Bab 72

254 12 2
                                    

Kesedihannya beransur-ansur hilang.Akhirnya,dia redha dengan takdir yang menimpa rakan-rakannya.Mereka terkorban ketika berjihad di jalan Allah. Syurga bagi mereka sudah terjamin. Dia bangun mengambil kitab hikayatnya,kemudian duduk di meja mencatat semua kejadian yang telah berlaku buat kenangan di kemudian hari. “Jemput minum,abang,”pelawa Ratna sambil meletakkan secangkir minuman di atas meja. “Duduklah,Ratna,”Bujang menahan bila isterinya berpaling hendak pergi.”Kita minum bersama.” Ratna mengesat air mata gembira lalu duduk di samping suaminya.Dia membiarkan sahaja suaminya mengisi kitab catatan itu. “Ratna faham perasaan abang,”Ratna bersuara lembut sebaik sahaja Bujang selesai menulis pengalamannya.”Apa yang berlaku,anggaplah sebagai takdir dari Allah.” “Salah abang juga,”Bujang menyimpan kalamnya dan menutup bekas dakwat.”Tidak seharusnya abang menyuruh Lela Wangsa belayar balik ke Batu Sawar.Kalau dia bersama kita,masakan malapetaka ini akan menimpa dirinya.” “Sabarlah,abang,”pujuk Ratna lagi.”Kita manusia tidak mampu menolak takdir.” “Lahaulawalaquawataillabillahil’aliyyil’azim,”Bujang menarik nafas lega,menerima seadanya dengan kejadian yang telah berlaku.Ucapan itu menutup perbualan mereka tentang Lela Wangsa dan membuka lembaran baru bagi masa akan datang.”Kalau Ratna nak tidur,tidurlah dulu.” Bujang turun mengambil angin di anjung hadapan untuk melupakan peristiwa berdarah itu. Lela Wangsa dan rakan-rakannya serta lancang berbentuk finisi Bugis itu sudah jadi sejarah hidupnya. Dia memanjat menara pemantauan atau pencerapan.Tidak ada sesiapa berkawal di situ.Genta yang didengar bunyinya tadi juga tidak kelihatan. Yang ada hanyalah sebuah teropong yang dipasang kaki serta sebuah kerusi tempat bersandar. Menara itu kecil,muat untuk seorang sahaja.Seperti kamar kemudi,menara tersebut berbumbung dan berdinding dengan empat jendela kaca yang boleh dibuka atau ditutup.Lubang-lubang angin lebih kecil.Dari menara itu,dia mampu melihat jauh ke hadapan dan di sekitar bahtera dengan jelas.Bila salah satu jendela kaca dibuka,angin malam yang nyaman lagi segar menyerbu masuk. Dia tersandar di kerusi menyaksikan laut gelap yang luas bagaikan tidak bertepi. Akhirnya dia terlelap. Dia terjaga apabila terdengar bunyi genta.Bunyinya lembut dan tidak menyakitkan telinga. Dia mencari dari mana datangnya bunyi itu tetapi gagal menemuinya.Bila ditoleh ke ufuk Timur,fajar sudah pun menyingsing.Dia menggeliat. Meskipun dia terlepas solat tahajud,disambutnya subuh Rabu 23 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 15 November 1652 Masehi dengan penuh kesyukuran. Sambil menutup jendela kaca,dia turun ke bawah dan kembali ke kamarnya. Pagi itu selepas mandi,bersembahyang subuh dan bersarapan dengan isterinya,dia baring di atas katil membaca kitab panduan yang bertulis Jawi dalam bahasa Melayu lama.Ratna duduk di meja solek menghadap cermin menyisir rambutnya yang panjang terhurai itu.Dia membiarkan sahaja suaminya begitu khusyuk membaca kitab yang tebal itu.Dia tidak akan sekali-kali mengganggu suaminya. Bujang sedar isterinya terasa seperti tidak dipedulikan.Dia menutup kitab itu,kemudian bangun meletakkannya di atas almari. “Cepatnya abang membaca,”tegur Ratna sambil mengenakan bedak sejuk