Bab 60

302 13 7
                                    

Anak buahnya yang melihat perubahan air mukanya itu tertanya-tanya. “Lela Wangsa,Andika,kawan-kawan semua,”Bujang mendang ke darat di mana kelihatan istana Sultan Hawengku Buano.” Ada pekerjaan penting yang perlu hamba lakukan besok.” Pada pagi Jumaat 11 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 3 November 1652 Masehi, Bujang berjalan kaki seorang diri masuk ke pekan berhampiran istana Sultan Hawengku Buano. Dia berpakaian lengkap seorang pendekar tetapi hanya memakai Keris Sempana Riau. Dua bilah kerambitnya disembunyikan di celah bengkung kulit kijang putih yang dibalut kain merah. Baju layang yang telah dijahit dengan baju antakusuma di sebelah dalamnya oleh Ratna berbuai-buai ditiup angin dari laut. Walaupun dia sudah bersarapan di lancang,dia singgah juga di sebuah warong yang bertentangan dengan pintu gerbang istana. “Gado-gado dan air kopi,”katanya pada pelayan perempuan yang menghampiri mejanya. Mendengar gaya percakapan yang asing bagi orang Jawa,pelayan itu sudah tahu siapa Bujang sebenarnya.Begitu juga dengan pelanggan-pelanggan lain. Pucat-lesi wajah pelayan itu. Para pelanggan pula tidak berani bercakap kuat-kuat,sebaliknya hanya berbisik sesama mereka. Bila juadah yang dipesan tiba,Bujang pun makan dengan tenang.Dia tidak mempedulikan desas-desus yang berbunyi di sekitarnya.Hari itu,dia sudah nekad. Dia akan menyerbu ke dalam istana Sultan Hawengku Buano dan menyelamatkan Kartini.Barang siapa yang cuba menghalang,buruk padahnya.Namun,hajatnya hendak masuk ke istana itu tidak kesampaian.Baru beberapa suap,tiba-tiba suasana di dalam warong itu menjadi senyap.Para pelanggan bangun dan bergegas keluar satu demi satu.Dia berpaling ke arah pintu masuk warong itu. Sultan Hawengku Buano tercegat berpeluk tubuh diapit oleh dua orang panglimanya yang bengis.Berlainan dengan keadaan sebelumnya,pagi itu dia berpakaian rasmi seorang raja, siap dengan mahkota dan pending emas.Sarung dan hulu kerisnya juga diperbuat daripada emas. Matanya dengan alis yang tebal dipicing ketika bertentang mata dengan Bujang,seolah-olah ingin menunjukkan kegarangan dan kejantanannya. “Berapa bayarannya?”tanya Bujang pada pelayan perempuan. “Dua guilder,”jawab perempuan itu. “Berapa?”tanya Bujang lagi. “Errr..percuma…nggak payah bayar,”perempuan itu tersalah sangka dan menyangka Bujang marah. Bujang meletakkan dua keping wang perak Belanda di atas meja itu. “Berani sampian injak kawasan kraton selepas diberi amaran,”Sultan Hawengku Buano menghampiri meja Bujang.”Apa sampian sengaja mencari gara-gara?Atau sampian tidak sayangkan nyawa?” Bujang bangun berhadapan dengan Sultan Hawengku Buano.”Kedatangan hamba hanya dengan satu tujuan.Bebaskan Paman hamba Panglima Kahar dan isteri hamba Kartini.” “Sampian bilang satu tujuan,sekarang sudah jadi dua,”Sultan Hawengku memandang tepat ke wajah Bujang.”Kulo bisa bereskan permintaan pertama. Permintaan kedua,kulo pohon ampun. Raden Adjeng Kartini akan kulo nikahi semula.” “Itu barang yang mustahil,”tegas Bujang.”Kartini masih lagi menjadi isteri hamba