Esoknya hari Rabu 16 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 8 November 1652 Masehi Bujang sudah bersiap-siap hendak melangkah ke darat. “Mana Andika?”tanya Bujang ketika duduk bersarapan di atas rakit itu. “Dia naik ke darat bertanya orang,”jawab Panglima Kahar,menjengah ke darat.”Hah,itu pun dia! Dah balik.Panjang umurnya.” Andika melompat ke atas rakit dengan wajah berseri-seri lalu duduk menghadapi hidangan. Pinggan makan dan cangkir minuman dihulurkan. Mereka makan dengan diam-diam. Mereka menunggu Andika membuka mulut bercerita tetapi Andika tetap membisu,hanya mulutnya tidak henti-henti mengunyah ubi rebus yang disajikan. Dia seolah-olah sengaja membiarkan mereka tertanya-tanya. “Nampaknya rakit ini terpaksa kita tinggalkan,”kata Bujang pada bapa saudaranya.”Kita perlu mencari perahu layar ke Gresik.” “Gresik tidak berapa jauh lagi,”sambut Panglima Kahar.”Tentu ada perahu penambang yang hendak ke sana.Belum habis nasi ditanak,sampailah kita.” “Buat apa diikut jalan laut kalau jalan darat lebih mudah dan lebih cepat,”baru Andika bersuara. “Ingatkan dah kena sampuk tadi,”Panglima Kahar menyelar Andika. “Itu pun mereka!”beritahu Andika pada Bujang sambil menuding kepada dua buah pedati yang sedang menghampiri tempat rakit mereka ditambat.”Memang betul,inilah Surabaya. Laut itu ialah Selat Madura. Tadi hamba ke darat menyewa dua kereta kuda untuk membawa kita ke Gresik.” Bujang membasuh tangan dengan air sungai.”Cepat-cepat sikit makan,”kata Bujang pada Ratna dan dayang-dayang.”Kita hendak balik ke lancang.” Mereka cepat-cepat menghabiskan ubi rebus yang disuap,kemudian bangun membiarkan barang-barang dipunggah dari rakit ke atas pedati oleh dua orang supir keturunan Jawa. “Bagaimana dengan rakit ini?”tanya Andika. “Kita sedekah saja,siapa nak ambil ambillah,”sahut Panglima Kahar. “Sebenarnya rakit ini banyak gunanya,”Bujang tidak menyokong pendapat itu.”Andika, beritahu Lela Wangsa supaya rakit ini ditunda ke lancang.” “Baik,Panglima,”balas Andika. Perjalanan menaiki pedati dari Surabaya ke Gresik tidaklah lama. Tambahan pula,jalan tepi laut yang dilalui memang elok dan rata,tidak berlubang-lubang seperti jalan ke Madiun.Jalan pun lebar boleh dilalui oleh banyak pedati. Lewat pagi,mereka pun tiba dengan selamatnya di pantai Gresik di mana kelihatan beberapa buah kapal dan lancang sedang berlabuh. Lancang berbentuk finisi Bugis dengan bendera hijau bertulis kalimah ‘Lailahaillallah’ juga kelihatan.Jauh ke tengah laut tersergam Pulau Madura seperti raksasa sedang tidur. Tanpa disuruh,Panglima Kahar sudah pun bergegas menemui pemilik sampan yang tertambat di situ.”Bawa semua barang-barang kita ke lancang,”beritahu Bujang pada Ratna dan dayang-dayang.” Andika,jangan lupa pesan hamba tentang rakit itu,”Bujang mendekati salah seorang supir yang belum bertolak.”Bawa hamba ke masjid.” Kerana waktu zohor masih jauh,Bujang minta dihantar ke makam Sunan Giri di atas Bukit Giri. Selepas itu baru dia ke masjid Gresik menziarahi makam Maulana Malik Ibrahim. Seperti di makam Sunan Giri,tidak ada kejadian luar biasa berlaku di makam pelopor Wali Sembilan itu. Suasana permakaman sepi dan hening kecuali bunyi desiran angin meniup daun-daun. Selepas menghadiahkan doa,Bujang mengambil wuduk lalu masuk ke dalam masjid itu. Hanya dua orang berjubah sedang terhinggut-hinggut berzikir di saf hadapan dekat mimbar. Mereka membelakangi Bujang dan tidak nampak Bujang masuk.Bujang juga tidak mahu