Bab 9

353 12 0
                                    

Sudah,Panglima,”jawab Kundang sambil memerhati Bachok,Semaun dan Jejaka.

”Ini sahaja yang sempat hamba jemput mengikut Panglima.” “Kita berlima sudah memadai,”Bujang memandang ke langit yang berbintang.”Fajar akan menyingsing tidak lama lagi.Eloklah kita bertolak sekarang,kita balik sebelum hari siang.”

“Baiklah,Panglima,”sahut Kundang.Bachok,Semaun dan Jerjaka angguk kepala. Dengan senyap mereka berlima beredar meninggalkan kawasan kubu menuju ke hujung pantai di mana sampan mereka disembunyikan. Pak Guru Jalil dan Panglima Dermang yang sedang berbual-bual kosong ternampak Bujang dan empat rakannya lalu di situ tetapi mereka tidak mengesyaki apa-apa.Mereka terus berbual sambil berkawal bersama lain-lain pendekar dan hulubalang. Tidak lama kemudian,kesepian awal subuh itu tiba-tiba dipecahkan oleh bunyi bedilan meriam bertalu-talu dari arah kapal-kapal yang berlabuh.Para pendekar dan hulubalang yang sedang berihat,membasahkan tekak atau berbual-bual kosong segera berkejar ke tempat masing-masing menyahut seruan perjuangan.Mati atau hidup,semuanya di tangan Allah. Tok Penghulu yang dikejutkan dari tidurnya turut mengumpulkan semua anak muridnya seolah-olah sudah merasa berakhirnya peperangan ini,anak and isterinya tidak dipedulikan langsung,hasratnya hanya ingin membalas dendam perbuatan musuhnya terhadap Perkasa yang belum tentu hidup atau mati.Baginda Sultan juga terbangun awal lalu menitahkan semua kaum-kerabat dan para pengawal supaya bersiap-sedia untuk berundur lebih jauh ke dalam hutan jika keadaan bertambang meruncing.Siti bersama anaknya Kuntum turut mengikut lain-lain penduduk kampung lari sehelai-sepinggang bersembunyi di tempat yang selamat,meninggalkan kain-baju dan periuk-belanga begitu sahaja. Bubur nasi yang di dalam kawah,air kopi dan ubi rebus yang masih panas juga ditinggalkan.Masing-masing diburu rasa takut yang luar biasa. Dalam keadaan kelamkabut itu,Bujang dan rakan-rakannya berjaya memintas kapal induk dari belakang.Di atas kapal itu dipercayai Perkasa dikurung sebagai tawanan.

Kedatangan mereka tidak disedari pengawal yang asyik memandang ke darat yang terus-menerus dihujani peluru meriam.Sementelah pula hari masih gelap,fajar baru sahaja menyingsing dan sang suria belum lagi menampakkan diri di ufuk Timur.Sampan yang dinaiki mereka berlima itu dirapatkan ke tali sauh.Bujang berdiri memegang tali sauh sementara rakan-rakannya mengawal sampan supaya tidak hanyut dilambung ombak. “Di sini kita berpisah,”Bujang menatap wajah mereka satu persatu.”Andainya kita hilang di dunia,di akhirat pasti berjumpa.” “Panglima,ambil ini sebagai perlindungan,”Kundang menghulurkan sepucuk pistol. “Hamba tak biasa menggunakannya,”Bujang menolak. “Senang saja,Panglima,”Kundang menunjukkan caranya.”Tarik pelantuk ke atas,kemudian tekan picunya.”Kundang terus juga menghulurkan pistol itu kepada Bujang. Mahu tidak mahu Bujang terpaksa menerimanya.Diselitnya senjata itu di sebelah keris panjangnya.

