Nakhoda Mamat tersenyum memandang lembayung senja yang mula melebarkan sayapnya di ufuk barat. Pagi-pagi lagi pada hari Jumaat 27 Zulhijah 1062 Hijrah bersamaan 20 Oktober 1652 Masehi,ketika kebanyakan anak kapal masih nyenyak tidur,Bujang sudah berada di daratan. Dia dihantar oleh Awang Sulong dengan menggunakan perahu.Pakaiannya pada pagi itu bukan lagi seperti seorang pendekar.Dia hanya berpakaian seperti biasa,hanya keris pendek tersisip di pinggang sebagai lambang seorang lelaki.Sambil menggalas kampit kulitnya,sekali pandang dia kelihatan tidak ubah seperti seorang musafir yang sedang berkelana dari satu tempat ke satu tempat lain.Ini jelas terbayang dari tindak-balas yang diterima.Ketika menyusuri pantai menghala ke Muara Jambi,beberapa orang nelayan yang hendak ke laut sekadar mengangkat tangan menegurnya tanpa mengucapkan sepatah kata.Dia menjadi bertambah berani dan yakin tidak akan ditahan oleh pendekar serta hulubalang Jambi yang sedang berjaga-jaga di kawasan itu. Di saat matahari muncul dengan cahaya merahnya dari permukaan laut,Bujang sudah jauh meninggalkan kapal Helang Laut dan semakin hampir dengan Muara Jambi.Dia pun merentas ke kawasan perkampungan,menyusuri lorong dan denai yang dinaungi pepohon rendang. Embun pagi masih berjuntaian di hujung dedaun bila dia tersua kawasan penempatan sebahagian dari angkatan perang Jambi yang sedang menghadapi sarapan pagi.Pendekar dan hulubalang yang lengkap bersenjata kelihatan mundar-mandir. "Apa ini?"tanya Bujang apabila seorang pendekar menghulurnya sebungkus makanan. "Pulut lemak,"jawab pendekar itu selamba."Di sana ada bubur nasi dengan kopi panas. Lepas makan,cepat tukar pakaian,jangan sampai dilihat Panglima Kahar atau Demang Rawa." "Baiklah,terima kasih,"Bujang duduk di tepi perdu kelapa menikmati rezeki yang tidak disangka-sangka.Selepas pulut lemak itu bersarang di dalam perutnya,dia beratur pula untuk mengambil air minuman yang masih panas. "Dimas baru datang dari kampung,ya?"tanya seorang pendekar lain pula ketika Bujang meneguk air kopinya.Bujang hanya mengangguk seperti orang bodoh. "Pergi jumpa Pendekar Barong,tukar pakaian dimas,"pinta pendekar tidak dikenali itu. "Baiklah,"Bujang mengikut sahaja seperti yang disuruh setelah menghabiskan minumannya. Pendekar Barong tidak bercakap banyak,hanya menghulurkan persalinan pakaian perang kepada Bujang serta sebilah golok.Golok itu dipasang tali supaya senang diikat ke pinggang. Sarung dan hulunya daripada kayu jati,diukir indah serta disapu dengan damar supaya tahan lama dan nampak cantik.Hulunya kukuh,tahan lasak,dibuat khas untuk berperang.Dihunusnya golok itu,diteliti matanya yang tajam berkilat tidak mudah tumpul atau sumbing.Pandai besi yang menempanya memang benar-benar mahir.Golok itu disarungkan kembali,diikat pada pinggangnya. "Nanti dulu,"Pendekar Barong menahan bila Bujang hendak pergi."Awak dari kumpulan mana?Kumpulan Panglima Kahar?" "Ya,"ujar Bujang tanpa berfikir panjang. "Kalau jumpa Panglima Kahar,beritahu dia yang angkatan perang Johor sudah berlabuh tidak jauh dari sini.Suruh dia hantar beberapa orang pendekar membantu kami." "Baik,Tuan Pendekar,"balas Bujang bersahaja. Pertelagahan antara Johor dengan Jambi bukan lagi urusannya.Dia tidak akan campur-tangan dalam peperangan yang boleh menumpahkan darah saudara seagama