di mukanya. “Sekadar mengulang kaji apa yang sudah dijelaskan,”Bujang menjenguk ke luar jendela kaca dan mendapati kapal itu sudah menghampiri sebuah pelabuhan.”Banyak terdapat bahasa lama yang kurang difahami maksudnya.Penuh dengan gurindam dan kiasan.” Ratna mengambil kitab itu lalu membaca seketika.”Bahasanya bercampur-aduk dengan bahasa Melayu lama,ada bahasa Jawa tua,ada bahasa Bugis ,ada juga kata-kata yang diambil dari kitab Hindu tua,”ujar Ratna sambil menyimpan semula kitab itu. “Agaknya kitab itu sudah berusia beratus tahun,”Bujang memakai dastarnya,kemudian mengambil kerisnya.”Barangkali bahasa orang bunian. Di mana kita sekarang?” Ratna menjengah sekali imbas ke luar jendela.”Martapura,”ujarnya selamba seolah sudah biasa dengan pelabuhan itu.”Kita sudah hampir dengan Makasar.” “Makasar,”Bujang menyisip keris pendeknya ke celah bengkung.”Bertemu juga abang dengan ibu dan bapa mertua golongan bangsawan Bugis.” “Bakal mertua,”Ratna membetulkan kenyataan itu.”Hidup dikandung adat,mati dikandung tanah.Perkahwinan kita hanya sah pada syarak.Selepas melalui upacara dan adat-istiadat Bugis, baru kita diiktiraf sebagai suami-isteri dan dicatat dalam Kitab At-Tarikh di istana.” “Tak bolehlah abang bertandang ke istana sebelum hari perkahwinan,”keluh Bujang. “Kalau untuk merisik apa salahnya,”Ratna menjelaskan.”Selepas merisik,baru diikat tali pertunangan serta menetapkan hari perkahwinan yang sesuai.Perkahwinan pula dilangsungkan selama empat-puluh empat hari empat-puluh empat malam.” “Lamanya,”Bujang mengeluh lagi.”Tak sabar rasanya hendak abang nikmati madu segar dari bunga yang sedang berkembang mekar.” “Jangan sangka abang sahaja berperasaan begitu,”Ratna tunduk malu,wajahnya merah padam menahan gelora.”Perempuan lebih-lebih lagi nafsunya.Namun,hati dan perasaan kedua-dua orang tua perlu kita jaga.Adat-istiadat harus kita junjung.” “Masanya akan tiba,”balas Bujang penuh makna sambil mencubit pipi isterinya. Setelah memastikan pakaiannya kemas,dia keluar ke geladak menyaksikan Pelabuhan Martapura yang sudah jelas kelihatan di muara Sungai Kampuas.Pengkalannya merupakan pelantar panjang di kedua-dua tebing.Rumah-rumah penduduk diselang-selikan oleh beberapa buah kedai beratap nipah dan diperbuat daripada kayu.Banyak perahu dan sampan tertambat pada tiang pelantar.Dia beredar pula ke anjung hadapan melihat haluan yang membelah ombak dan gelombang merapati pengkalan.Bahtera itu dirasanya bergerak terlalu pantas.Belum sempat dia berpaling hendak memberi arahan kepada Yaakub Lim di kamar kemudi,jentera ajaib bahtera itu tiba-tiba dimatikan.Bahtera itu terus hanyut oleh lajaknya.Bila tepian bahtera hampir mencecah pengkalan, sauh depan dan belakang pun diturunkan,bunyi rantai sauh jelas kedengaran. Tidak lama kemudian ,bahtera itu berlabuh dengan selamat. Tangga-tangga dihubungkan ke pengkalan buat mereka yang ingin ke darat. “Panglima,”tegur Andika yang datang bersama Yaakub Lim.”Berapa lama perlu kita tunggu di Martapura ini?” “Bergantung pada keadaan,”Bujang melihat sudah ramai yang naik ke darat. “Kita cuma perlu menambah bekalan bahan-bahan makanan,”Andika menjelaskan.”Air minuman tidak jadi masalah kerana kita ada alat yang menapis air laut di perut kapal.” “Mana-mana yang kurang,uruskanlah,”Bujang menyerahkan kunci bilik kebal kepada