Kartini semakin gelisah. Sejak balik dari pengkalan pagi tadi,hatinya tidak tenteram. Dia telah cuba mencari suaminya namun gagal.Pelabuhan Betawi bukannya kecil seperti Kota Melaka.Selepas menemui beberapa orang tentang urusannya,dia pun kembali ke kapal. Dia mengurungkan diri sepanjang hari,matanya bengkak kerana terlalu banyak menangis mengenangkan nasibnya. Remang-remang senja baru dia muncul di atas geladak mengambil angin. Dia masih bersendirian tanpa mempedulikan anak-anak kapal atau penumpang lain.Setelah matahari tenggelam di ufuk Barat,dia membuat keputusan nekad untuk naik ke darat.Untung-untung suaminya bermalam di hotel. Semua barang-barangnya dikemas dan dimasukkan ke dalam bakul rotan. "Cik Puan nak ke mana malam-malam begini?"Nakhoda Mamat yang kebetulan berada di geladak menegur bila melihat Kartini hendak turun dari kapal. "Mencari suami kulo Datuk Panglima Agung,"balas Kartini dengan loghat Jawa." Kulo bosan menunggu sehari-suntuk." "Kok iya pun tunggulah sampai Datuk pulang,"Nakhoda Mamat menyarankan. "Kulo sudah edan kasmiran,"tegas Kartini,lantas naik ke pengkalan. Nakhoda Mamat hanya mampu menggelengkan kepala melihat kedegilan Kartini itu.Di pengkalan,Kartini terus mendekati sebuah pedati yang sedia menunggu penumpang di situ. Dalam bahasa Jawa yang fasih dan pekat,dia minta supaya dihantar ke sebuah hotel yang paling mahal di Betawi. Bujang dan Panglima Kahar baru berkira-kira hendak menyewa rumah tumpangan yang dimaksudkan apabila pedati yang dinaiki Kartini berhenti di hadapan pintu masuk. Mereka sama-sama menoleh ke belakang kerana menyangka Ah Lim yang datang. Demi terpandang isterinya,Bujang segera menoleh ke arah lain."Memang sudah kuduga,"rungutnya perlahan. Panglima Kahar pura-pura tidak mendengar rungutan Bujang."Silakan,Puan Kartini,"pelawa-nya dengan senyum yang dibuat-buat."Memang kami bercadang hendak mengundang Cik Puan bermalam di sini. Rupanya Cik Puan lebih cepat." "Terima kasih,Datuk Panglima,"Kartini segera mendapatkan suaminya."Sudah abang tempah biliknya?" "Belum,"jawab Bujang sepatah. "Berikan kami bilik yang paling baik,"perintah Kartini pada kerani yang bertugas. "Satu ratus florins,"kerani berbangsa Serani itu menghulurkan kunci bilik yang diminta. "Abang tolong bayar ongkosnya,"Kartini mencapai kunci itu lalu berlari-lari anak menaiki tangga menuju ke bilik tersebut.Tanpa sepatah kata,Bujang menyerahkan dua keping wang emas Belanda kepada kerani itu.Kerani itu membelek wang itu seketika,kemudian mengangguk tanda setuju. Bujang berpaling menaiki tangga tanpa menoleh kepada bapa saudaranya lagi. "Mengapa kita berhenti di sini?"desak Tunku Balqis pada Ketua Hulubalang yang juga Nakhoda lancang itu. "Ampun Tuanku beribu-ribu ampun,Tuan Puteri," sembah Nakhoda itu."Patik sekelian tak dapat meneruskan pelayaran kerana laut masih bergelora.Di sinilah kita berlindung." "Berapa lama pula kita harus menunggu?"desak Tunku Balqis lagi sambil merenung malam pekat tidak berbintang yang diselang-seli dengan petir. "Lebih-kurang dua bulan,Tuan Puteri,"balas Nakhoda,takut-takut. "Dua bulan?"Tunku Balqis seperti harimau lapar."Apa,tak ada kah jalan lain yang lebih selamat tanpa menunggu dua bulan di sini?" "Ampun Tuan Puteri,memang ada,"sembah Nakhoda itu." Ikut Selat Melaka dan Pulau Jawa. Tapi jaraknya berlipat-kali ganda jauhnya." "Tunggu pun tunggulah,"Tunku Balqis mengalah akhirnya lalu masuk ke dalam kurungnya di bawah geladak. Chendana dan Wan Fatimah sedang bermain congkak di bawah sinaran cahaya lampu lilin. "Kita terpaksa menunggu di sini selama dua bulan lagi,"keluhnya seperti merajuk. "Musim tengkujuh belum berakhir,"Chendana menjelaskan sambil terus bermain." Mahu tidak mahu,di Kuala Singapura inilah tempat perlindungan yang paling selamat.Lainlah kalau Kakak mahu berpatah balik ke Batu Sawar dan menunggu di sana." "Kalau kita berpatah balik,apa jaminan Chendana yang kita akan dibenarkan belayar ke Tanah Bugis selepas musim tengkujuh?"tanya Tunku Balqis. "Tidak ada jaminan,Kak,"Chendana berterus-terang."Namun,kita boleh berusaha dan memujuk.Kalau kena