”Hidup Melayu,”ucapnya.”Allahuakbar.” “Allahuakbar,”sambut rakan-rakannya,tidak terlalu lantang,takut didengari pengawal. Tanpa berlengah lagi,Bujang pun memanjat tali sauh itu. Kundang melihat seketika,kemudian mencapai tali sauh itu.”Jaga baik-baik sampan ini,” pesannya kepada rakan-rakannya yang tinggal.”Aku nak ikut Panglima.” Bachok,Semaun dan Jerjaka saling berpandangan,terkejut dengan tindakan Kundang. “Tapi,Kundang…,”Bachok cuba membantah. “Tak ada tapi-tapi lagi,”tegas Kundang.”Jaga sampan.Tengok kalau-kalau ada pengawal.” Tanpa mahu bertekak lagi,Kundang terus memanjat tali sauh mengikut Bujang. Bujang yang menyedari perbuatan Kundang itu tidak dapat berbuat apa-apa lagi kerana masa terlalu suntuk. Dia terus memanjat ke buritan kapal. Di situ,dia menjenguk ke atas sambil memerhati dengan teliti.Setelah dipastikan tiada pengawal atau anak kapal lain,dia terus melompat ke atas geladak kapal. Di atas geladak,dia menanti Kundang untuk menarik tangannya. Setelah mereka selamat berada di atas geladak,kedua-duanya menghunuskan senjata sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan. Kundang menuding ke arah pintu geladak yang membawa ke tempat kurungan. Bujang angguk. Selepas memberi isyarat kepada Kundang supaya menunggu di situ,Bujang meluru ke pintu geladak. Sebuah tangga yang dipasang menegak kelihatan menuju ke bawah.Dia meluru turun,matanya liar mencari Perkasa. Dalam kegelapan yang hanya diterangi lampu lilin,akhirnya dia ternampak Perkasa di dalam salah sebuah bilik kurungan.Walaupun Perkasa tidak dirantai,bilik kurungan itu dipasang jerejak besi dan kunci dengan mangga tembaga. “Perkasa,”serunya perlahan menerusi jerejak besi itu. Perkasa yang sedang tidur mengerekot terkejut,matanya terkebil-kebil.”Bujang?” Bujang memberi isyarat kepada Perkasa supaya diam.”Mana kuncinya?”tanya ia perlahan. “Ada pada pengawal,”bisik Perkasa bangun mendapatkan Bujang. Bujang geleng kepala,kemudian menyarungkan keris panjangnya.Tidak ada pilihan lagi. Dia terpaksa menggunakan segala kepandaiannya di saat-saat genting itu. “Bismillahirrahmanirrahim…kun-fayakun!”Bujang memegang jerejak besi itu kuat-kuat lalu mengopaknya.Dengan izin Allah Taala,terkopaklah jerejak besi itu.Apabila sudah cukup luas,Perkasa segera keluar dari kurungan itu.Bujang mendahului Perkasa memanjat tangga ke atas geladak.Namun,mala petaka menunggu mereka di atas geladak. Sebaik sahaja Bujang dan Perkasa keluar ke geladak,kelibat mereka dilihat oleh seorang pengawal yang sedang bertugas di atas tiang layar.Semua tidak menyangka terdapat pengawal di situ.Apabila disergah pengawal tersebut,masing-masing terkejut. “Koi suk kroo!”jerkah pengawal itu sambil menimang istinggar.”Tham gum lung pai nai?” “Lari!”Bujang menolak Perkasa ke arah Kundang sambil menghunus pistolnya dan berguling ke hadapan.Satu das tembakan kedengaran dari atas tiang,peluru yang ditujukan pada Bujang terkena geladak.Bujang menenang pistolnya ke atas tiang layar. “Cepat!Lari!!”jeritnya lagi bila melihat Kundang dan Perkasa masih terkial-kial memanjat buritan kapal mencari tali sauh. Dia mengangkat pelantuk lalu menarik picu pistol seperti yang ditunjukkan oleh Kundang tadi.Namun,kerana dia belum pernah menggunakan senjata jenis itu,tembakan yang dihala ke arah pengawal Siam di atas tiang layar itu tersasar jauh. “Pa sa Malayu!”jerit pengawal itu ke arah pengawal-pengawal lain di hujung kapal. “Si nai?”tanya salah seorang pengawal itu ssambil