Andika. “Baik,Panglima,”Andika dan Yaakub segera minta diri,tidak mahu mengganggu Bujang yang disangka masih bersedih di atas kematian rakan baiknya Lela Wangsa.Ratna muncul senyap-senyap di sisi suaminya. “Abang,”seru Ratna perlahan,berhati-hati takut dianggap menganggu.”Ratna mohon izin ke darat.Berjalan-jalan di pasar.Mana tahu kalau-kalau kedapatan barang-barang yang boleh dibeli buat persediaan perkahwinan kita.” “Pergilah,”Bujang memberi keizinan,pandangannya masih ke tengah laut. “Abang tak ingin ikut sama?”tanya Ratna kehairanan. Bujang geleng kepala.”Bawa dayang-dayang sebagai teman,”ujarnya ringkas. “Baiklah,”Ratna segera berpaling mendapatkan dayang-dayangnya yang sedia menunggu. Sepemergian isterinya,Bujang kembali ke kamarnya. Selepas mengisi buku catatannya seketika,dia berbaring di atas katil menyambung semula pembacaan kitab tatacara pengendalian bahtera itu dan cuba memahami bahasa tersirat di sebalik kata-kata kiasan.Lela Wangsa sudah mati dan tidak akan kembali lagi.Hatinya puas kerana kematian Lela Wangsa sudah pun ditebus dengan nyawa Juragan Musa. Menjelang tengahari,bahtera itu membongkar sauh dan belayar meninggalkan Martapura menuju ke Tanah Bugis.Bujang turut memerhati muara Sungai Kampuas yang semakin jauh ditinggalkan melalui jendela kamarnya.Manakala isterinya duduk bersimpuh menjamu mata mengkagumi kain-baju dan barang-barang perhiasan yang dibelinya. “Abang pilihlah yang mana satu sesuai dibuat busana pengantin,”pelawa Ratna. Tanpa sepatah kata,Bujang berpaling dari jendela lalu duduk bersila di sisi isterinya. “Jauh lagikah Tanah Bugis?”tanya Bujang sambil memilih kain yang sesuai. “Kalau tiada aral,besok atau lusa sampailah kita di Makasar,”ujar Ratna. “Sampai di sana nanti,akan abang hantar rombongan menemui ayahanda dan bonda,” Bujang menerangkan rancangannya.”Pada Panglima Kahar dan Andika sudah abang serahkan segala urusan adat-istiadat.” “Abang seperti tidak sabar-sabar lagi,”Ratna menyindir suaminya dengan manja. “Bukan begitu,Ratna,”balas Bujang sambil mengukir senyum bermakna.”Selesai sahaja istiadat perkahwinan kita ini,abang akan mula melancarkan serangan ke atas armada Belanda di Melaka dan Betawi,membantu Kanda Sultan Kedah dan raja-raja Melayu lain yang menyebelahi perjuangan jihad kita.” “Tempat seorang isteri adalah di samping suami,”Ratna menyatakan hasratnya. “Kalau Ratna ingin ikut serta,abang tidak melarang,”Bujang memberi kebenaran.” Begitu juga dengan Chendana dan Balqis.Tetapi,perjuangan ini memerlukan pengorbanan yang cukup besar. Nyawa kita ibarat telur di hujung tanduk.” “Hubbul-watan-minal-iman,”jawab Ratna dengan lembut tetapi tegas.”Jika perjuangan ini demi kebaikan bangsa dan agama,Ratna rela berkorban nyawa.” Bujang terdiam sejenak,terkedu dengan pengakuan ikhlas isterinya yang berdarah Bugis itu. “Kita ke Tanah Suci,”tiba-tiba Bujang bersuara. “Ke Tanah Suci?”Ratna terperanjat dengan perubahan tajuk secara mendadak. “Sebelum memulakan jihad,elok kita ke Mekah terlebih dahulu menjadi tetamu Allah,”balas Bujang.”Menunaikan rukun Islam yang kelima.Wajib ke atas kita kerana kita berkemampuan.” “Baik bagi abang,baiklah juga bagi Ratna,”Ratna tersenyum riang sambil memeluk suaminya, kegembiraannya tidak dapat disorok lagi. 

Tengku Alang Iskandar StoryWhere stories live. Discover now