mengganggu mereka lalu dia mendirikan sembahyang tahiyatul masjid agak jauh dari mereka. Sementara menunggu masuknya waktu zohor,dia melagukan zikir di dalam hati. Makmum semakin ramai masuk memenuhi masjid tua itu. Azan zohor dilaungkan.Bujang bersembahyang jemaah bersama mereka semua.Ketika dia melangkah keluar dari masjid itu,dia ditahan oleh kedua-dua oraang yang berjubah tadi. “Sampian Gusti Panglima Agung?”tanya salah seorang dari mereka. “Hamba Panglima Agung,”Bujang mengaku,hairan kerana tidak mengenali mereka berdua. “Kiai Ageng menyuruh jemput Gusti Panglima,”jawab lelaki berjubah itu lagi.”Pejam mata dan ikut kami.” “Ke mana?” tanya Bujuang agak ragu-ragu. “Kapal Helang Hitam,”ujar lelaki berjubah yang kedua pula.”Pejam mata.” Bujang pun memejam matanya seperti disuruh. Telinganya tiba-tiba berdesing seperti dirempuh angin kuat. Bila dibuka matanya,dia sudah berada di atas kapal Helang Hitam,kedua-dua lelaki yang berjubah tadi hilang entah ke mana. Lancangnya turut berlabuh tidak jauh dari kapal itu.Dia nampak dengan jelas Lela Wangsa sedang berbual-bual dengan anak buahnya di atas lancang. “Cari siapa?”tanya seorang anak kapal Helang Hitam. Bujang melihat pemuda yang bertanya itu sedang mengikat damang iaitu tali yang diikat pada bahagian hujung bawah layar dan ditambat simpul hidup pada tajuk birai. “Kiai Ageng,”jawab Bujang mendekati pemuda itu. “Tuan Kiai masih tidur,”sahut pemuda itu ramah.”Dia tidur petang sebab malam nanti dia perlu berjaga sampai ke subuh.” “Nakhoda?”tanya Bujang lagi. “Juragan Musa ada di sana,”pemuda menunjuk dengan jarinya.”Yang menghisap cengklong.” “Terima kasih,”Bujang pun mendekati Juragan Musa yang sedang menyedut bekas tembakau yang bengkok.Asap berkepul-kepul keluar dari bekas itu. “Juragan Musa?”Bujang bertanya. “Mahu apa?”Juragan Musa seperti tidak suka diganggu. “Hamba ingin berjumpa dengan Kiai Ageng,”Bujang mengulangi hasratnya. “Kiai Ageng sedang tidur!”bentak Juragan Musa,kemudian menoleh melihat Bujang buat pertama kalinya.”Kau orang baru,ya? Bagaimana kau boleh naik kemari?” “Kalau Kiai Ageng masih tidur,biarlah hamba balik dulu,”ujar Bujang tanpa membalas pertanyaan Juragan Musa.Dia beredar ke tepi kapal lalu berteriak,”Lela!Lela Wangsa!” Bila melihat Lela Wangsa menoleh ke arahnya,dia berteriak lagi,”Bawa sampan!” Seorang pendekar tergesa-gesa turun ke sampan lalu berdayung ke kapal itu. Juragan Musa jadi hairan. Kalau diikut fikiran yang waras,tidak munasabah teriakan itu boleh didengar oleh mereka yang berada di lancang.Jarak antara lancang itu dengan kapal Helang Hitam lebih dari sepelaung jauhnya.Tetapi,teriakan itu dapat didengar dengan jelas walaupun suaranya tidak lantang.Dan,lancang itu pula milik Panglima Agung. “Siapa kamu?”tanya Juragan Musa pada Bujang,suaranya lembut sikit. Bujang tidak menjawab. Sebaliknya,dia turun ke sampan yang menunggunya di bawah. “Andika ada di sana,Dali?’tanya Bujang setelah sampan itu meninggalkan kapal Helang Hitam. “Andika dengan Mansor dan Telanai pergi mengambil rakit buluh seperti yang Panglima perintahkan,”Dali memaklumkan,kemudian tergamam bila sampan mereka tiba-tiba ditahan oleh dua orang berjubah. Bujang lekas-lekas mengenali mereka yang membawanya ke kapal tadi. Mereka berdiri di atas air laut dan tidak sedikit pun tenggelam. “Tunggu!”salah seorang dari mereka menahan.”Gusti Panglima terpaksa kami tahan! Perintah dari Kiai Ageng!” “Aku kenal siapa dirimu,”suara Bujang berubah.”Tadi,sengaja