Bab 75

292 15 3
                                    

“Lembah itu sebenarnya lubuk lautan yang paling dalam serta menyerupai sebuah gaung,”Puteri Rubiah terus bercerita pada suaminya.”Tiada jin dan manusia yang mampu menembusinya kecuali Rijalul Ghaib.Kubah kediamannya dikatakan tersembunyi di dalam kabus tebal itu. Setakat ini sahaja Rubiah boleh tunjukkan jalan.” Bujang turun dari kuda terbangnya lalu meninjau ke dalam lembah berkabus itu. “Belum terlambat untuk abang berpatah balik,”Puteri Rubiah berkata perlahan seperti memujuk. “Tidak,”tegas Bujang.”Abang sudah nekad hendak ke sana.” “Moga-moga Allah membantu abang,”Puteri Rubiah memusing kuda terbangnya.”Rubiah menunggu di istana.Assalamualaikum.” ”Waalaikumussalam,”balas Bujang,melihat sahaja kuda terbang itu meluncur pergi seperti kilat. Tercegat di pinggir lembah yang mengandungi seribu rahsia itu,Bujang melaungkan azan dengan suara yang lantang.Azan itu bagaikan tanda niat dan hajatnya hendak ke sana menemui Rijalul Ghaib.Suasana menjadi sepi dan hening selepas azan dilaungkan.Sambil berpeluk tubuh, dia mula berzikir di dalam hati mengikut rentak degupan jantung dan turun-naik nafasnya, menyerahkan jiwa dan raganya semata-mata kepada Allah Yang Maha Esa. Tiba-tiba kabus tebal itu berkumpul lalu membentuk kubah putih memayungi lembah yang luas itu.Pada waktu yang sama kedengaran suara ramai bertasbih dan bertahmid memuji kebesaran Allah,datangnya dari dalam kubah itu. Suara itu bergema kuat tetapi tidak menyakitkan telinga, mendayu-dayu bunyinya,menyentuh hati dan jiwanya. Tanpa disedari airmatanya berlinang membasahi pipi,misai dan jambangnya.Betapa kecil terasa dirinya di hadapan ciptaan Allah. Dia tunduk melakukan sujud syukur,mencium tanah seolah-olah mengingatkan dirinya bahawa asal-usulnya juga dari tanah. Bila Bujang mengangkat muka,dengan tidak semena-mena terbuka sebuah pintu yang memancarkan cahaya kebiru-biruan.Dari pintu itu terbentang sebatang jalan seperti jambatan, lampu di kiri-kanan berkilau-kilauan.Suara bertasbih dan bertahmid hilang,diganti oleh suara merdu membaca ayat-ayat suci Al-Qur’an entah dari mana.Seorang lelaki muda berjubah putih dengan raut wajah seperti orang Arab muncul di muka pintu sambil memegang tasbih yang mengeluarkan cahaya merah delima.Perlahan-lahan Bujang bangun mengamati lelaki itu dari jauh. “Assalamualaikum,Tuan Sayed,”Bujang memberi salam dengan tenang. “Waalaikumussalam,ya Ikhwanul Islam,”lelaki itu tersenyum sambil menggamit supaya menghampirinya.”Marhaban..marhaban….kaifa-ha-luka?” “Alhamdulillah,ana-bil-khu’ir,”balas Bujang dengan gembira. “Alhamdulillah,syukran-billaka,”Rijalul Ghaib mendepang kedua-dua tangannya menyambut kedatangan Bujang.”Tafadhol,ya ikwani-minal-dunya.” “Terima kasih hamba ucapkan,”Bujang merapati Rijalul Ghaib dengan menyeberangi jambatan itu,kemudian mencium tangannya yang berbau harum.”Nama hamba Bujang,bergelar Panglima Agung.Hamba datang membawa salam dari Raja Nasyaful Alam.” “Siapa?”tanya Rijalul Ghaib dalam bahasa Melayu yang fasih. “Raja yang memerintah Segara Masin,negeri di bawah laut ini,”jelas Bujang. “Waalaikumussalam,”balas Rijalul Ghaib tenang.”Sila masuk ke baitul-abadi.” Pelawaan Rijalul Ghaib itu diterima Bujang dengan hati yang gembira. Dia terus melangkah masuk mengikuti lelaki ajaib itu.Sebaik sahaja dia berada di dalam,pintu