yang sah di seri adat dan syarak.” “Ceraikan dia!”jerit Sultan Hawengku Buano.”Sampian akan diberi upah paling lumayan!” “Dengan segala hormat,hamba menolaknya,”tegas Bujang lagi. “Kalau begitu,selepas solat kita ketemu dalam sayembara maut,kita jumpa di padang kraton,” Sultan Hawengku Buano mencebik mulutnya.”Hari ini penghulu segala hari,hari yang bertuah untuk mati!” “Kalau orang sudi menjual,hamba sudi membelinya,”Bujang menyahut cabaran itu. “Jangan lupa bawa kain kafan,”sindir Sultan Hawengku Buano. Dia berpaling dan terus meninggalkan warong itu,diiringi oleh dua panglimanya.Bujang duduk semula menunggu kemunculan bapa saudaranya dari tawanan. Pelanggan yang lari kembali semula menyambung sarapan pagi yang terganggu.Tetapi,mereka masih tidak berani bercakap-cakap. Sultan Hawengku Buano rupanya berpegang pada janji. Tidak lama kemudian,Panglima Kahar keluar dari kraton dalam keadaan selamat tanpa sebarang cacat-cela. Bujang bangun menyambut kedatangan bapa saudaranya dengan gembira lalu mengajaknya balik ke lancang. “Sayembara?”mereka semua bertanya serentak. “Begitulah kehendaknya,”Bujang menyatakan kepada anak buahnya yang duduk-duduk berihat di atas lancang.”Hari ini,selepas sembahyang Jumaat.” Anak buahnya diam,masing-masing tenggelam dalam fikiran sendiri.Kerana matahari memancar terik ,mereka berlindung di bawah lelangit,layar,tiang dan apa sahaja asalkan cahaya matahari tidak membakar kulit mereka. “Sultan Hawengku Buano tinggi ilmu persilatannya,”Panglima Kahar memberitahu dengan lantang agar semua dapat mendengarnya.”Kata orang,dia berguru dengan Nyai Roro Kidul. Kalau tidak,masakan Paman berjaya ditawannya dengan mudah.” “Nyai Roro Kidul? Ratu Laut Selatan yang terkenal dengan ilmu sakti itu.?”Andika geleng kepala dan mula menampakkan keraguan.”Kalau hamba,tak sanggup.” “Mambang laut,”Lela Wangsa mencemuh.”Kami orang Acheh tidak takut dengan jin. Kami lawan dengan ayat-ayat suci Al-Qur’an.” “Jin juga boleh membaca ayat-ayat suci Al-Qur’an,”tempelak Panglima Kahar. “Hamba dengar,jin laut ini kuat-kuat belaka,”seorang pendekar mencelah.”Sebangsa dengan Jin Afrit.Terkena anginnya sahaja,kita boleh lumpuh seluruh badan.Inikan pula kalau terkena rempuhannya.Memang tidak ada harapan langsung.Qallu inna.” “Benar katamu,Hassan,”Bujang menyokong.”Bangsa jin jangan dibuat main.Alang-alang bertempur,kecundang kita dibuatnya.” “Jadi,Panglima akan menarik diri dari sayembara ini?”tanya Lela Wangsa. Belum sempat Bujang menjawab,Andika menyampuk,”Kalau hambalah,buat apa dilayan cabaran sultan gila itu?Apa ada pada Daeng Kartini?Kalau dia hendakkan sangat,lepaskan saja,habis cerita.” “Tidak semudah itu,Andika,”bantah Bujang.”Kartini isteri hamba itu sedang berbadan dua.” Mendengar penjelasan Bujang,mereka semua menggelengkan kepala. Buntu. Bujang juga terdiam.Dia tidak gentar berhadapan dengan Sultan Hawengku Buano. Sementelah pula,Nyai Roro Kidul itu sudah menjadi tunangnya.Masakan Nyai Roro Kidul akan menganiayai bakal suaminya sendiri?Lagipun,dia tahu Puteri Mayang Sari tidak akan berdiam diri.Dia jua dibekalkan dengan Keris