Sesungguhnya kuasa Allah tidak dibatasi ruang,masa dan tempat. "Mengapa ini,Ibu?" Bujang bertanya hairan bila mendapati Ibu Yanti dan Kasiman tidur di rumah wakaf."Mengapa tidak disewa rumah pesanggerahan?" "Sudah penuh,"Ibu Yanti bangun dari baringnya.Kasiman anaknya sudah lama berdengkur. "Mana yang lain-lain?"Bujang duduk berjuntai kaki. "Tidur dalam pedati,"jelas Ibu Yanti menahan kantuknya."Pamanmu dengan Si-Kartolo bermalam di pesantren." "Ibu boleh ikut sama ke pesantren,"Bujang mencadangkan. "Orang bukan Islam dilarang ke pesantren,"ujar Ibu Yanti."Ibu terpaksa tinggal di sini menjaga Sheila sama kakeknya Isabella Cordoba. Kalau Panglima mahu ke pesantren,pergilah." "Siapa pula hendak menjaga Ibu,"balas Bujang sambil tersenyum lalu baring terlentang.Baju wafaq yang dilipat itu dijadikan bantal.Kerisnya dicabut diletak di sebelah. "Panglima pun mahu tidur di sini? Banyak nyamuk,"rungut Ibu Yanti. "Nyamuk tak akan mengganggu kita kalau kita tidak mengganggunya,"kata Bujang bersahaja. Ibu Yanti baring semula,menarik selimut menutupi dadanya.Dia menoleh ke arah pedati,kemudian bertanya,"Sudah berapa lama Panglima berkahwin dengan Kartini?" Bujang mencongak dalam kepalanya."Belum sampai sepurnama." "Panglima tahu Kartini itu seorang janda?"tanya Ibu Yanti lagi. Bujang ketawa kecil."Tidak ada bezanya seorang janda dengan perawan." "Kartini itu nama sebenarnya Raden Adjeng Kartini,jandanya Sultan Hamengku Buano,"Ibu Yanti berbisik."Mereka bercerai talak tiga. Dek karena mahu kahwin semula,Kartini mesti cari cina buta.Pak sanggup.Panglima dijadikan cina buta supaya dia bisa kahwin semula dengan Sultan Hamengku Buano,pemerintah Jawa Tengah." "Ibu,"Bujang menegur dengan lembut."Cakap siang pandang-pandang,cakap malam dengar-dengar,cakap orang difikir-fikirkan." "Terserahlah,Ibu cuma beri nasihat,"Ibu Yanti menarik selimut menutupi mukanya dan terus mengereng membelakangi Bujang.Bujang terdiam memikirkan kata-kata Ibu Yanti itu. Keesokan harinya Rabu 9 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 1 November 1652 Masehi ,terang-terang tanah lagi Bujang dan rombongannya sudah meninggalkan Demak dan meneruskan perjalanan ke Madiun.Perjalanan kali ini menempuh yang yang berliku-liku melalui kawasan berbukit-bukau,lembah-lembah yang subur dan kampung-kampung kecil. Semakin jauh ke selatan,jalan semakin sempit,tumbuh-tumbuhan semakin liar,kampung-kampung semakin jarang ditemui dan perlajanan semakin sukar. Pedati terpaksa dipandu berhati-hati kerana jalannya berlubang di sana-sini,dahan-dahan kayu yang merentang laluan serta akar-akar pokok yang menjulur.Mereka berhenti rihat sekejap,kemudian meneruskan perjalanan ke kawasan yang lebih tinggi.Menjelang petang,mereka mula menuruni kawasan berbukit-bukau menuju ke lembah yang landai yang disaliri sebatang sungai.Dari jauh,sungai itu kelihatan bengkang-bengkok dan berteluk. "Itulah Sungai Bengawan Solo,"terang Ibu Yanti pada Bujang."Muaranya di Laut Jawa tetapi hulunya bersempadan dengan Daerah Jokjakarta." Bujang melirik pada Kartini tetapi isterinya diam sahaja. "Madiun?"tanya Bujang,melirik pula pada Sheila dan Isabella yang asyik tidur. "Di lembah sana,kita menghilir hingga ke jambatan besar,"Ibu Yanti tidak jemu-jemu menerangkan."Madiun di seberang sungai." "Kita bermalam di mana?"tanya Bujang pada Kartolo yang memandu pedati. "Lembah sana!"jeritnya girang."Tak jauh lagi!" " Di sebelah sana Gunung Merapi,di sebelah sini Gunung Legok Sari,"Ibu Yanti semakin ramah dengan Bujang."Kalau mahu ke Madiun,kita ikut Gunung Legok Sari." "Senyap sahaja,macam tidak ada orang,"Panglima Kahar mencelah. "Siapa yang sanggup tinggal di tempat jin bertendang ini,"ujar Bujang sambil ketawa kecil. "Kata