kubah itu tertutup dengan sendirinya.Dia berhadapan dengan alam yang cukup indah yang dipenuhi taman-taman bunga, anak sungai,air terjun serta segala burung dan margasetua yang berkicau-kicauan.Matahari memancar lembut,tidak panas dan tidak sejuk.Kelihatan pelangi beraneka warna menghiasi langit. Udara segar dan nyaman bagaikan berada di syurga. “Syurga terlalu indah.tak tergambar dek kata-kata,tak terlintas dek hati,tak terjangkau dek fikiran kita,”Rijalul Ghaib membetulkan tanggapan Bujang.Ternyata dia juga diberi hikmah dapat membaca hati dan fikiran orang lain.Bujang terdiam seribu bahasa. “Di sinilah ana menetap selama ini,”Rijalul Ghaib mempelawa Bujang masuk ke dalam sebuah rumah kaca berwarna putih yang serba lengkap.”Duduklah,nanti ana ambil makanan dan minuman.” Setelah dipelawa demikian rupa,Bujang pun duduk di atas kerusi empuk yang disediakan. Seemntara menunggu Rijalul Ghaib kembali,Bujang memerhati keadaan di ruang tetamu itu. Tiada tingkap,tiada sebarang perhiasan,seluruh bahagian dinding penuh dengan lukisan manakala lelangit berwarna biru.Dia perlu melihat keseluruhan ruang di dalam rumah tersebut.Namun,belum sempat dia berbuat demikian,Rijalul Ghaib muncul semula membawa sedulang makanan dan minuman. Dulang berisi sebuku roti dan sebuah bijana berisi madu diletakkan di atas meja di hadapan Bujang. “Silakan,saudaraku,”pelawa Rijalul Ghaib dengan lembut sambil duduk.”Tafadhol.” “Tuan Sayed tidak makan sama?”tanya Bujang. “Ana sudah makan,”Rijalul Ghaib menolak.”Saudaraku makanlah.” “Bismillah..,”Bujang meneguk sedikit minuman dalam bijana itu.Rupa-bentuknya seperti madu tetapi rasanya amat sedap dan lazat,belum pernah diminumnya sebelum ini,biarpun ketika berkunjung ke alam bunian.Dicubanya pula roti berwarna kuning. Rasanya seperti keju tetapi amat lazat lagi menyelerakan.Mungkinkah ini manna dan salwa anugerah Allah kepada Bani Israil di zaman Nabi Musa alaihisslam seperti yang diceritakan dalam Al-Qur’an? “Bukan,”Rijalul Ghaib menjawab persoalan yang bermain dalam fikiran Bujang.”Bukan manna atau salwa.Setiap hari ana dikunjungi Malaikat Jibrail yang membawa makanan dan minuman dari syurga.Malaikat Jibrail membawa berita dan cerita dari luar ala mini. Malaikat Jibrail juga mengajar berbagai ilmu dan bahasa,ada di antara bahasa itu tidak lagi dituturkan.” “Subhanallah…,”Bujang mengucap tasbih memuji kebesaran Allah. “Allah memberi bantuan dengan jalan yang tidak disangka-sangka,”Rijalul Ghaib menjelaskan, tangannya menyeluk saku jubahnya.”Saudaraku tahu khasiat makanan dan minuman itu?” “Tidak,”ujar Bujang sambil mengunyah.”Selain dari lazat dan mengenyangkan.” “Sejak zaman Nabi Ibrahim alaihissalam ana tinggal di sini,itulah makanan dan minuman ana setiap hari,”Rijalul Ghaib membuka rahsia dirinya.”Ana sentiasa sehat,tidak pernah diserang penyakit.Ana tetap muda,badan ana tidak berubah. Ana tidak merasa sejuk atau panas.Peluh ana berbau wangi. Ana tahan lapar dan dahaga walaupun berbulan-bulan lamanya.” “Maha Suci Allah,”balas Bujang sambil meneguk pula minumannya.Jika dibandingkan dengan dirinya,ibarat bumi dengan langit,ibarat Loyang dengan emas,ibarat kaca dengan berlian. “Janganlah dipuji ana begitu sekali,”tegur Rijalul Ghaib.”Kembalikan segala pujian kepada yang berhak dipuji.” “Subhanallah,”sekali lagi Bujang kagum dengan kebolehan Rijalul