Sempana Riau,baju antakusuma dan sabuk kulit kijang putih. Bukan dia percaya kepada benda-benda yang karut-marut itu tetapi setiap ciptaan Allah ada kelebihan masing-masing,terutama sekali anugerah dari para wali. Persoalannya sekarang bagaimana hendak menyelamatkan Kartini tanpa melukakan hati sesiapa,lebih-lebih lagi hati Sultan Hawengku Buano?Anak dalam kandungan tidak harus dijadikan mangsa. “Paman setuju dengan pendapat Andika,”Panglima Kahar pula menyampuk.”Sebuah rumah memerlukan tiang yang kukuh. Kalau salah satu tiangnya dimakan bubuk,eloklah dibuang atau diganti sahaja dengan tiang lain.Jika tidak,lambat-laun rumah pasti rubuh menyembah bumi.” “Halus betul kiasan Paman,”tegur Bujang.”Kalau dipandang berlaba,kalau dihitung termakan.” Giliran Panglima Kahar pula mengerut dahi kerana tidak dapat menangkap maksud sebenar kata-kata anak saudaranya itu. Yang lain-lain menggaru-garu kepala yang tidak gatal. “Beginilah,”Bujang membuat keputusan muktamad.”Hamba akan turun ke darat menunaikan solat sunat dhuha sebelum sembahyang Jumaat.Mudah-mudahan dengan berkat amalan itu,Allah Taala tunjukkan jalan penyelesaian yang terbaik.” “Boleh kami ikut Panglima?”Lela Wangsa mengajukan soalan bagi pihak semua. “Terpulanglah,”Bujang memberi keizinan.”Tetapi,jangan berkumpul setempat.Berpecahlah dalam beberapa kumpulan kecil.Lancang ini juga mesti dikawal rapi.” “Baiklah,hamba akan bahagikan tugas masing-masing,”Lela Wangsa berjanji. “Cuma satu pesan hamba,”Bujang memberi amanat,mereka semua memasang telinga dengan teliti.”Kita ibarat telur sesangkar,pecah sebiji pecah semua.” Selesai sahaja sembahyang Jumaat,manusia berpusu-pusu keluar dari masjid kerana hendak menyaksikan sayembara di padang.Bujang masih terpaku di tempat duduknya.Sebelum itu,dia sudah pun melakukan sembahyang sunat dhuha 12 rakaat memohon bantuan dan restu Allah Taala dalam perjuangannya mencegah kemungkaran.Menjelang masuknya waktu zohor,dia hanyut dalam zikrullah,bertasbih,bertahmid dan beristghfar.Sekarang,dia merasa benar-benar yakin. Ilmu persilatan dan persulukan yang diamalkan selama ini dirasakan sudah cukup mantap. Dia bersedia menghadapi apa sahaja,hatta berhadapan dengan maut. Masjid sudah kosong sepenuhnya ketika Bujang bangun mengemaskan pakaian pendekarnya dan membetulkan kedudukan Keris Sempana Riau.Dua bilah kerambitnya terselit rapi di celah bengkung merah. Dia tidak memerlukan Keris Panjang Diraja,maka keris itu ditinggalkan dalam kurungnya di atas lancang.Semua petua hulubalang sudah dilakukan.Semua lubang-lubang pancainderanya sudah dikunci suapat tidak dimasuki unsur-unsur jahat.Dengan lafaz bismillah serta sepotong ayat Nabi Sulaiman,dia pun melangkah meninggalkan mesjid itu. Padang di mana akan berlangsungnya sayembara itu sudah penuh sesak dengan lautan manusia. Masing-masing menunggu dengan sabar biar pun matahari memancar terik di atas kepala.Di tengah padang dipasang dengan tali serta dibiarkan kosong sebagai gelanggang pertarungan. Berbagai jenis senjata tajam diletakkan di atas pangkin di tepi gelanggang.Di tengah gelanggang tercegat Sultan Hawengku