Bab 38

260 11 2
                                    

Pada pagi Sabtu 22 Zulhijah tahun 1062 Hijrah bersamaan dengan 14 November tahun 1652 Masehi,genaplah tujuh hari dia beramal ibadat.Dia duduk berjuntai kaki di pelantar,matanya memandang ke seberang sungai,mulutnya kumat-kamit melafazkan zikrullah,jarinya tidak henti-henti membilang biji tasbih.Pandangan matanya kosong tetapi seluruh hati dan jiwanya tertumpu kepada Allah.Bila sekali-sekala hatinya terkenang pada Chendana,kelopak matanya bergenang tetapi hatinya terasa tenang dan damai.Jiwa dan raganya bagaikan mendapat kekuatan baru. Dia sudah bersedia zahir dan batin untuk menjejakkan kaki ke puncak Gunung Ledang,kemudian turun dari gunung itu untuk meneruskan perjuangan angkatan Fisabillah. Dia rela syahid dalam perjuangan suci itu,dia redha jika dadanya bersarang dengan peluru. Kerana terlalu asyik dalam dunianya sendiri,Bujang tidak menyedari kedatangan sahabatnya Lela Wangsa. Lela Wangsa datang seorang diri tanpa ditemani ayahnya atau kawan-kawannya. Tiba di halaman,dia berhati-hati memijak kawasan yang agak becak itu. Dia tidak mahu mengganggu Bujang,sebaliknya ingin menemui Temenggung untuk menyampaikan berita baik itu. Temenggung yang dicari tidak kelihatan,hanya Mak Siti berada di belakang rumah memberi makan ayam di reban. "Assalamualaikum,Datin,"Lela Wangsa menegur Mak Siti. "Waalaikumussalam,"Mak Siti yang hanya berkemban itu lekas-lekas menutup bahunya dengan sehelai kain basahan."Oh,kau Lela. Datuk tidak ada di rumah. Dia ke istana." "Tak apalah,Datin,"kata Lela Wangsa dengan gembira."Barangkali Orang Kaya Temenggung sudah tahu kerana berita ini sudah tersebar ke seluruh kampung." "Berita apa?"Mak Siti menggaru kepalanya yang tidak gatal. "Elok hamba sampaikan berita ini kepada Panglima Agung,"Lela Wangsa senyum penuh makna lalu berpaling menuju ke pelantar. Perasaan ingin tahu seorang wanita menyebabkan Mak Siti tergesa-gesa mengekori Lela Wangsa. Di pelantar,Bujang memandang ke arus sungai di mana terdapatnya lubuk puaka,pandangan-nya tajam menyoroti ke dasar sungai."Air dalam bertambah dalam,hujan di hulu belum pun teduh,hati dendam bertambah dendam,dendam dahulu belum pun sembuh,"dia berpantun,di-tujukan kepada arwah Chendana yang belum lagi ditemui mayatnya sampai sekarang. "Ya Allah,"bisiknya lagi."Sekalipun nyawanya kau ambil,sekurang-kurangnya pulangkanlah jasadnya supaya dapat kusemadikan dengan sempurna." "Assalamualaikum,"tegur Lela Wangsa dengan lantang dari tebing sungai. Lekas-lekas Bujang menyapu air mata di pipinya sambil menjawab salam itu dan berpaling melihat ke tebing.Lela Wangsa tersenyum memandangnya penuh rahsia manakala ibu mertua-nya seperti tidak sabar-sabar hendak mendengar apa yang ingin disampaikan. Bujang pun bangun. Melihat Bujang sudah bersedia menerima kedatangannya,Lela Wangsa pun mendapat-kan Bujang dengan wajah berseri-seri. "Panglima,"Lela Wangsa bersalam dengan Bujang."Hamba ada khabar berita yang boleh mengubat hati Panglima." "Tentang angkatan perang kita?"tanya Bujang,kurang berminat. "Tidak,Panglima,"Lela Wangsa memberi kejutan."Berita ini tentang isteri Panglima yang dikatakan mati lemas