gayanya,insyaAllah,Mak dan Ayah akan benarkan." "Entahlah,susah Kakak memikirkannya,"Tunku Balqis mengeluh lagi. "Fatimah pergi beradu dulu,ya?"pujuk Chendana."Mak Long nak berkira-bicara dengan Bondamu." "Baiklah,Mak Long,"Wan Fatimah pun bangun menuju ke tempat perbaringan di sudut bilik lalu baring menyelimutkan dirinya. "Pandai betul Fatimah membawa diri,"puji Chendana perlahan.Hatinya tiba-tiba sebak mengenangkan Fatimah yang kematian ibunya sejak dilahirkan.Dikesatnya air mata dengan lengan bajunya. "Dialah intan payung,dialah nyawa Kakak,"bisik Tunku Balqis,juga merasa hiba. "Jadi,apa daya kita sekarang?"Chendana bertanya setelah mereka diam seketika. "Kakak rasa eloklah kita kembali ke Batu Sawar,"Tunku Balqis memberi keputusan yang ditunggu-tunggu Chendana."Kita tunggu di sana sehingga habis musim tengkujuh. Wan Fatimah pasti bergembira kerana dia lebih bebas bermain-main. Duduk di atas lancang ini tempatnya sempit,kebebasan terbatas." "Molek sekali cadangan Kakak itu,"sokong Chendana menyembunyikan kegembiraannya. "Kalau begitu,besok pagi akan Kakak titahkan Nakhoda Temin melayarkan lancang ini balik ke Batu Sawar,"Tunku Balqis berjanji. Ketika Bujang bangun menuju ke bilik mandi,Kartini masih lagi termengah-mengah selepas belayar beberapa lama malam itu. Dalam kesamaran bilik yang hanya diterangi sebatang lilin,rambutnya kusut-masai,matanya kelihatan kuyu tidak bermaya. Lutut dan pahanya masih menggeletar,begitu kuat penangan yang diterimanya. Dari dalam bilik mandi kedengaran bunyi air dijirus,menandakan suaminya sedang mandi sebelum mengerjakan sembahyang tahajud dan witir. Memang sejak terbangun tengah malam tadi hingga ke waktu dinihari,mereka berhempas-pulas di tempat tidur seperti kucing bergomol.Dia tersenyum sendirian mengenangkan saat-saat manis penuh lazat itu. Bujang keluar tidak lama kemudian,badan dan rambutnya yang basah sudah dilap dengan kain basahan.Dia mencapai kain pelikat yang tergantung pada dinding. "Tini tak ingin sembahyang subuh?"buat kesekian kalinya Bujang bertanya pada isterinya sambil menyarungkan kain pelikat.Kartini menggeliat di bawah selimut tebal. Lambat-lambat dia bangun menyanggul rambutnya.matanya masih layu. "Pergilah mandi,baru badan terasa segar,"pinta Bujang lagi sambil memakai bajunya. Dengan hanya berkemban kain batik,Kartini akhirnya bangun melenggang seperti itik kekenyangan menuju ke bilik mandi. Bujang tersenyum bangga.Nasihatnya berbekas juga di hati Kartini.Dia mengenakan ketayapnya.Daun jendela dikuaknya sedikit,matanya menyorot ke ufuk timur.Fajar sidiq belum menjelma,subuh beluym lagi tiba. Sementara menunggu Kartini habis mandi,dia pun mengerjakan sunat tahajud an witir. Subuh itu Jumaat 4 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 27 Oktober 1652 Masehi, buat pertama kali dalam sejarah perkahwinan mereka yang singkat,Bujang berjaya melakukan sembahyang jemaah bersama Kartini.Akhirnya,terbuka hati Kartini menerima taufik dan hidayah dari Allah.Ini satu pertanda yang cukup baik dalam kehidupan mereka,bertambah baik lagi buat anak yang bakal lahir kelak. Baka yang baik datangnya dari induk yang baik. Tepat seperti yang dijanjikan,mereka dikunjungi lelaki yang akan membawa mereka ke Madiun ketika mereka bersarapan di dewan makan rumah tumpangan itu. "Nama kulo Kartolo,"lelaki Jawa itu memperkenalkan dirinya dan rakannya."Ini sahabat kulo namanya Kasiman. Kalian kah yang mahu ditunjuk jalan ke Madiun?" "Benar,"Panglima Kahar bangun menyambut mereka berdua."Kalian berdua supir kami,ya? Hamba Panglima Kahar,ini kemanakan hamba Panglima Agung dan itu isterinya Kartini." Kartini kelihatan terkejut tetapi Kartolo dan Kasiman tunduk penuh takzim. "Ongkosnya bayar tunai,"tegas Kartolo."Kami butuhkan barang-barang yang harus dibawa." Bujang mengeluarkan dua uncang berisi wang emas lalu diberikan kepada Panglima Kahar. "Paman ikut mereka,"pinta Bujang."Beli semua barang-barang yang diperlukan.Kalau tak cukup,beritahu Bujang." "Kenapa abang tak beritahu awal-awal abang nak ke Madiun?"Kartini bertanya sebaik sahaja Panglima Kahar keluar bersama Kartolo