Buano berpakaian seperti panglima besar perajurit Jawa. Dia berpeluh tubuh,wajahnya garang,badan basah bermandikan keringat.Ketika Bujang mara menghampiri padang itu,orang ramai mengelak memberi jalan.Tiada yang bersuara.Masing-masing senyap sepi, hanya perhatian mereka tertumpu pada Bujang. Bujang melangkah masuk ke gelanggang dengan tenang.Dia tidak nampak sesiapa lagi.Tumpuannya hanya pada Sultan Hawengku Buano. Tiba di hadapan Sultan Hawengku Buano,Bujang membuat penghormatan pendekar,kemudian menghulur tangan kanan untuk bersalam.Sultan Hawengku Buano terkejut dengan tindakan yang tidak disangka-sangka itu.Itu maknanya mereka bersahabat,bukan bermusuh. Serba-salah juga dibuatnya. Akhirnya salam itu disambut. “Sampian memangnya pemberani,”puji Sultan Haweng Buano.”Tapi,kulo kira belum terlambat bagi sampian menarik diri. Apa harganya maruah jika dibayar dengan kematian.” “Kerbau dipegang pada tali,manusia dipegang pada janji,”Bujang berfalsafah. “Ya,meludah tidak bisa menjilat kembali,”tegas Sultan Hawengku Buano.”Kita mulakan sayembara sekarang.Raden Adjeng Kartini jadi pertaruhan.Maju!” Bujang tidak maju,sebaliknya berundur setapak.Tiba-tiba Sultan Hawengku Buano melepaskan satu jurusan kebatinan,dari jari-jemarinya keluar api bertali-tali menyambar tubuh-badan Bujang. Diserang secara mendadak tanpa sebarang amaran,Bujang tidak sempat mengelak.Dia hanya sempat menangkis dengan kedua-dua telapak tangannya.Terasa bahang api semakin panas. Belum sempat api itu mencecah kulitnya,tiba-tiba berlaku satu letupan kuat.Bagaikan ditolak sesuatu, dia terpelanting ke belakang.Cepat-cepat dia berguling dan melenting membuat penantian pendekar. Marah kerana pukulannya tidak berhasil,Sultan Hawengku Buano melepaskan bola api tepat ke dada Bujang.Bujang menahan dengan tapak tangannya.Bola api itu berlegar-legar di atas kepala Bujang,menunggu peluang membakar hangus tubuh-badan Bujang. Orang ramai lari bertempiaran menjauhkan diri dari gelanggang.Tiba-tiba bola api itu meluru ke arah belakang Bujang. Bujang melenting ke sisi,bola api yang ditujukan padanya hinggap di perdu pokok lalu membakar pokok tersebut.Orang ramai lari bercempera hingga ke tepi padang. Sultan Hawengku Buano tiba-tiba melompat tinggi lalu mengapung di udara seperti burung. Dia bagaikan melontar sesuatu.Bujang tahu serangan jurus itu dikenali sebagai Semilir Sakti,jika kena jantung pasti hancur umpama disiat-siat dengan pisau.Bujang bertahan,mulutnya kumat-kamit membaca sesuatu,kemudiab mencantas angin.Sultan Hawengku Buano jatuh menjunam bagaikan layang-layang dikerat tali,terus tenggelam ke dalam tanah.Bujang ternampak rumput di padang itu bergerak-gerak ketika lawannya meluncur laju di bawah permukaan tanah menuju ke arahnya. Tanah itu berlorong seperti dibajak. Bujang membuat Garisan Laksamana dengan jari telunjuknya. Tanah berlorong yang menuju ke arahnya tiba-tiba terhenti bila terlanggar garis itu. Bumi bergegar,pepohon bergoyang oleh dahsyatnya perlanggaran tersebut. Sultan Hawengku Buano muncul dari dalam tanah,lantas berdiri di hadapan Bujang,badannya penuh dengan