menghunus pedang. “Si nun!”jerit pengawal itu pada rakan-rakannya,menuding ke arah Bujang. Melihat Kundang dan Perkasa masih menuruni tali sauh,Bujang menyerbu ke arah tiga orang perajurit Siam yang berkawal di hujung kapal.Kerana kerisnya tidak sempat dihunus, dia menggunakan pistol kosong itu sebagai senjata. Sebelum diserang,dia terus menyerang.Pistol itu dihayun ke kiri dan ke kanan seperti menghayun kayu belantan. Ketangkasannya tiada tolok bandingan. Dalam beberapa saat sahaja,ketiga-tiga pengawal itu jatuh menggelepar dan terus tidak sedarkan diri akibat pukulan yang hinggap di kepala masing-masing. Dia mendengus kepuasan. Dijenguknya ke bawah,dilihatnya Kundang dan Perkasa sudah selamat berada di atas sampan bersama Bachok,Semaun dan Jerjaka. Bunyi bising hentakkan sepatu kedengaran dari bawah geladak.Lebih ramai pengawal muncul dari sana. “Si nun!”jerit pengawal di atas tiang memberitahu rakan-rakannya. Bujang cuba menembak pengawal itu tetapi pistolnya tidak meletup.Menyedari pistol itu kehabisan peluru,dia membalingnya ke arah para pengawal yang sedang menyerbunya,lantas menghunus keris panjangnya untuk membuat perhitungan terakhir. Baru sahaja tangannya mengepal hulu keris,beberapa das tembakan kedengaran dari arah pengawal-pengawal itu, api tembakan jelas kelihatan dalam kegelapan subuh itu.Peluru berterbangan mencari sasaran.Sebutir peluru hinggap di kepala Bujang.Tiba-tiba sahaja Bujang terasa kepalanya sakit bukan kepalang,telinganya berdesing,terpancar cahaya seperti kilat di ruang matanya. “Allah…!”hanya perkataan itu yang sempat disebutnya. Selepas itu,dia tidak ingat apa-apa lagi,semuanya serba gelap. Kundang dan Perkasa yang berada dalam sampan melihat samar-samar badan Bujang jatuh ke laut selepas kena tembak.Begitu juga Bachok,Semaun dan Jerjaka yang sedang terkial-kial mendayung sampan. “Bujang…,”jerit Perkasa seperti hendak menangis. “Sabarlah,”pujuk Kundang,suaranya sedih.”Lebih baik kita pergi sementara hari masih gelap.” “Bujang terkorban semata-mata kerana hendak menyelamatkan hamba,”keluh Perkasa. Kundang dan rakan-rakannya hanya mampu membisu menahan sebak di dada.Sampan yang didayung semakin jauh dari kapal musuh.Beberapa orang pengawal cuba menembak di dalam kegelapan itu tetapi peluru mereka lesap entah ke mana.Perkasa mengalirkan air mata mengenangkan pengorbanan sahabatnya yang kini menjadi abang iparnya. Di pantai,para pendekar dan hulubalang bersedia menanti kemaraan pihak musuh.Beratus-ratus buah perahu yang membawa askar-askar upahan Belanda mula merapati gigi air. Panglima Dermang memberi perintah,maka berterbangan anak panah meluncur ke hadapan mencari mangsa.Kerana keadaan masih gelap,hanya beberapa musuh sahaja berjaya dipanah manakala yang lain-lain terus mara ke pantai. Pak Guru Jalil pula memberi perintah supaya menggunakan lembing.Pasukan berlembing pula mengambil giliran menyerang musuh.Lembing direjam dan dilontar bertubi-tubi.Namun,serangan itu juga gagal menahan kemaraan musuh yang semakin hebat.Kerana musuh terlalu hampir,panah dan lembing tidak dapat digunakan lagi. “Serang!”perintah Tok Penghulu pula. Dia terus menyerbu ke barisan musuh bersama anak-anak muridnya,diikuti oleh Panglima Paringgit yang memimpin orang-orang Acheh,Panglima Dermang,Pak Guru Jalil serta semua pendekar dan hulubalang yang ada di situ.Bertembunglah dua gerombolan besar yang berlainan matlamat pada subuh yang hening itu.Jerit-pekik,bunyi gemercing