itu." "Chendana?"tiba-tiba Bujang berminat. "Chendana anakku?"Mak Siti terkodek-kodek menghampiri Lela Wangsa. "Panglima kenal kerambit ini?"tanya Lela Wangsa sambil menunjukkan senjata itu kepada Bujang.Bujang mengambilnya lalu membeleknya seketika. "Kerambit ini milik Chendana,hamba hadiahkan padanya sepuluh tahun yang lalu,kembar kepada kerambit hamba,"Bujang menerangkan,dahinya berkerut."Jangan bergurau dengan hamba." "Dalam perkara ini,hamba tidak berani bergurau dengan Panglima.Kerambit ini kami jumpai pada mayat Galak,terbenam di belikatnya,"sekali lagi Lela Wangsa membuat kejutan."Tambak pula luka parah,perutnya terburai.Dia mati juga akhirnya. Tapi,sebelum dia menghembuskan nafas yang terakhir,dia sempat memberitahu kami bahawa isteri Panglima sebenarnya dilarikan orang." "Dilarikan orang?"semangat Bujang naik berkobar-kobar."Chendana masih hidup rupanya." "Katanya,mereka diupah mencolek isteri Panglima dan membawanya ke Melaka untuk dijual sebagai hamba abdi kepada saudagar asing,"Lela Wangsa meneruskan."Ini semua gara-gara ingin membalas dendam pada Panglima." "Siapa yang berani menyentuh tubuh isteri hamba?"tegas Bujang. "Itu kami tidak pasti,Panglima,"jawab Lela Wangsa."Tambak tidak sempat memberitahu kami siapa orangnya.Tentu orang ini musuh ketat yang dikenali Panglima." "Tidak mengapa,"Bujang seperti mendapat semangat baru."Yang penting,kita sudah tahu di mana Chendana berada. Lela Wangsa,kumpulkan semua orang-orang kita. Kita belayar ke Melaka hari ini juga!" "Lancang kita tidak ada di sini,Panglima,"Lela Wangsa menerangkan,wajahnya tidak begitu gembira."Sudah dibawa oleh Nakhoda Kintan ke Pulau Duyung untuk dibaiki lagi mana-mana yang kurang.Seminggu-dua lagi baru siap." "Hamba tidak boleh tunggu lama lagi,"Bujang genggam kerambit tidak bersarung itu."Nyawa isteri hamba dalam bahaya.Tetapi,setitik darahnya tumpah,akan hamba sukat bumi Melaka dengan darah orang-orang Belanda." "Panglima hendak ke Melaka seorang diri?"Lela Wangsa terperanjat."Boleh hamba ikut?" "Seorang diri lebih mudah bergerak dan tidak disyaki musuh,"ujar Bujang. "Dengan hanya menaiki perahu di musim tengkujuh?"Lela Wangsa kian terperanjat. "Lautan pun sanggup hamba renangi,jika terpaksa,"tegas Bujang. "Beginilah,Panglima,"Lela Wangsa memberi cadangan."Panglima pinjam perahu layar hamba dan belayarlah ke Singapura.Di sana banyak kapal dari luar berlabuh.Mungkin ada kapal yang boleh Panglima tumpangi ke Melaka." "Cadangan Lela itu betul,Bujang,"Mak Siti menyokong."Ikutlah cadangannya. Kau tak hendak menunggu ayahmu balik dari istana dulu?" "Tap apalah,mak,"Bujang menolak."Bujang nak cepat ni." "Baiklah,nanti mak siapkan pakaian dan bekalan,"Mak Siti akur dengan kehendak menantunya."Pergilah selamatkan Chendana dan jaga dirimu baik-baik." Pagi itu juga Bujang mendayung perahu lading mudik ke hilir.Langit mendung,cuaca redup menandakan hujan akan turun lagi.Kecuali Lela Wangsa dan Mak Siti yang melambaikan tangan dari tebing sungai,tiada sesiapa sedar akan pemergiannya itu.Arus sungai yang deras menyebabkan perahunya meluncur dengan laju meninggalkan Kampung Panchor. Sebelum kampung itu hilang dari pandangan,sempat