debu dan pasir. Badan Sultan Hawengku Buano berpecah dua,tiga,empat,lima,enam dan akhirnya tujuh. Kembar tujuh itu menyerang Bujang dengan api dari tujuh penjuru.Badan Bujang tiba-tiba dililit oleh gelung-gelung api yang berputar ligat.Api itu menjadi lebih besar,lalu berubah bentuk seperti kawan besar.Orang ramai melihat kawah api itu menangkup Bujang.Bujang tidak kelihatan lagi. Api yang marak itu terus membakar menderu-deru bunyinya seperti angin.Kemudian beransur-ansur padam.Bila api tidak kelihatan lagi,tempat Bujang berdiri tadi telah diganti dengan satu longgokan abu. Sultan Hawengku Buano menyepak abu itu bertaburan sambil menjulang tangan tanda kemenangan.Orang ramai yang memerhati dari jauh turut sama bersorak meraikan kejayaan itu. Lela Wangsa dan rakan-rakannya mara ke gelanggang dengan senjata terhunus.Begitu juga Kartini tetapi dengan tujuan yang berlainan. Kartini diekori oleh Daeng Ratna. “Nah,lihat!”Sultan Hawengku Buano memijak-mijak abu itu.”Panglima Agung sudah hangus terbakar!” “Siapa yang terbakar?”tanya Bujang dari belakang. Sultan Hawengku Buano terperanjat,lantas melenting menghadapi Bujang. Orang ramai menjadi diam,mulut bagaikan terkunci.Ketika itu,tangan kanan Bujang seperti menarik sesuatu.Telapak tangan dipusing dan dipulas lalu dibawa ke bawah tapak kaki.Bujang menghentak tapak kakinya kuat-kuat ke tanah. Dengan serta-merta badan Sultan Hawengku Buano menggeletar seperti orang kerasukan,dari badannya keluar wap nipis yang terus menghilang ditiup angin. “Semua isi batinmu sudah hamba tarik dengan izin Allah,”Bujang menegaskan. “Sialan!Rupanya sampian belum mahu mampus-mampus lagi!”Sultan Hawengku Buano menghunus kerisnya lalu menyerang Bujang bertubi-tubi.Permainan seperti itu memang ditunggu-tunggu oleh Bujang.Bujang mengelak,menepis dan menangkis setiap serangan.Kakinya bagaikan tidak berpijak di bumi,setiap gerak langkah terlalu pantas dilihat mata kasar.Namun,setiap permainan ada kesudahannya.Sultan Hawengku Buano jatuh tersungkur mencium bumi akibat sepakan kencang yang hinggap di belakangnya. Bujang menunggu dengan tenang,kejatuhan itu tidak diambil kesempatan. Sultan Hawengku Buano bingkas bangun seperti jerat membidas.Dia menyerang lagi dengan serangan yang lebih hebat.Tikaman,tetakan dan rimbatan keris begitu pantas,lincah dan tangkas.Namun,betapa pantas Sultan Hawengku Buano menyerang,pantas lagi Bujang bertindak balas.Akhirnya satu tendangan kencang menyebabkan Sultan Hawengku Buano jatuh terlentang. Sekali lagi,Bujang tidak mengambil kesempatan di atas kelemahan itu. “Masa untuk bermain-main sudah berakhir,”Bujang menghunus kerambitnya lalu menunggu serangan selanjutnya.”Tersalah terkam,nyawa melayang.” “Kurang ajar!”Sultan Hawengku Buano bingkas bangun. Dia menerkam hendak menyrang Bujang dengan kerisnya.Bujang tidak memberi peluang lagi.Dia terpaksa membuat perhitungan terakhir.Macam kilat pantasnya kerambit di tangan Bujang menyimbat ke dada Sultan Hawengku Buano.Dua kali berturut-turut. Sultan Hawengku Buano terbongkok,tangan kirinya menekap dada. Bila diangkat,tangan itu berlumuran dengan