Tiba-tiba dua bilah anak panah melayang entah dari mana lalu hinggap menembusi leher mereka.Mereka jatuh menggelepar seperti ayam kena sembelih. Sejurus kemudian,muncul sembilan lembaga dari tiga penjuru dengan senjata terhunus di tangan.Mereka terus menyerbu ke dalam khemah.Dari arah lain,Bujang menghunus keris dan kerambitnya lantas turut sama menyerbu ke khemah berhampiran.Bunyi orang mengaduh kesakitan kedengaran silih-berganti di sana-sini, merebak dari khemah ke khemah.Agak lama juga bunyi itu berlarutan sebelum hilang ditelan kesepian malam.Sepuluh lembaga itu berkumpul semula sebelum menghilangkan diri ke dalam gelap. Malam itu,satu demi satu kawasan perkhemahan musuh diserang-hendap.Serangan dilakukan dengan senyap dan pantas sehingga tidak ada yang sedar,apa lagi melawan. Mujurlah hujan tidak turun meskipun angin bertiup kencang dan langit hitam pekat tidak berbintang. Menjelang dinihari,Bujang dan rakan-rakannya berjaya menghampiri pintu gerbang istana.Pengawal yang bertugas mengenali mereka.Pintu gerbang pun dibuka dan mereka semua berkumpul di pekarangan istana. Bau masam peluh berbaur dengan bau hanyir darah yang datang dari pakaian mereka. “Bersurai semua,”perintah Bujang.”Kita jumpa lagi malam nanti.” Setelah kawan-kawannya bersurai,Bujang menuju ke balai tetamu.Dia merasa hairan melihat bangunan istana agak lengang seperti ditinggalkan orang.Pendekar dan hulubalang yang kelihatan juga terasa berkurangan,tidak seperti pada mula-mula dia menjejak kaki ke sini.Namun,dia beranggapan sebilangan besar yang lain masih tidur atau sedang berihat setelah berjaga sepanjang malam.Dengan anggapan itu,dia pun pergi mandi membersihkan badan,serta membasuh pakaian yang kotor.Melihat kesan-kesan darah yang terpercik pada pakaian,dia teringat dia telah mengambil banyak nyawa manusia sepanjang malam itu.Puluhan,mungkin ratusan nyawa melayang di hujung senjatanya.Keris dan kerambitnya telah memakan banyak korban.Belum dikira lagi musuh yang dipanahnya.Belum dikira lagi bilangan musuh yang dibunuh oleh kawan-kawannya Bedul,Bachok,Mamat,Semaun,Damak,Dali,Salleh,Galak dan Jerjaka.Kundang dan lain-lain kumpulan pasti membunuh ramai musuh juga!Biarlah.Hatinya puas.Nyawa-nyawa itu memang dihalalkan! Bujang kembali ke balai tetamu menunaikan sembahyang subuh keseorangan.Kerana keletihan,wirid dan doanya ringkas sahaja.Selepas menyidai pakaiannya yang baru dibasuh,dia terus merebahkan badan di atas tikar mengkuang di balai tetamu itu lalu berzikir dalam hati sampai terlena….! Pagi itu,saki-baki pendekar dan hulubalang yang tinggal mempertahankan istana Kota Naga menerima kejutan.Musuh yang mengepung mereka didapati tidak ramai jika dibandingkan sebelum ini.Dianggarkan beribu-ribu musuh mengepung dan membedil mereka kelmarin,hari ini tinggal tidak sampai 200 orang.Bedilan meriam tidak kedengaran lagi walaupun semua muncung meriam dihala ke arah kubu.Akhir-nya rahsia itu didedahkan oleh salah seorang rakan Bujang.Maka hebuhlah satu istana.Bujang dan rakan-rakan seperjuangannya disanjung,nama mereka harum meniti dari bibir ke bibir. Namun berita kejayaan itu hanya berlegar di kalangan pendekar dan hulubalang yang ada di istana pada waktu itu.Baginda Sultan,kaum-kerabat baginda serta para pembesar,dengan diiringi oleh ratusan pengawal terpilih telah menghilangkan diri sejak semalam lagi.Tiada siapa yang tahu bagaimana rombongan di raja itu berjaya melepaskan diri dari kepungan musuh secara senyap tanpa disedari oleh penjaga pintu gerbang. Bujang menyedari kenyataan itu selepas terjaga dari tidurnya.Dia terjaga apabila terdengar orang menyebut namanya.Digenyehnya mata,dilihatnya seorang pendekar yang tidak dikenali tersenyum-senyum memandangnya. “Ada apa,tuan hamba?”tanya Bujang sambil bangun menyapu air liur basinya. “Panglima Bujang,”sapa pendekar itu penuh hormat.”Hamba Pendekar Malik,rakan Pendekar Kundang.Hamba membawa bingkisan dari Yang Mulia Raja Kedah.” “Di mana baginda?”tanya Bujang menerima bingkisan bergulung kuning itu. “Duli Yang Mulia Baginda Sultan dengan kaum-kerabat baginda serta semua pembesar sudah meninggalkan istana bersama sejumlah besar barisan pendekar dan hulubalang,”Pendekar Malik menjelaskan dengan panjang-lebar.”Hanya kita yang tinggal.Sebelum pergi,Yang Mulia Raja Muda telah melantik Paduka Panglima mengetuai saki-baki barisan pertahanan yang ada.Bingkisan kuning bercop mohor itu sebagai buktinya.” Bujang membuka bingkisan bertulis Jawi yang tertera cop mohor kesultanan Kedah Darul’Aman.Diam-diam dibacanya bingkisan itu.”Menurut bingkisan itu,hamba bergelar Panglima Agung,katanya pada Pendekar Malik.

ANDA SEDANG MEMBACA
Tengku Alang Iskandar Story
Tarihi KurguMenyoroti kisah pengembaraan seorang pahlawan dari Kuala Kedah bernama Bujang. Beliau adalah anak kepada Sultan Abdullah dan Puteri Chut Narasari seorang Puteri dari Acheh. Pelbagai kejadian misteri berlaku sepanjang kehidupan Bujang. Suka duka dan...