dan sebangsa dengannya. Kejadian di Rokan dulu telah memberikan pengajaran yang pahit untuk ditelan.Di Jambi,pisang tidak akan berbuah dua kali.Walau bagaimana pun,persalinan perang dan golok yang baru diterimanya itu tidak dibuang.Banyak kegunaannya kelak.Orang memberi,dia merasa. Dengan keputusan itu,dia pun meninggalkan perkumpulan pendekar dan hulubalang Jambi yang berduyun-duyun itu. Dia menghala semakin jauh ke dalam kawasan perkampungan,jauh dari kesibukan dan hingar-bingar itu.Orang-orang kampung meneruskan pekerjaan harian mereka seperti biasa seolah-olah tidak ada peperangan.Kaum lelaki mengerjakan sawah padi atau bercucuk-tanam di kebun,dibantu oleh anak-isteri masing-masing.Ada yang memberi makan ayam-itik atau membasuh pakaian di pinggiran anak sungai.Kanak-kanak berlari-larian tanpa mengenal erti penat.Suasana perkampungan itu mengingatkan Bujang pada kampungnya di Kedah. Lantas dia teringat pada Teratai,pada Fatimah dan pada Balqis.Terkenang pada segala rentetan peristiwa demi peristiwa sehingga membawanya ke Tanah Andalas ini. Bujang berihat berhampiran sebatang anak sungai yang berpunca dari air terjun kecil. Tersandar ke sebatang pokok,perutnya yang kenyang menyebabkan matanya terasa mengantuk. Tambahan pula,dia telah bercekang mata dari larut malam hingga ke awal subuh kerana mem-buat amalan-amalan sunat malam Jumaat di dalam kurungnya.Termasuk juga buku catatan yang ditulisnya setiap hari untuk memahirkan lagi tulisan Rumi di samping tulisan Jawi yang sudah lama diketahuinya.Terhibur oleh pemandangan yang menghijau,dengan bunyi siulan burung serta bunyi air sungai mengalir di celah batu menjadi halwa telinga,hatinya terasa aman dan tenang.Namun,rindunya pada Chendana semakin mengusik perasaan,mengetuk pintu hati-nya yang duka lara.Wajah Chendana muncul di ruang matanya,wajah manis jelita dengan sebutir tahi lalat di sudut bibirnya,sepasang lesung pipit yang menambah keayuan bila bibir menguntum senyum.Chendana...Chendana...!Dia pun terlelap...! Bujang terasa dia hanya terlelap seketika sahaja.Namun,apabila dia tersedar,matahari sudah tegak di atas kepala dan seluruh badannya terkena bahang cahaya matahari.Bayang-bayang pokok yang menaunginya tadi sudah beredar jauh. Belum sempat dia menggeliat,dengan tidak semena-mena terasa bulu tengkuknya meremang berdiri.Dia terasa seperti diperhatikan seseorang .Sambil meraba tali kampitnya,dia bingkas bangun seperti jerat membidas.Di saat itu juga sebilah tombak melayang sipi nyaris-nyaris mengenai badannya lalu tertancap pada batang pokok tempat dia bersandar tadi.Hampir separuh mata tombak itu terbenam,batang tombak bergetar.Tidak dapat dibayangkan kalau tombak itu hinggap di perutnya. Menyedari nyawanya masih terancam,Bujang melepaskan tali kampitnya dan melentingkan badannya ke kiri seperti harimau yang terlatah apabila diganggu,lantas membuat penantian pendekar.Tindakannya itu tepat pada masanya.Dua bilah tombak lagi meluncur entah dari mana lalu berdesip ke dalam semak.Dia melenting pula ke hadapan,sempat dilihatnya tiga orang pendekar menyerbu sambil menghunus golok.Dia membuka langkah silat,bersedia untuk meng-hadapi sebarang kemungkinan. "Tunggu!"jerit suara lantang dari arah belakang. Tiga pendekar itu tergamam mendengar suara itu.Mereka berhenti hampir serentak,golok masing-masing