ditolehnya sebentar untuk melihat buat kali penghabisan.Firasatnya mengatakan pemergiannya kali ini akan memakan masa yang lama, mungkin sebulan-dua,mungkin bertahun-tahun. Kehidupannya akan berubah sama sekali. Kerana arus terlalu deras,dia tidak berani berperahu di tengah sungai.Dia terpaksa menyusur tebing sungai di mana arusnya tidak terlalu deras.Ketika mendayung,dia berhati-hati mengawal perahunya agar tidak terlanggar akar kayu yang banyak terjulur di tebing sungai atau batu tajam yang boleh menyebabkan perahunya bocor. Selepas menyeberangi kuala Sungai Temon iaitu salah satu cabang Sungai Johor,dia terus ke Johor Lama melalui Pulau Layang,kemudian ke Kubu Badak,Pengkalan Raja,Tanjung Batu dekat Kota Batu dan Sungai Kertang. Sampai di muara sungai,dia menyeberang ke Pulau Batu Putih yang penuh dengan batu-batu besar dan tidak didiami manusia itu.Dia berhenti sekejap untuk berihat dan mengerjakan sembahyang jamak-qasar.Tambahan pula laut agak bergelombang.Setelah makan sedikit bekalan,dia terus menyeberang ke hujung tanah yang bertentangan dengan Singapura kerana cuaca semakin buruk.Cepat-cepat dia memasang layar menyeberangi Selat Teberau.Setelah tiba di perairan Singapura,baru hujan turun dengan lebatnya,disertai dengan guruh dan kilat.Mujurlah kampit kulitnya tidak ditembusi air,ditutup dengan daun pisang sebelum bertolak tadi dan sekarang ditutup pula dengan kain layar yang agak tebal.Dalam keadaan basah kuyup,Bujang mendayung perlahan-lahan menyusuri pantai yang penuh dengan paya bakau itu. Tidak ada kampung-kampung kelihatan,apa lagi kelibat manusia. Singapura nampak sepi dan menyeramkan seperti sebuah pulau yang disumpah rakyat kerana kekejaman rajanya. Sambil mendayung,sekali-sekala dia terpaksa menimba air yang memenuhi perahunya dengan menggunakan timba upih. Apabila hari semakin gelap dan hujan masih turun mencurah-curah, dia pun berhenti di sebuah teluk.Waktu itu air laut sedang pasang.Tali perahu diikat pada sebatang pokok bakau supaya perahu itu tidak hanyut.Dia baring dalam perahu untuk merihat-kan badan.Pakaiannya yang basah kuyup menyebabkan dia menggigil kesejukan.Dia memejam mata dan akhirnya tertidur. Dia terjaga bila terasa bahang matahari menyilau matanya dan menyuluh mukanya.Perahunya juga tidak bergerak.Langit sudah cerah tetapi pakaiannya masih lembab.Dia bangun melihat sekelilingnya.Rupanya,air laut sudah pun surut dan perahu itu terdampar di atas pasir.Matahari baru tinggi segalah tetapi subuh sudah lama berlalu.Sabtu sudah berganti Ahad ,23 Zulhijah tahun 1062 Hijrah bersamaan dengan 15 November tahun 1652 Masehi.Waktu itu dianggarkan kira-kira pukul sembilan pagi kerana jamnya masih berada dalam kampitnya. Dia menukar pakaiannya dengan pakaian lain.Pakaian yang lembab itu dijemurnya pada dahan bakau.Dia pun duduk menghabiskan bekalan yang dibawanya sambil memikirkan rancangan seterusnya. Dia terpaksa menyusur mengelilingi pulau ini sehingga bertemu dengan tempat di mana kapal-kapal asing berlabuh. Dari situ,dia akan belayar ke Melaka dan selamat- kan Chendana dari orang-orang yang mencoleknya. Kalau mereka melawan,dia bersedia membuat perhitungan.Bila Chendana sudah