senjata berlaga dan bunyi mengaduh kedengaran di sana sini dari kedua-dua belah pihak. Perkasa,Kundang dan rakan-rakan lain tiba dengan sampan tidak lama kemudian.Mereka berlima yang masih bersedih di atas kehilangan Bujang terus menerkam ke medan perang tanpa berlengah lagi.Kematian Bujang akan mereka bela.Hutang darah dibayar darah. “Allahuakbar!”jerit Kundang,mencontohi perbuatan Bujang sambil menghayun parang ladingnya ke badan seorang musuh.Jeritannya itu disambut oleh pendekar dan hulubalang lain yang sedang berperang. Kerana menyangka Bujang ada bersama,mereka bagaikan mendapat semangat baru. Maka bergemalah laungan itu dari segenap penjuru pantai. Kundang mengalirkan air mata mendengar laungan suci itu.Panglima Agung sudah mati tetapi semangatnya tetap hidup subur di kalangan pendekar dan hulubalang,menjadi lambang perjuangan bangsa Melayu menentang penjajah. Di kala matahari menjenguk dari sebelah ufuk Timur,pertempuran masih berlarutan dan tidak menampakkan tanda-tanda akan berhenti.Bilangan kedua-dua belah pihak masih ramai meskipun mayat bergelimpangan dan bertindih-tindihan di merata tempat.Mana-mana yang luka-parah mengerang kesakitan menunggu ajal,ditinggalkan begitu sahaja dan tidak lagi dipedulikan langsung.Kalau sebelum ini barisan pertahanan bersatu padu di bawah pimpinan Bujang,keadaan sekarang sudah menampakkan keretakan.Telah wujud beberapa kelompok. Tok Penghulu dan anak muridnya dalam satu kelompok,Panglima Paringgit dengan orang-orang Acheh dalam kelompok lain pula. Kundang dan rakan-rakannya yang ikut berpindah dari istana Kota Naga bersama Bujang berada dalam kelompok yang tersendiri pula,lebih-lebih lagi bila berita kematian Bujang merebak dari mulut ke mulut.Perkasa sendiri menyertai kelompok Kundang semata-mata ingin membalas dendam. Lain-lain pendekar dan hulubalang memilih Panglima Dermang dan Pak Guru Jalil sebagai pemimpin mereka.Keretakan itu rupanya dapat dikesan oleh Kapitan Belanda yang meneropong dari atas kapalnya.Dia segera memberi perintah supaya lebih ramai askar-askar upahan atau soldadu dihantar ke darat untuk mengasak barisan pertahanan. Turut menyedari keretakan itu ialah Raja Muda yang memerhati dari atas sebuah bukit kecil.Keretakan bererti kelemahan.Kelemahan akan membawa kepada kekalahan. Dia segera turun menemui semua penduduk kampung yang berlindung di dalam hutan dan dusun supaya mengikut rombongan di raja berundur dari situ.Tidak lama kemudian,mereka pun berundur meninggalkan perkampungan itu menuju jauh ke dalam hutan belantara.Mereka membawa barang-barang ringkas yang diperlukan sahaja.Ada juga yang berundur sehelai sepinggang.Baginda Sultan yang menaiki gajah,dinaungi payung kuning serta diiringi kira-kira seratus pengawal mengetuai pengunduran itu.Baginda diapit oleh Raja Muda dan Tunku Pangeran.Turut berundur ialah ketiga-tiga isteri Bujang yang belum mengetahui nasib suami mereka.Kuntum berundur bersama emaknya sambil menggalas bungkusan.Teratai juga mengikut emaknya manakala Tunku Balqis lebih bernasib baik kerana menaiki gajah bersama bondanya Tunku Permaisuri Wan Fatimah Pengunduran itu tidak disedari langsung oleh mereka yang masih berperang di pantai. Mereka berperang bermati-matian demi keselamatan anak-isteri dan kaum-keluarga yang mereka percaya masih berlindung di pinggir hutan. “Dermang,”Pak Guru Jalil mengelak dan menetak seorang musuh.”Kau nampak Bujang?” “Tidak,”balas Panglima Dermang sambil memancung leher seorang