dan Kasiman. "Kerana Tini tidak bertanya,"Bujang berseloroh. "Tapi,kenapa Madiun?"desak Kartini lagi."Kenapa bukan tempat lain?" "Chendana dibawa ke Madiun untuk dijual sebagai gundik seorang pegawai Belanda." "Yakah?"Kartini kelihatan terkejut."Dari mana abang mendapat cerita ini?" "Dari sumber yang boleh dipercayai,"Bujang menjelaskan tanpa menyebut nama Ah Lim. " Madiun terletak tidak jauh dari Jokjakarta,"Kartini membantah."Tini merayu pada abang, tolonglah jangan pergi ke Madiun. Jangan sekali-kali menjejak kaki di bumi Jokjakarta." Bujang menolak pinggan sarapan yang belu habis."Tini seolah-olah tidak suka Chendana diselamatkan." "Bukan begitu,abang,"Kartini mengilat."Perjalanan dari sini ke Madiun terlalu jauh. Banyak halangan dan rintangan yang perlu kita tempuhi.Tini rasa tak sedap hati." "Alang-alang berdakwat biar hitam,alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan,"Bujang menegaskan. "Terpulanglah,"Kartini terpaksa mengalah juga."Tini cuma memberi ingatan. Kalau abang ditimpa gara-gara,jangan Tini dipersalahkan." Panglima Kahar pulang tidak lama kemudian dengan berita yang kurang menyenangkan. "Enam orang?"tanya Bujang sambil menjengah ke arah pedati yang sudah menunggu. "Lapan orang,kalau dikira dengan Kartolo dan Kasiman,"beritahu Panglima Kahar lagi."Mereka bergilir-gilir membawa pedati siang dan malam." "Selain dari isteri hamba,siapa lagi?"Bujang minta penjelasan dari kedua-dua supir itu. "Dua orang perawan Sepanyol ditemani orang gajinya,"jawab Kartolo dengan tenang. "Muatkah enam orang duduk di dalamnya?"Bujang seperti kurang yakin. "Bisa muat,"Kartolo cuba menyakinkan mereka." Tiga orang duduk di hadapan,tiga orang di belakang,kulo dengan Kasiman di atas bumbung." Kasiman hanya tersengih. Bujang memerhati pedati yang ditarik oleh empat ekor kuda yang tegap-tegap manakala dua ekor lagi yang tidak kurang tegapnya tertambat di belakang. Seolah-olah dapat membaca fikiran Bujang,Panglima Kahar pun menjelaskan,"Paman belikan dua ekor kuda berlebihan kalau-kalau Bujang bosan duduk berhimpit-himpit dalam pedati dan ingin menunggang pula." "Panjang betul akal-bicara Paman,"Bujang memuji sambil menyerahkan kampitnya kepada Kartolo untuk disimpan."Baiklah,kita bertolak sekarang.Tapi hanya pada waktu siang kita bergerak.Malam hari kita berihat.Biar lambat asalkan selamat." Jam besar dari bangunan pejabat Gabenor-Jeneral berbunyi sepuluh kali di kala pedati itu bertolak meninggalkan rumah tumpangan di tengah-tengah Kota Betawi itu. Bujang duduk di bangku belakang,diapit oleh isterinya dan Panglima Kahar. Dari kedudukan mereka,dapatlah mereka melihat ke hadapan melalui tingkap.Dua gadis kulit putih berambut perang keemasan dan bermata biru itu langsung tidak mengendah-kan mereka dan asyik memandang keluar.Orang gaji separuh umur keturunan Jawa itu masih kelihatan malu-malu dan tidak berani bertegur-sapa seolah-olah merasa rendah diri dengan tarafnya sebagai hamba suruhan. Seperti biasa dalam keadaan seperti itu,Bujang mengisi masa yang terluang dengan berzikir kepada Allah.Sambil matanya memerhati pemandangan dari luar jendela,hatinya tidak sunyi dari melafazkan kalimah-kalimah zikrullah. Kadangkala dia memejam mata seperti sedang tidur, tetapi hatinya tidak tidur,malah tetap hidup dalam memuji kebesaran Allah. Sejak akil baligh hingga sekarang,itulah yang menjadi amalannya. Hasil dari amalan berterusan itu,berbagai hikmah telah Allah anugerahkan kepadanya meskipun bukan itu matlamatnya.Niatnya hanyalah ingin membersihkan hati dari sifat-sifat mazmumah yang tercela itu. Namun,zikrullah yang diamalkan secara istiqamah kerap menjadi senjata dan perisai pada dirinya. Tiba waktu tengah hari,mereka berhenti rihat berhampiran sebatang anak sungai sambil memakan bekalan yang dibawa.
YOU ARE READING
Tengku Alang Iskandar Story
Historical FictionMenyoroti kisah pengembaraan seorang pahlawan dari Kuala Kedah bernama Bujang. Beliau adalah anak kepada Sultan Abdullah dan Puteri Chut Narasari seorang Puteri dari Acheh. Pelbagai kejadian misteri berlaku sepanjang kehidupan Bujang. Suka duka dan...