diselamatkan,dia akan membawa Chendana balik ke Kedah untuk bertemu dengan Balqis dan Fatimah. Chendana dan Balqis akan sama-sama melahirkan anak di istana Kota Siputih. Tiba-tiba Bujang terasa seperti diperhatikan orang.Dia memasang telinga,matanya meliar ke kiri dan ke kanan.Dia pun bangun lalu berpaling. Seorang lelaki tegap tidak berbaju dan hanya berseluar paras lutut tercegat di hadapannya.Buluh runcing yang dipanggil seligi itu digenggam erat dan diacu ke dada Bujang.Begitu senyap lelaki itu bergerak sehingga Bujang tidak mendengar langsung bunyi kakinya memijak pasir. "Kau buat apa di sini?"tanya lelaki itu dengan kasar,seliginya diacu lagi. Bujang menarik nafas lega kerana lelaki itu bercakap Melayu."Bertenang,kawan,"pujuk Bujang sambil tersenyum."Hamba tidak berniat hendak menceroboh kawasan ini." "Kau dari suku mana?"lelaki itu tidak membalas senyuman Bujang."Aku belum pernah tengok kau." "Suku?"Bujang terpinga-pinga. "Di sini ada banyak suku Orang Laut,"lelaki itu menjelaskan."Ada suku Mepar,suku Bentan, suku Galang,suku Bulang,suku Gelam,suku Trong,suku Mantang dan suku Tambus." "Hamba bukan Orang Laut,"Bujang mengelap tangannya dengan daun pisang yang digunakan untuk membungkus bekalannya."Hamba orang Melayu,baru datang dari Panchor." Lelaki itu menurunkan seliginya sebagai tanda persahabatan."Nama hamba Putat,Tok Batin suku Gelam." "Nama hamba Bujang,"Bujang memperkenalkan diri. "Panglima Agung?Menantu Orang Kaya Temenggung?"Tok Batin Putat terus menghulur tangan bersalam dengan Bujang."Banyak cerita tentang Panglima yang kami dengar dari Raja Negara. Bertuah hamba dapat bertemu dengan Panglima yang sakti lagi berilmu tinggi." "Apa,Raja Negara tinggal di sini?"tanya Bujang,tumpang gembira. "Ini Kampung Keranji,"beritahu Tok Batin Putat."Raja Negara syahbandar menjaga semua Orang Laut.Tapi,dia orang Melayu,jadi dia tinggal di Tanjung Puteri di seberang selat ini. Panglima hendak ke mana dengan perahu seorang diri ini?" "Hamba hendak ke Melaka,"ujar Bujang ringkas. "Ke Melaka? Dengan perahu lading ini?"Tok Batin Putat seperti tidak percaya."Sekarang musim tengkujuh.Laut Cina Selatan bergelombang tinggi.Selat Melaka juga kurang selamat, merbahaya bagi kapal besar,apa lagi perahu sebesar upih pinang ini." "Isteri hamba dilarikan orang ke Melaka,"Bujang berterus-terang."Dia dicolek untuk dijual sebagai hamba abdi. Ribut atau taufan,hamba mesti ke sana dengan segera." Tok Batin Putat termenung sejenak mendengar cerita Bujang itu.Tergambar rasa kasihan pada wajahnya."Pergilah ke kuala Sungai Singapura,letaknya di sebelah sana pulau,dekat Bukit Larangan. Di sana ada banyak kapal berlabuh." "Jauh lagi tempatnya?"Bujang bertanya sambil mengutip pakaian yang dijemur. "Kalau ikut jalan darat,tak berapa jauh,"Tuk Batin Putat menunjuk ke arah bukit-bukau dan hutan-rimba."Panglima kena redah semua itu.Hantu darat pun banyak,silap-silap darah Panglima dihisapnya." "Jalan laut?"tanya Bujang,kurang berminat dengan cara pertama. "Paling mudah ikut pantai ini keliling pulau,"Tuk Batin Putat menyatakan pilihan yang lebih baik.Depan sikit ada Kuala Sungai Keranji. Ikut lagi sampai ke Pulau Belakang Mati