orang,ini kawasan Jawa Kedul,orang yang suka menyimpan rambut gembel,"sampuk Ibu Yanti."Mereka juga suka potong kepala orang dan makan daging orang." "Hanya kata orang,"Kartini yang diam sejak tadi menyampuk pula. "Kartini pernah ke sini?"Bujang bertanya ingin tahu. "Tini "kan berasal dari sini,"Kartini membuka cerita." Jalan ini pernah digunakan oleh tentera Belanda menyerang Kraton Jojakarta dari darat." Bujang menoleh ke arah Ibu Yanti tetapi Ibu Yanti pura-pura memandang keluar. "Tentu Tini gembira kembali ke kampung halaman,"sindir Bujang. "Kenapa pula?"bangkang Kartini."Tini sudah bersumpah tidak akan menjejakkan kaki lagi di daerah ini. Abang yang memaksa Tini kemari.Sekarang,terimalah padahnya." "Padahnya dari Sultan Hamengku Buano.Bukankah begitu?"Bujang menyindir lagi. "Jadi,abang sudah tahu siapa Tini sebenarnya?"tanya Kartini agak terkejut. "Bangkai gajah boleh ditutup,Tini,"tegas Bujang sedikit kesal."Raden Adjeng Kartini,janda Sultan Hamengku Buano yang memerintah Jawa Tengah." "Dia tidak ada lagi ikatan apa-apa dengan Tini,"Kartini membela dirinya."Abang suami Tini yang sah.Tiada kuasa di dunia ini boleh memisahkan kita melainkan abang." "Jika benar bagai dikata,abang bersyukur,"Bujang memegang tangan isterinya.Tiba-tiba air muka Bujang berubah,matanya melirik tajam ke kiri dan ke kanan.Dia mengeluarkan pistolnya lalu diberikan kepada Kartini. "Kenapa,abang?"Kartini bertanya hairan."Di sini tidak ada musuh." "Walau apa pun,yang pastinya ada orang sedang memerhatikan kita,"Bujang menjeling pada Panglima Kahar."Nampaknya kita bergeruh hari ini.Paman jaga di sana,Bujang jaga di sini." "Bagaimana dengan Kartolo dan adiknya?"tanya Panglima Kahar,menyerahkan pistol pemberian Bujang tempoh hari kepada Ibu Yanti. "Pandai-pandailah mereka menjaga diri,"Bujang menyimpan kerisnya di bawah bangku lalu menghunus golok Jambi.Panglima Kahar mencontohi perbuatan Bujang.Mereka membuka pintu pedati.Panglima Kahar membilang,"Satu...dua...TIGA!" Dengan serentak,mereka menjunam keluar menerusi pintu pedati. Tindakan mereka tepat pada masanya.Sekumpulan penjahat berambut panjang yang sedang menunggu peluang untuk melakukan serang-hendap ke atas pedati yang disyaki membawa barang-barang berharga mengalih perhatian mereka kepada dua orang pendekar bergolok yang muncul entah dari mana.Mereka mula mengepung Bujang dan Panglima Kahar dari semua penjuru. Tetapi,Bujang tidak lagi menanti musuhnya menyerang.Sebaliknya,dia terus menyerbu dengan golok di tangan nkanan dan kerambit di tangan kiri.Begitu juga dengan Panglima Kahar,goloknya sudah dahagakan darah. Mereka menyerang dan mengamuk dengan tidak membilang lawan lagi, menetak dan menikam,merodok dan menyimbat seperti kilat menyambar. Jeritan kesakitan terdengar di sana-sini.Darah merah terpancut ke bumi,musuh jatuh menggelepar satu demi satu. Pertarungan sengit itu berakhir dengan pantas. Sedar-sedar,Bujang dan Panglima Kahar tercegat dengan senjata berlumuran darah.Musuh bergelimpangan bertindih mayat,ada yang perut terburai, ada yang putus kepala. Pedati dihentikan tidak berapa jauh di hadapan.Kartolo dan adiknya terjun ke tanah dan berkejar ke belakang dengan celoret masing-masing untuk memberi bantuan. Tinggal kaum wanita menunggu dengan cemas di dalam pedati.Tetapi,kedatangan mereka tidak diperlukan lagi. Musuh yang menyerang sudah bergelimpangan tidak berkutik lagi. Bujang dan bapa saudaranya mara dengan senjata masih terhunus berlumuran darah,pakaian mereka juga bersimbah darah. "Madre de Dios!"jerit Sheila Cordoba sambil memeluk kakaknya. "Teruskan perjalanan,"perintah Bujang pada Kartolo sambil membasuh golok dan kerambitnya dengan air lopak. "Cari tempat yang sesuai untuk kita