Ghaib.”Alhamdulillah.” “Yarhamukallah,”sambut Rijalul Ghaib.”Saudaraku tidak boleh berlama di sini. Ada urusan yang belum selesai.” “Bolehkah hamba berkunjung kemari lagi?”tanya Bujang menghabiskan rotinya. “InsyaAllah,bergantung pada keizinan dan takdir Allah,”balas Rijalul Ghaib dengan tenang dan lembut.”Ketahuilah,selain Ashif bin Barhan,ana satu-satunya manusia biasa yang mampu menjejak kaki di tempat ini dengan kekutaan ilmu yang dianugerah oleh Allah.Gunakanlah segala ilmu demi amal maaruf nahi mungkar.” “InsyaAllah,Tuan Sayed,”Bujang berjanji sambil meneguk minumannya.”Terangkan pada hamba bagaimana Tuan Sayed mendapat maqam setinggi ini di sisi Allah.” Rijalul Ghaib menarik nafas panjang seolah-olah mengumpul kekuatan,kemudian mula bercerita,”Dulu ana mempunyai seorang ayah yang lumpuh dan ibu yang buta.Ana menjaga mereka siang dan malam selama tujuh puluh tahun lamanya.Sebelum mereka kembali ke rahmatullah,ibu ana berdoa supaya dipanjangkan usia ana dalam keadaan taat dan beribadah kepada Allah.Ayah ana pula berdoa supaya ana ditempatkan di suatu alam yang tidak boleh dimasuki oleh golongan jin,manusia atau syaitan.Hanya kekuatan ilmu mampu menembusi alam ini,ilmu yang dimiliki kebanyakan para aulia.” “Hamba bukan wali,”Bujang menangkis dakwaan itu.”Belum sampai ke tahap itu.” “Dengan izin Allah,akan sampai juga ke maqam itu,”Rijalul Ghaib mengeluarkan seuncang kulit dari saku jubahnya.”Sebelum saudaraku kembali ke Tanah Bugis,terimalah hadiah ini dari ana.” “Hadiah apa,Tuan Sayed?”tanya Bujang menghabiskan minumannya. “Batu permata dari syurga,dibawa oleh Malaikat Jibrail,”Rijalul Ghaib menyerahkan uncang kulit itu kepada Bujang.”Ana tidak memerlukannya di sini. Ana dipesan supaya memberikan kepada manusia pertama tiba di sini selepas Ashif bin Barhan.Terimalah,saudaraku.” “Terima kasih…alhamdulillah,”Bujang menerima uncang berisi batu permata itu dengan penuh kesyukuran,kemudian disimpan di dalam bajunya.”Tidakkah Tuan Sayed merasa bosan tinggal di sini sebatang karah tanpa teman hidup?” “Apakah kita akan bosan beribadat kepada Allah?”Rijalul Ghaib menjawab pertanyaan dengan pertanyaan,memulangkan paku buah keras.Bujang tunduk malu.”Ana tidak pernah merasa sunyi,” sambung Rijalul Ghaib lagi,cuba menghiburkan hati Bujang.”Semua keperluan ana disediakan Allah di sini.Ana merasa bahagia,hidup ana bagaikan di syurga.Di sinilah tempat tinggal ana sehingga datangnya Yaumul Qiamah.” “Hamba ingin sekali menjadi seperti Tuan Sayed,”Bujang mencelah. “Masanya akan tiba,insyaAllah,”Rijalul Ghaib bangun,diikuti oleh Bujang.”Sebelum itu, tunaikan dulu amanah dan tanggung-jawab kepada keluarga,rakan-rakan,agama,bangsa dan tanah air.Gunakan sepenuhnya anugerah Allah,bersabarlah di atas setiap kejadian kerana dalam dugaan ada hikmahnya.” Rijalul Ghaib menemani Bujang ke pintu.”Di saat ini,isteri-isteri saudaraku dalam kesusahan, pulanglah sebelum terlambat.” “Kalau begitu,hamba bermohon diri,Tuan Sayed,”Bujang bersalam dengan Rijalul Ghaib. Rijalul Ghaib memeluk Bujang erat-erat,air matanya berlinangan.”Kita pasti bertemu lagi.” “Kalau bukan di dunia,di akhirat pasti bertemu,”sampuk Bujang pula.”Assalamualaikum.” “Waalaikumussalam,Ya Ikhwanul Islam,”balas Rijalul Ghaib,suaranya garau. Sambil menahan sebak,Bujang berpaling dan segera beredar melalui jalan yang terbentang itu. Tiba di penghujung,dia