diturunkan.Bujang segera berpaling kalau-kalau timbul muslihat lain. Apa yang dilihatnya melenyapkan segala kesangsiannya.Hulubalang yang baru muncul dari arah air terjun itu ternyata bukan calang-calang orang.Rencongnya masih tersisip di pinggang tetapi lagak dan gerak-langkahnya tidak boleh dipermudahkan.Orangnya sudah berusia hampir separuh abad,namun matanya masih bersinar dengan semangat muda.Dia memerhati Bujang ke atas dan ke bawah.Anak muda itu memang berisi,bisik hatinya,ilmu penuh di dada.Orangnya tidak tinggi dan tidak rendah tetapi berbadan tegap,otot lengannya berulas,misai yang tebal tetapi rapi menyerlahkan lagi sinar kejantanan.Paling disenangi rakan-rakan tetapi amat digeruni musuh-musuhnya.Nampaknya dia berpuas hati dengan apa yang dilihatnya,lalu dia memaling ke arah ketiga-tiga pendekar yang menikus di hadapannya itu. "Balik ke kubu,"perintahnya tenang."Anak harimau jangan diganggu." Bujang tidak terkejut melihat pendekar bertiga itu menyarungkan golok masing-masing dan bergegas pergi.Dia terkejut kerana dirinya yang baru pertama kali dipertemukan dengan hulubalang itu diumpamakan seperti seekor harimau.Seolah-olah hulubalang itu sudah mengenali dirinya walaupun dia hanya berpakaian biasa. "Dari mana hendak ke mana?"tanya hulubalang itu tenang. "Dari Melaka hendak ke Betawi,"Bujang berterus terang."Mencari isteri hamba yang hilang." "Macam isteri boleh hilang?"Hulubalang itu tertawa kecil."Cuai betul kamu menjaga isterimu,anak muda." "Isteri hamba dicolek orang,"Bujang tidak tersinggung dengan sindiran itu."Hendak dijual, dijadikan hamba abdi." "Maafkan hamba kerana tersalah sangka,"Hulubalang itu menghulurkan tangannya yang sudah berurat dan berkematu."Oh ya,nama hamba Panglima Kahar." "Hamba Bujang,"Bujang menjabat tangan yang dihulur itu.Genggaman Panglima Kahar terasa kemas,matanya memandang tepat ke wajah Bujang,menilik sesuatu. "Dari Acheh?"tanya Bujang,mengerling pada rencong di pinggang Panglima Kahar. "Memang berasal dari Acheh,"Panglima Kahar melepaskan genggamannya."Setiap orang Acheh amat bangga dengan rencongnya.Cantik keris itu." "Pusaka dari arwah ibu hamba,"jelas Bujang sambil nenepuk keris pendeknya. "Orang Acheh?"Panglima Kahar cuba mencungkil rahsia. "Kedah,"ujar Bujang sepatah,cuba menelah niat Panglima Kahar bertanya itu. "Orang tua berdua?"tanya Panglima Kahar,merisik. "Bapa dari Bentan,"ujar Bujang tenang."Ibu hamba orang Acheh." "Memang tidak silap hamba lagi,"Panglima Kahar menepuk bahu Bujang."Bujang berdarah Acheh.Rupa-paras pun ada iras-iras orang Acheh.Buat apa di Muara Jambi?" "Kapal yang hamba tumpangi terkandas di pinggir pantai,"Bujang mencapai kampit kulitnya lalu digalasnya."Tiang layar patah dibedil peluru." "Peluru petunang dari Jambi,"balas Panglima Kahar dengan bangga."Kalau angkatan perang Johor cuba membuat onar,akan bertemu buku dengan ruas.Rokan boleh diperbudakkan,Jambi jangan sekali-kali dicoba." "Hamba kemari bukan mencari musuh,"Bujang menggalas kampitnya."Sekadar menumpang lalu mencari jalan singkat ke Tanah Jawa." Panglima Kahar tertawa."Satu-satunya jalan singkat ialah melalui jalan laut.Jalan darat terpaksa menempuh bukit-bukau dan hutan-rimba serta binatang buas lagi ganas." "Tetapi tidak seganas manusia,"sindir Bujang."Dua bangsa serumpun dan seagama berbunuh-bunuhan,Belanda juga yang