Bujang membersihkan kerambitnya di atas rumput dan menyarungkannya di celah bengkung. Keris pendek dan keris panjang yang dihulurkan itu diambilnya. “Dia sudah mampus,”kata Tunku Mahmud,memerhati mayat Awang Kelana seketika. Bujang tidak menjawab,hanya menyisip kedua-dua kerisnya ke pinggang. “Dua-tiga orang kamu,bawa bangkai si-pembelot ini,campakkan ke dalam sungai!Biar dimakan buaya!”titahnya pada pendekar dan hulubalang di situ. Beberapa orang pendekar mengusung mayat Awang Kelana pergi dari situ. “Bagaimana dengan Tun Mat Akib?”Bujang bertanya pada abang iparnya. “Kami sudah kurung dia dalam istana,”Tunku Mahmud menerangkan.”Dia tidak tahu-menahu langsung tentang pembunuhan Awang Kelana.Sebenarnya kami memberinya makan candu sehingga dia pengsan.” “Bagaimana dengan orang-orangnya,Tunku?”tanya Bujang lagi,tersenyum. “Orang-orangnya menyebelahi kita,”Tunku Mahmud memerhati pendekar dan hulubalang yang berkerumun di situ.”Mereka yang menyaksikan kejadian ini sudah bersumpah tidak akan membocorkan rahsia.” “Ke Bawah Duli Tuanku?”Bujang terus bertanya. “Pada Paduka Ayahanda,akan Kanda katakana bahawa Awang Kelana sudah balik ke Betawi kerana gagal menangkap Panglima Agung,”Tunku Mahmud menepuk bahu Bujang penuh yakin.”Jangan bimbang,tidak ada sesiapa pun yang akan mengganggu kita lagi.” Bujang hanya mendiamkan diri,kurang yakin dengan kata-kata abang iparnya. Hampir dua minggu lamanya Bujang menjalani kehidupannya seperti biasa di istana Kota Siputih. Masa-masa yang terluang dihabiskan bersama isteri dan anaknya,melayani segala kemahuan dan kehendak mereka.Setiap petang dia bermain sepak raga dengan para pengawalnya di pekarangan istana. Kadangkala dia keluar melawat kawasan kampung, beramah-mesra dengan penduduk,mengambil-tahu susah-senang mereka. Dalam kampung itu,dialah raja manakala Datuk Setia Raja sebagai Bendahara dan Datuk Johan Pahlawan sebagai Temenggung. Buah-buahan dalam dusun dikutip,diambilnya sedikit untuk dimakan keluarga,selebihnya disedekahkan kepada pengawal dan orang-orang kampung. Selama tempoh itu,nama Awang Kelana tidak sebut-sebut lagi. Banyak khabar angin yang bertiup tetapi akhirnya hilang begitu sahaja,seolah-olah Awang Kelana ditelan bumi. Petang itu,Bujang melakukan sesuatu yang baru. Dia membantu isterinya menumbuk emping untuk jamuan malam nanti. Dia yang mengendalikan alu kaki manakala isterinya dan anaknya menguis emping dalam lesung supaya tidak tumpah.Dayang-dayang pula tolong mengasingkan padi muda untuk dijadikan emping.Sambil kakinya menekan alu, Bujang terbayang jamuan yang akan dinikmatinya amalam nanti.Emping yang dicampur serbuk gula kabung,digaul pula dengan kelapa parut,dimakan pula bersama kopi panas, pasti menyelerakan. Sudah sepuluh tahun dia tidak menikmati makanan seperti itu. Namun di sebalik kegembiran itu,hatinya tetap berbunga dengan kebimbangan. Dia tahu hanya mulut tempayan boleh ditutup,mulut manusia lambat-laun akan membocorkan rahsia. Pasti ada yang mudah terpengaruh dengan kekayaan,pasti ada yang boleh disuap,pasti ada yang akan membelot jika diumpan dengan janji-janji manis. Rambut manusia sama hitam, hati lain-lain. Manusia boleh tidur sebantal tetapi mimpi tidak sama. “Tengku,”seorang dayang-dayang menunding ke arah pintu gerbang.Bujang menoleh ke arah yang ditunjuk dan kakinya yang memijak alu terhenti. Seorang pendekar berkuda memecut dengan kencang melalui pintu gerbang tanpa menghiraukan pengawal yang cuba menghalangnya.Wajah pendekar