menoleh semula ke belakang.Jalan sudah ghaib,kubah kaca itu juga hilang lenyap,yang tinggal hanyalah kabus tebal menutupi lembah yang luas itu.Dia menggosok- gosok matanya seakan-akan baru sedar dari mimpi.”Subhanallah….”,keluhnya sebak. Si-Rangga-Ranggit masih menunggu dengan setia.Bujang terus menunggang kuda terbang itu meninggalkan lembah kediaman Rijalul Ghaib. “Begitulah ceritanya,Tuanku,”beritahu Bujang setelah bertemu semula dengan bapa mertuanya Raja Nasyaful Alam.Puteri Rubiah dan semua pembesar sudah pun berkumpul sejak kepulangan Bujang.Masing-masing memasang telinga mendengar dengan teliti cerita Bujang itu dan melihat dengan teliti batu permata di tangan Bujang. “Anakanda tergolong dalam manusia yang bertuah,”Raja Nasyaful Alam memandang Bujang ke atas ke bawah.”Bertuah juga ayahanda bermenantukan anakanda.” “Pekerjaan patik sudah selesai,izinkan patik kembali,”Bujang menyusun sembah.”Terima kasih tidak terhingga di atas anugerah bahtera canggih itu.” “Silakan,anakanda,”Raja Nasyaful Alam memberi keizinan.”Jemputlah kemari bila-bila masa anakanda suka.Anakanda bukan orang asing lagi di Segara Masin ini. Tentang bahtera itu, gunakanlah untuk perjuangan menentang orang-orang kafir.” “Menjunjung kasih,Tuanku,”Bujang menyusun sembah lagi. Dihantar oleh semua hingga ke pekarangan istana,Bujang terus mengenderai Si-Rangga-Ranggit pulang ke alam nyata.Ketika Bujang sampai di pinggir tasik,keadaan di situ sunyi sepi dan hari sudah pun petang.Tiada sesiapa kelihatan di situ.Istana hinggap kelihatan kosong.Baru dia berkira- kira hendak terus kembali ke bahtera,tiba-tiba dia ternampak Ratna di atas persada.Ratna sedang bermenung sambil memandang sayu ke tengah tasik.Bujang turun dari Si-Rangga-Ranggit. Sekelip mata kemudian,kuda sembrani itu ghaib dari pandangan seolah-olah tidak pernah wujud.Hanya seketika kedengaran seperti sayap dikepak-kepak sebelum hilang di angin lalu. Bujang melangkah tenang menghampiri persada.Dari jauh kedengaran suara Ratna mendayu-dayu mendendangkan lagu. Pada mulanya kurang jelas.Semakin hampir semakin jelas dendangan sayu yang menggambarkan betapa hancurnya hati Ratna di kala itu,”….Patah layar patah kemudi, hanyut perahu dipukul gelombang,karam hati sedih sendiri,sejak kasih bercerai pandang…”. Ratna menangis tersedu-sedu,air mata membasahi pipi yang gebu,rambut yang terhurai dibiarkan sahaja dipuput bayu. Bujang melangkah naik ke atas persada.”Ratna,”serunya perlahan. Ratna memalingkan wajahnya lalu ternampak Bujuang.’Abang…!”Dia terus berpaling lantas menerkam memeluk Bujang erat-erat sambil menghamburkan airmata tanda gembira. “Sudahlah,jangan menangis lagi,”pujuk Bujuang sambil membelai rambut isterinya. “Ratna terpaksa memeluk abang,untuk mempastikan Ratna tidak bermimpi,”Ratna mengesat air matanya sambil tersenyum gembira.”Adakah Ratna bermimpi/” “Ratna tidak bermimpi,”Bujang mengucup dahi isterinya yang masih perawan itu. “Ke mana abang menghilang selama enam hari ini?”tanya Ratna pada suaminya ketika mereka bersiar-siar di tepi tasik.”Kami semua menyangka abang sudah mati ditelan ular naga dari tasik itu.” “Enam hari?”Bujang terperanjat kerana pemergiannya ke alam ghaib tidak sampai separuh hari. “Ya,enam hari,”Ratna menegaskan.” Hari ini hari Khamis. Jumaat lepas kita kahwin.” “Hari Khamis 8 Safar 1063 Hijrah bersamaan dengan 30 November 