beruntung." Panglima Kahar terdiam mendengar kata-kata Bujang yang pedas itu.Dia mencabut tombak yang terpacak pada batang pokok itu. "Pangeran Ratu sedang bersiram di air terjun,"tutur Panglima Kahar bersahaja."Tahukah Bujang kawasan ini kawasan larangan?" "Hamba tidak tahu,"Bujang berkata dengan jujur. "Sesiapa yang menceroboh Taman Larangan Pangeran Ratu,"Panglima Kahar melontar tombak itu,tepat menembusi sepohon pisang hutan."Itulah balasannya." "Walaupun bukan disengajakan?"tanya Bujang,sikit pun tidak merasa gentar. Panglima Kahar tersenyum."Kalau tidak sengaja,boleh dimaafkan,"katanya."Hamba pengawal peribadi Pangeran Ratu,keputusan menghukum di tangan hamba,hidup atau mati itulah penyudahnya." "Jangan begitu,Datuk,"Bujang menasihat."Zalim namanya.Doa orang yang dizalimi mudah dimakhbulkan Allah." "Benar,orang muda,"tiba-tiba sampuk satu suara halus.Seorang perempuan muda muncul dari arah air terjun dengan hanya berkemban,bahu dan rambut yang masih lembab ditutup dengan kain basahan. "Pangeran Ratu,"Panglima Kahar menyusun sembah,diikuti oleh Bujang. "Beta sangka Datuk Panglima sudah berubah laku kerana bercakap seorang diri,"Pangeran Ratu mengorak senyum."Rupanya ada tetamu. Siapa orang muda yang tampan ini,Datuk?" "Namanya Bujang,baru datang dari Melaka,"sembah Panglima Kahar." "Bujang ini masih bujang atau sudah berpunya?"tanya Pangeran Ratu dengan berani. "Hamba mempunyai tiga isteri,Tuan Puteri,"jawab Bujang dengan tenang. "Tiga isteri?"Pangeran Ratu terperanjat."Waduh,hebatnya!Kenapa tidak jadikan empat?" Terkedu juga Bujang dengan sindiran tajam Pangeran Ratu itu.Kalau bukan kerana memikir-kan dirinya hanya tetamu yang menumpang di Jambi,mahu juga dibalas kata-kata itu dengan sindiran yang setimpal.Namun,dipendamkan sahaja perasaan yang berbuku di hati. "Jodoh-pertemuan di tangan Allah,Tuan Puteri,"balasnya dengan tenang. "Betul tu,"akui Pangeran Ratu,mendekati Bujang."Raja Muda Johor mahu peristerikan beta sedangkan beta tidak mahu kerana tiada jodoh.Sekarang dia mengirim bala tenteranya dbawah pimpinan Laksamana memaksa beta menerima pinangannya." "Laksamana?"hati Bujang mendongkol mendengar nama itu. "Angkatan perang mereka sedang berlabuh di luar perairan Jambi,siap sedia hendak menyerang kami jika beta menolak pinangan itu,"Pangeran Ratu menjelaskan. "Tiada kusut yang tidak boleh dileraikan,Tuan Puteri,"ujar Bujang. "Mahukah kamu perhambakan diri kepada beta?"tanya Pangeran ratu menaruh harapan. "Kalau untuk mengelak peperangan dari berlaku,patik boleh mencuba,"balas Bujang dengan ikhlas hati.Dia tidak akan membiarkan Laksamana mengkucar-kacirkan rakyat Jambi. "Bagus,"Pangeran Ratu kelihatan gembira."Datuk Panglima,bawa orang muda ini ke istana sebagai tetamu istimewa bera.Berikan pakaian yang secocok dengannya." "Menjunjung titah,Pangeran Ratu,"sembah Panglima Kahar,tersenyum penuh bermakna. Bujang pun mengikut mereka berdua ke dalam istana melalui pintu belakang.
![](https://img.wattpad.com/cover/203571585-288-k738087.jpg)
YOU ARE READING
Tengku Alang Iskandar Story
Ficțiune istoricăMenyoroti kisah pengembaraan seorang pahlawan dari Kuala Kedah bernama Bujang. Beliau adalah anak kepada Sultan Abdullah dan Puteri Chut Narasari seorang Puteri dari Acheh. Pelbagai kejadian misteri berlaku sepanjang kehidupan Bujang. Suka duka dan...