dan Pulau Berani,dekat situ ada Kuala Sungai Singapura. Tempat itu terlindung dari tiupan angin tengkujuh,sebab itu banyak kapal berlabuh." "Baiklah,elok hamba ikut jalan laut,"tegas Bujang."Terima kasih,Tok Putat." "Tak singgah di rumah hamba dulu?"pelawa Tok Batin Putat. "Terima kasih sajalah,Tok,"Bujang menolak."Hamba tak boleh berlama di sini." "Kalau begitu,ambillah bekal ini,"Tok Batin Putat menghulurkan makanan berbungkus daun pisang."Pulut dengan ikan gelama kering.Orang rumah bekalkan buat hamba ke laut." "Eh,Tok Putat tak makan ke?"Bujang pura-pura menolak. "Rumah hamba dekat saja,hamba boleh minta lain,"Tok Batin Putat tersengih. "Kalau begitu,terima kasih banyak-banyak,"Bujang menerima bekalan itu."Sampaikan salam hamba kepada Raja Negara." "InsyaAllah,Panglima,"balas Tok Batin Putat,bangga bertemu panglima pujaannya itu. Bujang meneruskan pengembaraannya dengan mendayung perahu seperti yang diceritakan oleh Tok Batin Putat.Pakaiannya yang basah disangkut pada tiang layar supaya mudah kering. Sampai di kuala Sungai Keranji,dia memasang layar pula kerana angin pasang,pendayung digunakan sebagai kemudi memandu-arah haluan perahu.Perkampung Orang Laut yang dilihat itu bertiang tinggi,dibina jauh-jauh di sepanjang pantai berlumpur.Setiap rumah mempunyai tiga hingga empat buah perahu yang lebih kecil daripada perahu lading.Belayar di sebelah barat pulau,dia terlindung dari pancaran matahari yang terik menjelang tengah hari.Dia singgah untuk mengalas perut di beting pasir berhampiran pantai di mana terdapat anak sungai yang mengalir dari sebuah air terjun. Dia mandi-manda membersihkan badan dengan pakaiannya sekali. Pakaian itu dijemur pada tiang layar,pakaian yang sudah kering disarungkan ke badan. Selepas menunaikan sembahyang,dia meneruskan pelayaran. Angin yang bertiup tidak berhenti-henti memudahkan lagi pelayarannya.Dia hanya perlu menjaga kemudi dan tidak perlu berdayung.Bila kelihatan dua buah pulau di laut iaitu Pulau Belakang Mati dan Pulau Berani,dia menyusur pantai lagi di bawah naungan pokok-pokok liar yang tumbuh merimbun. Lewat waktu asar,barulah kelihatan kuala Sungai Singapura dengan gugusan pulau-pulau kecil di bahagian selatan.Pantai di situ berpasir dan pemandangannya indah.Terdapat beberapa buah kapal berlabuh di perairan antara pulau-pulau itu dengan muara sungai.Rumah kediaman orang Melayu,lengkap dengan masjid dibina di kiri-kanan muara sungai itu dengan berbagai jenis sampan dan perahu tertambat di pantai.Terdapat juga kedai sederet tidak jauh dari mesjid dan pengkalan.Bujang mengendalikan layar perahunya masuk ke kuala.Setelah hampir dengan pengkalan,dia menggulung layar itu dan berdayung merapatkan perahu ke pengkalan. Tali perahu itu ditambat pada pancang yang disediakan. Pakaian pendekar yang sudah kering dijemur itu dilipat dimasukkan ke dalam kampitnya.Dengan berpakaian biasa tanpa membawa senjata kecuali kerambitnya dan kerambit Chendana yang tersembunyi di bawah baju,dia menggalas kampit kulitnya naik ke darat.Angin petang yang lembut menerpa ke mukanya dan menyegarkan badannya.Kerana mengenangkan perutnya yang belum diisi sejak tengah hari tadi,dia menghayun