darah. “Kang Mas!”Kartini meluru masuk ke gelanggang mendapatkan Sultan Hawengku Buano lalu memangkunya supaya tidak rebah. Bujang tersenyum tawar melihat gelagat isterinya. “Jangan bimbang,Tini,”Bujang menyarungkan kerambitnya.”Hanya kulitnya sahaja yang luka.” Barisan perajurit Jawa bersiap-sedia hendak menuntut bela di atas kekalahan raja mereka. Daeng Ratna,Andika,Panglima Kahar,Lela Wangsa serta rakan-rakan lain segera datang berkerumun mengelilingi Bujang,Kartini dan Sultan Hawengku Buano sebagai perisai,senjata terhunus di tangan masing-masing. “Berhenti!”Sultan Hawengku Buano menahan angkatannya.”Panglima Agung,sampian jagoan. Sampian adalah guru segala guru.Kulo mengaku kalah.” “Kita sama-sama ayam sabung,kalah atau menang menang adat,”balas Bujang. “Kulo sebagai raja yang berpegang pada janji!”Sultan Hawengku Buano memekik memberitahu semua.”Kulo serahkan kembali Raden Adjeng Kartini kepada Gusti Panglima Agung!” “Abang,”Kartini segera memeluk Bujang tanpa segan silu lagi. Bujang ternampak perubahan air muka Sultan Hawengku Buano. Tergambar kekeciwaan yang amat sangat pada wajah raja Jawa itu,kekeciwaan yang tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata. “Mari,Bujang.”Panglima Kahar mengajak anak saudaranya.”Kau sudah berjaya merampas kembali isterimu.Marilah kita pergi dari sini.” “Tidak,Paman,”Bujang menolak Kartini dari pelukannya.”Bujang tidak mahu lagi menyimpan duri dalam daging.” “Abang?”Kartini tidak faham.”Kenapa ni,abang?” “Kartini,”Bujang menatap wajah isterinya lama-lama.”Mulai saat ini,jatuhlah satu talak antara kita berdua.” “Abang!”Kartini merintih.”Sampai hati abang…!Bagaimana dengan anak kita?” Bujang berpaling dari Kartini lalu memegang tangan Sultan Hawengku Buano.”Habis edah nanti,ambillah kembali Raden Adjeng Kartini sebagai permaisuri Gusti. Jaga anak dalam kandungan itu baik-baik.Jangan diulang lagi kesilapan yang lalu.” “Gusti Panglima,tunggu,”Sultan Hawengku Buano menahan bila Bujang berpaling hendak pergi dari situ.”Sebagai imbuhan,terimalah tujuh peti wang emas dari kulo.” “Tidak,Gusti,”Bujang cuba menolak.”Bukan itu tujuan hamba.” “Tapi,ini niat ikhlas dari kulo,”Sultan Hawengku Buano berkeras.”Kulo sudah bernazar. Sebagai orang Islam,kulo wajib tunaikan nazar.” “Terpulanglah pada Gusti,”Bujang beralih pula pada Kartini.”Raden Adjeng Kartini,maafkanlah segala kesalahan hamba,halalkan segala makan-minum selama ini.Percayalah,semua ini untuk kebaikan semua.” Kartini hanya mengangguk dan menitiskan air mata. “Jagalah baik-baik anak kita itu….assalamualaikum,”Bujang berpaling lalu pergi dari situ. “Waalaikumussalam,”jawab Sultan Hawengku Buano penuh terharu sambil memeluk bekas isterinya yang bakal dinikahinya semula.”itulah kesatria sejati. Satu dalam sejuta.” Kemudian dia memerintah panglimanya,”Pergi buka gedung perbendaharaan,bawa tujuh peti wang emas ke kapal Gusti Panglima Agung.Sekarang juga.Pergi!” Bujang tidak terus balik ke lancang. Sebaliknya,dia termenung di pinggir pantai memerhati Laut Selatan yang kebiru-biruan.

Tengku Alang Iskandar StoryWhere stories live. Discover now