itu dicamnya. “Kundang,”katanya perlahan,menyebut nama pendekar itu.Dia segera meninggalkan alu dan lesung, berlari keluar dari bawah istana dan menuju ke pekarangan menyambut kedatangan Kundang yang mengejutkan itu.Hatinya berdebar-debar seolah-olah ada petanda buruk. Kundang terus memberhentikan kuda dan melompat turun. “Tengku,”Kundang termengah-mengah,mukanya cemas.”Cepat lari,Tengku!Askar-askar Belanda datang!” “Bawa bertenang dulu,”Bujang menasihati Kundang. “Tengku,”Kundang menerangkan setelah agak tenang.”Istana Kota Naga dikepung Belanda.Ke Bawah Duli,Tunku Raja Muda,kaum-kerabat dan semua pembesar telah ditangkap oleh Tuan Joan Truijtman dan askar-askar dari Kuala Kedah. Mereka menuduh Ke Bawah Duli bersubahat di atas kehilangan Datuk Awang Kelana.Ramai pendekar dan hulubalang ditawan.Siapa yang cuba melawan,habis ditembak mati.” Bujang terasa berita yang baru diterimanya itu bagaikan halilintar membelah bumi. “Di mana askar-askar itu sekarang?”Bujang memandang kepada isteri dan anaknya yang masih menumbuk emping di bawah istana bersama dayang-dayang. Mereka baru berkira-kira hendak kemari,”Kundang menjelaskan.”Mereka orang Jawa Madura, Tengku.Didatangkan khas dari Melaka.Khabarnya orang Madura gagah-berani, Berhati kering dan tidak takut mati.Mereka tidak teragak-agak untuk membunuh.” “Kau berpatah balik dan biarkan dirimu ditangkap,”perintah Bujang. “Hah?”mata Kundang terbeliak kehairanan.”Hamba akan dibunuh!” “Kau tidak akan dibunuh kalau membawa berita baik,”balas Bujang. “Berita baik?”Kundang bingung. “Kau beritahu mereka yang hamba sudah melarikan diri ke Kuala Kedah,”Bujang menjelaskan.”Tentu mereka tidak akan menyerang Kota Siputih. Terselamatlah seluruh kampung ini dari bencana.” “Kalau mereka tidak percaya,Tengku?”Kundang ragu-ragu. “Hamba ada rancangan sendiri supaya mereka percaya,”balas Bujang.”Sekarang pergi!” “Baiklah,,Tengku gunalah kuda ini,”Kundang berlari kencang meninggalkan pekarangan istana.Tanpa sepatah kata,Bujang naik ke istana dan terus masuk ke kamarnya untuk mengemaskan barang-barang.Tunku Balqis yang tidak sedap hati melihat perubahan perangai suaminya bangun merenung ke atas istana. “Fatimah tolong dayang-dayang,”katanya pada anaknya lalu berlari naik ke istana. Ketika Tunku Balqis tiba di dalam kamar itu,Bujang sudah siap berpakaian pendekar dan sedang memasukkan barang-barang lain ke dalam buntil. “Abang nak ke mana tergesa-gesa ni?”tegur Tunku Balqis kehairanan. “Istana Kota Naga sudah ditawan Belanda,”beritahu Bujang sambil berkemas.”Mereka sedang mencari abang. Abang terpaksa lari,Balqis.” “Abang nak lari ke mana?”Tunku Balqis mula cemas. “Lari ke mana sahaja,”balas Bujang.”Abang terpaksa lari demi menyelamatkan Balqis, Fatimah dan seluruh penduduk kampung ini.” “Abang tak kasihankah pada kami?Pada Fatimah yang baru hendak mengenali kasih-sayang seorang ayah?”Tunku Balqis menggosok perutnya.”Pada Balqis yang berbadan dua?” “Balqis berbadan dua?”Bujang berteriak keriangan,terlupa seketika pada masalahnya yang sedang dihadapi.”Benarkah bagai di kata,Balqis?” “Benar,abang,”Tunku Balqis menitiskan air mata.”Sudah dua minggu Balqis tidak datang bulan.” Bujang terus mendukung isterinya.”Alhamdulillah,berhasil juga pahit-jerih kita bercucuk-tanam siang-malam!Akhirnya,abang akan menjadi seorang ayah sekali lagi!” Tunku Balqis tersenyum-senyum sambil menangis melihat telatah suaminya. “Tetapi..,”Bujang menurunkan semula isterinya.”Abang terpaksa bersembunyi dari