1652 Masehi?”Bujang seperti tidak percaya masa berlalu begitu pantas ketika mengunjungi alam ghaib.Semakin lama dia di sana,semakin jauh jurang perbezaan masa.Subhanallah… “Ke mana abang menghilang selama ini?”Ratna mengulangi pertanyaannya. “Panjang ceritanya,Ratna,lain kali saja abang ceritakan,”Bujang meraba uncang pemberian Rijalul Ghaib di dalam bajunya.”Ke mana perginya semua orang?” “Seisi negeri diperintahkan Ayahanda supaya berkabung di atas kematian abang,”ujar Ratna. “Kawan-kawan abang?”tanya Bujuang pula. “Masih di pelabuhan,”ujar Ratna lagi.”Mereka enggan belayar selagi mayat abang tidak ditemui. Kak Chendana dan Kak Balqis masih di atas bahtera bersama anak gadis abang.Kalaulah mereka tahu abang masih hidup dan sudah kembali.” “Besok sajalah kita maklumkan kepada mereka,”balas Bujang penuh makna. “Semua sudah balik ke istana dan ke bahtera,”maksud kata-kata Bujang segera difahami oleh Ratna.”Tidak ada sesiapa di sini,melainkan kita berdua.” “Pucuk dicita ulam mendatang,”balas Bujang,memandang tepat ke wajah isterinya. Bila mata bertemu mata,darah muda mula bergelora. Ratna yang sudah lama memendam rasa, terlalu asyik masyuk,terlalu kepingin kehangatan tubuh seorang suami. Matanya bersinar galak, wajahnya merah padam menahan nafsu berahi. “Mari,”ajak Ratna menarik tangan suaminya seolah-olah tidak sabar lagi. “Senjakala menjelang tiba,”pujuk Bujang menahan nafsu.”Elok kita bersembahyang maghrib terlebih dahulu.” Hujan rahmat turun pada malam itu,membasahi tanah yang kering.Petir berdentuman,kilat sabung-menyabung.Air tasik berkocak hebat,sampan yang tertambat teroleng-oleng dihempas gelombang.Sang katak menjerit-jerit keriangan lantaran hajat yang kesampaian.Lewat malam baru hujan berhenti.Petir senyap-sunyi,kilat tidak lagi sabung-menyabung. Air tasik kembali tenang. Sampan tidak bergoyang lagi.Namun,air masih bertakung memenuhi lopak-lopak.Di atas tilam empuk di bilik pengantin,Ratna mengerang penuh nikmat sambil merangkul leher suaminya…! Keesokannya harinya pagi Jumaat 9 Safar 1063 Hijrah bersamaan dengan 1 Disember 1652 Masehi,Bujang yang sudah siap berpakaian terkejut melihat Ratna belum habis berkemas. “Sudah-sudahlah berdandan,”usik Bujang.”Kereta kuda sudah bersedia.Elok kita bertolak awal sebelum matahari terik.” Ratna pura-pura tidak mendengar dan masih mencari-cari sesuatu. “Atau barangkali Ratna tidak boleh duduk dengan selesa sehari-dua ini,”usik Bujang lagi.” Barangkali pedihnya masih terasa.” “Ke situ pula perginya,”Ratna pura-pura merajuk.”Orang sedang mencari kain cadar semalam.” “Kain cadar putih tu?”jawab Bujang.”.Dah kotor. Ada kesan darah .Jadi abang campak saja ke tanah buat kain buruk.” “Ya Allah,kenapa abang campak?”Ratna meluru keluar dari bilik,meninggalkan Bujang tergaru-garu kepala yang tidak gatal.Sebentar kemudian,Ratna kembali membawa kain cadar putih yang sudah kedut-kedut diperonyok. “Inilah hadiah paling berharga buat ayahanda dan bonda,”Ratna mengatakan dengan puas sambil melipat kain cadar itu.”Tanpa bukti ini,mereka pasti mendapat malu besar.” Bujang hanya mampu mengangguk tanda faham. “Dah puas?’tanya Bujang ketika memandu kereta kuda bersama Ratna. “Tentulah puas,”balas Ratna dari sisi.”Kami orang Bugis amat mementingkan maruah. Tinggi atau rendah maruah seseorang gadis itu terletak pada keperawanannya.Kelapa yang sudah ditepuk