langkah ke deretan kedai tidak jauh dari pengkalan itu.Tiba di sebuah kedai makanan,dia pun memesan nasi dan lauk serta minuman.Sementara menunggu pesanan itu siap, dia memerhati rumah-rumah di situ yang tidak dibina dengan teratur.Di bawah rumah pecak dan ditumbuhi semak-samun kerana dijadikan tempat perlimbahan.Kebanyakan penghuni tidak berbaju,kaum perempuan bergetang kain hingga ke paras dada manakala kanak-kanak pula bertelanjang bulat berlari-larian di sekitar halaman rumah.Kalaulah tidak kerana kehadiran kapal-kapal asing dan orang luar,kampung itu tidak ubah seperti kebanyakan perkampungan Melayu di seluruh Nusantara. Bila makanan dan minuman yang dipesan tiba,Bujang pun menjamu selera.Namun,telinganya diasak dengan bunyi riuh-rendah orang ramai membelah-belah.Selain dari Melayu,dilihatnya terdapat juga orang cina,Arab,Bugis,Jawa,Banjar,Kemboja serta orang-orang Barat. Mereka semua bercakap menggunakan bahasa pasar dengan pelat yang berbagai-bagai.Kebanyakan mereka membawa keris Melayu,rencong Acheh,kelewang,jenawi bertumit Bugis,tombak, lembing,campak-buang,seligi Orang Laut,cenangkas,candung serta lain-lain senjata yang tidak diketahui namanya. Bujang yang kelihatan tidak membawa sebarang senjata itu menarik perhatian ramai,lebih-lebih lagi pakaiannya berbeza dari mereka.Termasuk satu keluarga Bugis dengan anak gadis mereka.Keluarga itu berpakaian seperti bangsawan,diiringi oleh beberapa orang pengawal yang membawa tombak berambu kuning.Bujang yang tidak menyedari kehadirannya menjadi perhatian tidak menghiraukan kedatangan mereka. Seorang pengawal datang mengacu tombak ke perut Bujang sambil menyergah,"Naiga iko?" Bujang memaling mukanya dan agak terkejut melihat mata tombak terlalu hampir mencecah perutnya.Diperhatinya pengawal itu ke atas ke bawah,"Mengapa,tuan hamba?" "Siapa kau?"ulang pengawal itu dalam bahasa Melayu pelat Bugis."Kenapa kau berani makan di tempat ini?" "Hamba yang sampai dulu,"jawab Bujang dengan tenang. Tiba-tiba pengawal itu naik darah.Pinggan-mangkuk dan cawan di atas meja itu dikuisnya dengan mata tombak,berselerak jatuh ke tanah."Dengar sini baik-baik,"gertak pengawal itu sambil mengacu tombak ke dada Bujang."Bila raja kami mahu makan di sini,tiada siapa pun dibenarkan masuk sehingga raja kami habis makan!Ini adat kami orang-orang Bugis!" "Hamba bukan orang Bugis,"katanya pada pengawal bengis itu.Dia bangun mengeluarkan sekeping wang emas dari kampitnya lalu meletakkan wang itu di atas meja.Dia berpaling meninggalkan meja itu sambil menyandang kampitnya ke bahu.Ketika hendak keluar,dia terserempak dengan keluarga bangsawan Bugis itu yang baru hendak masuk.Matanya bertembung dengan mata anak gadis keluarga itu.Hatinya berdebar-debar melihat cantiknya paras gadis itu dengan berlesung pipit seperti Chendana tetapi tidak bertahi lalat.Alis gadis itu lentik,keningnya lebat,hidungnya mancung,bibirnya bak limau seulas.Gadis itu juga bagaikan terkedu memandang wajah Bujang.Mereka saling pandang-memandang seolah-olah orang lain tidak wujud lagi. "Ayo,Ratna.Idi mandre,"tegur emak gadis itu sambil memegang lengannya.

Tengku Alang Iskandar StoryWhere stories live. Discover now