buruan Belanda sehingga sengketa ini berakhir.” “Abang bersembunyilah di Pulau Pinang,”Tunku Balqis memberi cadangan.”Pulau Pinang dan Langkawi sudah menjadi pegangan abang.Pulau Pinang tempatnya cantik.Kawasannya berbukit-bukau,ada air terjun,sungainya jernih,pantainya putih bersih.Binatang perburuan pun banyak.” “Tidak ada orangkah di pulau itu?”Bujang tertarik dengan cadangan itu. “Ada sebuah-dua kampung nelayan di pinggir pantai,”Tunku Balqis gembira kerana cadangannya diterima suaminya.”Tetapi,kalau ke darat lagi,tiada manusia yang tinggal, masih ditumbuhi hutan tebal.Udara dipuncaknya nyaman dan dingin.” “Menarik nampaknya Pulau Pinang itu,”Bujang berkenan memilih tempat itu. “Tentulah menarik,”tambah Tunku Balqis.”Dulu Ayahanda kerap juga membawa kami berkelah dan bermain-main di sana.” “Baiklah,”Bujang memutuskan.”Abang akan singgah di sana sehari-dua sebelum abang ke Johor mencari Kuntum.” “Kuntum?”rasa cemburu bercambah di hati Tunku Balqis.”Maksud abang…?” “Kuntum itu madumu juga,Balqis,”Bujang mengikis rasa cemburu isterinya. “Balqis bukan cemburu ,abang,”Tunku Balqis cuba menegakkan benang basah.”Tetapi, sepuluh tahun telah berlalu.Apakah abang yakin dia belum bersuami lain?” “Kalau dia masih setia,dia tidak akan menuntut cerai,”Bujang masih menaruh harapan. “Terpulanglah pada abang,tepuk dada tanya selera,”Tunku Balqis terpaksa menerima hakikat itu.”Jadi,abang hendak pergi juga hari ini?” Bujang memasukkan beberapa helai lagi pakaiannya ke dalam buntil. “Abang sayang hendak meninggalkan tempat bertuah ini.Kata orang,tempat jatuh lagi dikenang,inikan pula tempat bermanja.Tetapi,apa boleh buat,”Bujang mengikat buntilnya. “Kalau abang sayang,kenapa abang tidak berfikir terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tindakan?”Tunku Balqis menyelar suaminya.”Bukankah fikir itu pelita hati?” “Perbuatan sudah terlanjur,nasi sudah menjadi bubur,”Bujang menyesali nasib yang menimpa dirinya.”Tangan yang terdorong,jiwa menanggung akibatnya.” “Sesal dahulu pendapatan,sesal kemudian tidak berguna lagi,”selar Tunku Balqis lagi. “Tetapi,abang pasti kembali untuk menjernihkan segala kekeruhan,”Bujang bertekad sambil menggalas buntilnya. “Tunggulah dulu,nanti Balqis sediakan bekalan,”pinta Tunku Balqis. “Baiklah,abang tunggu di bawah,”sambut Bujang. Bujang pun menggalas buntil turun ke bawah untuk meninggalkan pesan sepatah-dua pada Fatimah.Dilihatnya Fatimah tertidur keletihan di atas buaian di bawah istana setelah didodoi dayang-dayang. “Dia baru sahaja tidur,Tengku,”seorang lagi dayang-dayang menyatakan.”Agaknya terlalu kenyang makan emping.” Bujang hanya tersenyum sambil menatap wajah anaknya. “Ini dia bekalnya,abang,”Tunku Balqis turun mendapatkan suaminya. Bujang mengambil bungkusan daun pisang itu,diciumnya.”Sedap baunya.” “Pulut,berlauk ikan pekasam dan daging bakar,tak sempat kita jamah makanan ini bersama malam ini,”Tunku Balqis menitiskan air mata. “Sudahlah,”pujuk Bujang.”Abang pergi bukannya lama.”Kemudian Bujang menatap wajah bersih anaknya sekali lagi,”Tidurlah,anakku.Demi kebaikanmu dan ibumu,ayah terpaksa pergi.Namun,kasih-sayang ayah tidak akan luput ditelan zaman.”
YOU ARE READING
Tengku Alang Iskandar Story
Historical FictionMenyoroti kisah pengembaraan seorang pahlawan dari Kuala Kedah bernama Bujang. Beliau adalah anak kepada Sultan Abdullah dan Puteri Chut Narasari seorang Puteri dari Acheh. Pelbagai kejadian misteri berlaku sepanjang kehidupan Bujang. Suka duka dan...