bermalam,"tambah Panglima Kahar pula sambil mengesat mata golok dengan daun rumput."Di sini ada mayat. Tak elok." Mahu tidak mahu,perjalanan terpaksa diteruskan. Malam sudah melabuhkan tabirnya apabila pedati itu berhenti di pinggir Sungai Bengawan Solo. Mereka mendirikan khemah di tebing sungai yang lebar itu. Bujang menghilangkan diri untuk mandi membersihkan badan serta membasuh darah pada pakaiannya.Dia merasa malu kerana menunjukkan kehandalannya di hadapan mereka semua.Namun,perbuatan telah terlanjur,nasi sudah menjadi bubur. Tangan yang terdorong,bahu terpaksa memikulnya. Diam-diam dia mem-bentangkan kain basahan di atas tanah berpasir. Dalam kegelapan malam di pinggir sungai itu, dengan iringan bunyi air yang mengalir,dia menunaikan sembahyang fardu. Dia menghayati betul-betul setiap bacaannya seolah-olah mengadu nasib pada Allah. Suaranya perlahan dan tersekat-sekat,air matanya jatuh berlinangan membasahi pipi. Bukan dia menyesal kerana membunuh. Musuh yang mengancam nyawa memang patut dibunuh. Tetapi,dia kesal kerana kejadian itu berlaku di depam mata isterinya,bapa saudaranya dan orang-orang yang dihormatinya.Apa kata Ibu Yanti kelak? Apa pandangan Sheila dan kakaknya terhadap dirinya? Bagaimana pula penerimaan Kartolo dan Kasiman? Selesai berdoa,dia tetap tidak berganjak dari tempat sembahnyang. Dia duduk berzikir menghening cipta. "Abang...,"terdengar suara Kartini menegurnya."Mari makan." Tanpa sepatah kata,Bujang bangun melipat kain basahan lalu mengikut isterinya ke kawasan perkhemahan. Mereka semua menunggu di sekitar unggun api dengan makanan yang sudah disediakan tetapi tidak ada yang berani menjamah makanan. Ibu Yanti duduk bersama Sheila dan Isabella,Kartolo dengan adiknya manakala Panglima Kahar agak berjauhan. Kartini mengambil pinggan berisi nasi dan lauk lalu dihulurkan pada suaminya. Bujang hanya mengangguk tanda terima kasih. Dia duduk di sebelah Panglima Kahar. Dia dapat merasakan semua pandangan tertumpu padahnya. Dengan doa pendek dan lafaz bismillah,dia mula menyuap nasi. Bagaikan isyarat,yang lain-lain meniru perbuatannya. Suasana senyap seketika,hanya kedengaran nasi dikunyah. "Membunuh atau dibunuh,itulah kehidupan pendekar,"Bujang bersuara. Meskipun perlahan, suara itu sampai ke telinga mereka kerana masing-masing menoleh ke arahnya.Namun,tidak ada yang berani membantah kata-katanya.Mereka terus makan. "Berapa jauh lagi,Paman?"Bujang bertanya Panglima Kahar,mengubah tajuk perbualan. "Kalau mengikut cerita Kartolo,selepas kita menyeberangi jambatan gadang,sampailah kita di Madiun,"balas Panglima Kahatr dengan tenang."Besok pagi kita bertolak,barangkali waktu zohor kita akan sampai di sana." Kartini datang menghulurkan minuman pada Bujang. "Panglima usahlah rasa bersalah,"Ibu Yanti memujuk Bujang setelah Kartini kembali ke tempatnya."Kami tahu Panglima terpaksa bunuh bajingan-bajingan itu.Mereka orang jelik." Bujang membasuh tangan lalu meneguk minumannya.Dia mendongak memerhati langit yang dihiasi jutaan bintang."Bulan terang akan muncul tidak lama lagi,"Bujang memandang tepat ke arah Kartolo."Kita terus ke Madiun malam ini juga.Upahnya hamba bayar lebih." Kartolo memandang emaknya dan adiknya seolah-olah minta pendapat tetapi mereka pura-pura tidak mendengar.Yang lain tidak ada yang berani bersuara,apa lagi membantah.Bagi mereka, membantah arahan Panglima Agung bererti sengaja mencari gara-gara.
YOU ARE READING
Tengku Alang Iskandar Story
Fiksi SejarahMenyoroti kisah pengembaraan seorang pahlawan dari Kuala Kedah bernama Bujang. Beliau adalah anak kepada Sultan Abdullah dan Puteri Chut Narasari seorang Puteri dari Acheh. Pelbagai kejadian misteri berlaku sepanjang kehidupan Bujang. Suka duka dan...