tupai pasti memalukan keluarga tujuh keturunan.” “Abang maksudkan permainan kita semalam,”Bujang membetulkan.”Ratna puas?” “Ala abang ni,sudah terang bersuluh pula,”Ratna melepas cubitan manja ke paha suaminya. Bujang pura-pura mengaduh kesakitan sambil ketawa kecil. “Abang bukan sahaja hebat di gelanggang tetapi hebat juga di ranjang,”Bujang mengusik lagi. “Tak mahulah macam tu,”Ratna pura-pura merajuk.”Nanti orang dengar,malulah.” “Apa yang nak dimalukan?Kita berdua sahaja di sini,”tingkah Bujang lalu ketawa lagi. “Bila abang hendak belayar?”Ratna segera mengubah tajuk. “Sebaik sahaja selesai majlis perkahwinan kita,”jelas Bujuang sambil memegang tali pacu mengendalikan dua ekor kuda yang menarik pedati itu. “Majlis perkahwinan sudah bertukar menjadi majlis berkabung,”sambut Ratna.”Semua jemputan sudah pun pulang ke tempat masing-masing.” “Kalau begitu,besok sahaja kita belayar,”Bujang membuat keputusan.”Hari ini kita berjumpa ayahanda dan bonda buat kali terakhir.” Santapan diraja tengahari itu selepas sembahyang Jumaat sungguhpun ringkas tetapi meriah.Dewan santapan yang luas itu dijadikan tempat Raja Gowa dan permaisuri meraikan kepulangan menantunya bersama para pembesar dan kaum-kerabat.Kecuali beberapa orang yang ditugaskan mengawal bahtera,anak buah Bujang semuanya dijemput. Para pegawai dan pertuanan serta tetamu undangan duduk bersila makan berhidang empat orang setalam manakala baginda suami-isteri serta beberapa orang pembesar kanan menjamu selera di meja yang disediakan bersama Bujang yang ditemani oleh Ratna,Chendana,Balqis serta Fatimah. Semasa majlis santapan diadakan,persembahan dari penari-penari Bugis dipertontonkan sebagai hiburan selingan. “Perhatian semua,”Raja Gowa bangun memberi ucapan setelah selesai majlis santapan dan persembahan itu.”Beta ingin membuat beberapa pengumuman penting.” Semua hadirin menumpukan perhatian kepada baginda. “Memandangkan beta tidak mempunyai putera dan Daeng Ratna Sari ini satu-satunya waris beta,ingin beta membuat wasiat dengan disaksikan oleh datuk-datuk semua,”Raja Gowa memerhati para pembesarnya satu persatu.”Sekiranya sudah sampai ketentuan Allah,maka tahta kerajaan Gowa ini beta serahkan kepada menantu beta Tengku Alang Iskandar timang-timangan Panglima Agung.” “Daulat Tuanku!”serentak para pembesar menyusun sembah melafazkan ikrar tanda taat setia. Bujang hendak bangun membantah tetapi ditahan oleh Ratna. “Wasiat ini diistiharkan sah sebaik sahaja beta mangkat,”sambung baginda lagi.”Datuk-datuk hendaklah mempastikan wasiat ini dipatuhi mengikut adat dan syarak. yang telah termaktub dalam Surek Galigo.Perkara kedua ialah perihal perlantikan sepupu beta Daeng Samarinda sebagai Datuk Bendahara merangkap Penasihat dalam negeri Gowa berkuat-kuasa serta-merta.” “Daulat Tuanku!”sekali lagi para pembesar menjunjung duli tanda taat setia. “Perkara terakhir ialah usul terima kasih beta sekeluarga kepada menantu beta Tengku Alang Iskandar kerana menganugerahkan lancangnya kepada beta,”baginda diam sejenak memerhati semua hadirin,kemudian duduk semula tanda tamat sudah pengumumannya. Para pembesar dan hadirin mula bercakap-cakap sesama sendiri mengenai berita tersebut.Bujang kelihatan tenang sahaja namun hatinya berperang antara kehendak mertuanya dengan perjuangan sucinya.

Tengku Alang Iskandar StoryWhere stories live. Discover now