musuh.”Aduh!” “Dermang!”Pak Guru Jalil ternampak Panglima Dermang terhoyong-hayang ditikam musuh dari belakang.Dia segera menyerbu menetak kelapa musuh itu,kemudian cepat-cepat memeluk Panglima Dermang supaya rakannya itu tidak jatuh.”Cepat,bawa Datuk Panglima pergi!”perintahnya pada beberapa pendekar berhampiran. Ketika Panglima Dermang dipapah pergi,Pak Guru berundur sambil menangkis serangan musuh yang datang tanpa henti-henti.”Berundur semua! BERUNDUR!!”jeritnya kuat-kuat. Jeritan itu didengar oleh Tok Penghulu,Panglima Paringgit dan Kundang. Lalu mereka mula berundur bersama kelompok masing-masing.Sambil berundur,mereka menepis,mengelak dan menangkis setiap serangan.Jika ada peluang,mereka membalas serangan.Tindakan mereka tepat pada waktunya kerana semakin ramai musuh membanjiri kawasan pantai itu.Kapitan Belanda turut menaiki sebuah perahu membawa bendera kompeninya untuk dipacak di darat. Perkasa yang ternampak ayahnya dengan segera menyertai rakan-rakan seperguruannya yang sedang berundur sambil membalas serangan. “Kau selamat,Perkasa?”tanya Tok Penghulu dari ekor mata. “Ya,ayah,”balas Perkasa sambil menepis tikam musuh.”Bujang yang selamatkan.” “Aduh!”Tok Penghulu tiba-tiba menjerit,dadanya ditembusi lembing musuh. “Ayah,”Perkasa cuba membantu ayahnya tetapi gagal. “Undur…aduh!”sebilah pedang pula menembusi dada Tok Penghulu. “Ayah?”Perkasa tidak dapat merapati ayahnya kerana diserang bertubi-tubi.Semasa bertarung itu,dia lihat ayahnya jatuh tersembam di atas pasir.Seorang askar Siam mengangkat pedangnya tinggi lalu menghayun ke tengkuk ayahnya.Tengkuk ayahnya putus, kepalanya tergolek seperti buah kelapa.”Ayah….!” Melihat Tok Penghulu gugur,anak muridnya yang masih tinggal segera berpaling dan lari bertempiaran.Mereka tidak percaya guru mereka yang kebal dan memiliki ilmu jurus boleh mati dibunuh musuh.Mereka lari dengan tidak menoleh ke belakang lagi.Ditinggalkan sebatang karah,Perkasa juga terpaksa lari menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa pedang musuh.Dia terpaksa lari biarpun hatinya geram di atas kematian Bujang dan ayahnya. Sambil berlari,dia menangis tersedu-sedu. Akhirnya barisan pertahanan Kuala Kedah hancur-musnah.Mana-mana yang masih hidup lari bercempera menyelamatkan diri dan nyawa.Mana-mana yang tidak sempat lari menjadi mangsa,disembelih dan dipancung tanpa belas kasihan.Seluruh kawasan pantai itu penuh dengan askar-askar upahan Belanda.Kapitan Belanda naiki ke darat membawa benderanya. Dengan megah dipacaknya bendera itu di atas tanah tanda kemenangannya. Dia berdiri angkuh bercekak pinggang. “Branden de huizen!Branden het dorp!! BURN ALLES!!!”perintahnya lantang kepada askar-askar upahannya.(Burn the houses!Burn the village!Burn all!) Tidak lama kemudian,rumah-rumah di perkampungan itu dibakar hangus. Turut dibakar ialah sawah padi yang sudah masak tetapi tidak sempat dituai.Mereka-mereka yang berjaya berundur ke tempat yang lebih selamat melihat dengan sayu api yang marak menjilat apa sahaja serta asap hitam yang naik berkepul-kepul di udara.Ada yang menitiskan air mata mengenangkan penat-lelah dan titik-peluh mereka selama ini hangus begitu sahaja di depan mata.Ayam-itik,kerbau-lembu,harta-benda,malah pusara kaum-keluarga atau sanak-saudara terpaksa ditinggalkan begitu sahaja.Kampung Kuala Kedah hanya tinggal kenangan bagi mereka.Kenangan yang tidak mungkin dilupakan.

Tengku Alang Iskandar StoryWhere stories live. Discover now