kubiarkan. Sekarang,aku jangan dihalang.” Tangan kanan Bujang menggumal hulu Keris Sempana Riau. Kedua-dua lelaki berjubah itu mengapung diri di permukaan laut,seolah-olah ingin mem-pamerkan kehebatannya.Tangan mererka bermain-main dengan bola api. “Belum hebat lagi,”Bujang menghunus kerisnya.”Berundur,sebelum kau kubinasakan.” Kedua-dua lelaki berjubah itu lenyap dalam kepulan asap. Dali terpinga-pinga,tergamam. “Kita balik ke lancang,”pinta Bujang sambil menyarungkan Keris Sempana Riau. Malam itu,Bujang duduk menulis sesuatu ke dalam bukunya sementara Ratna berdiri di sebelah memerhati.”Catatan ini sudah lama abang abaikan,”Bujang bersuara,kalam bulu ayamnya menari-nari di atas kertas. “Oh,pengalaman hidup abang,”Ratna membaca seketika.”’Hikayat Panglima Agung’.Ratna boleh membaca tulisan Jawi. Tapi,tulisan yang pelik-pelik itu tulisan apa?” “Tulisan Rumi,”jelas Bujang,mencelup kalam ke dalam bekas dakwat,menulis semula.” Abang belajar sikit-sikit,di samping tulisan kita.” Tiba-tiba kedengaran pintu kurung mereka diketuk dari luar.”Ada apa?”tanya Bujang. “Kiai Ageng sudah datang,Panglima,”suara Lela Wangsa memberitahu. “Tunggu hamba datang,”Bujang menyimpan kalamnya.Melihat dakwat di atas kertas belum kering,buku catatan itu dibiarkan terbuka.Dia bangun mencapai kerisnya lalu keluar dari kurungnya.Kiai Ageng yang berjubah putih itu sedang menunggu di bawah tenda berhampiran celaga kemudi,ditemani Juragan Musa dan seorang anak kapal yang ramah dengan Bujang petang tadi.Bujang menyisip kerisnya ke pinggang lalu bersalaman dengan mereka.Juragan Musa nampak takut-takut,wajahnya agak pucat.Dia beredar agak jauh sikit. “Si-Amat ini sudah ceritakan semuanya.,”Kiai Ageng keturunan Sunan Giri memohon dengan rendah hati.” Kulo minta ampun bagi pihak Juragan Musa.Dia tu pongah sikit,disangkanya dia jagoan segala jagoan.” “Perkara kecil sahaja,Kiai,”Bujang menyatakan sambil menggamit Juragan Musa kemari. “Begini,Gusti Panglima,”Kiai Ageng tidak membuang masa.”Kulo minta Gusti Panglima ikut kami ke Panarukan. Di sebuah gua di kaki Gunung Ringgit.Kulo perlukan bantuan Gusti Panglima menarik wang dari langit.” “Wang dari langit?”Bujang terperanjat,itulah pertama kali dia mendengarnya.”Bolehkah wang ditarik dari langit?” “Kiai Ageng ini guru segala guru dalam ilmu gendam,ilmu poncosono,bandong bodowongso dan lain-lain ilmu penguasaan wang,”Juragan Musa menerangkan,takutnya sudah hilang.” Dia mampu menarik wang dengan menggunakan khadam dan Keris Anjar Asmoro.” “Bagaimana boleh hamba bantu?”Bujang masih belum faham. “Keris Anjar Asmoro sudah ada,”sambung Kiai Ageng pula.”Cuma dibutuhkan mutiara delima, besi kuning dan kulit kijang putih. Juga daging kucing hitam sebagai sesajen.” Bujang termenung seketika memikirkan permintaan Kiai Ageng yang pelik itu. Dia tidak menduga cucu-cicit Sunan Giri boleh terlibat dalam kerja-kerja kurafat,bidaah dan syirik itu. “Kulo tahu Gusti Panglima miliki semua barang itu,”Kiai Ageng meneruskan.”Kulo sudah ada Keris Anjar Asmoro.Si-Amat ini boleh sediakan daging kucing hitam.” “Hamba tidak pernah belajar ilmu yang karut-marut ini,Kiai,”Bujang memberanikan diri menyuarakan pendiriannya.Serta-merta air muka Kiai Ageng dan Juragan Musa berubah. “Ini bukan karut,Gusti Panglima,”Juragan Musa membela gurunya.”Bukan kurafat atau syirik. Kami gunakan perantaraan khadam yang suci yang kami seru namanya.” “Bukan khadam tetapi jin,”Bujang memandang tepat ke wajah Juragan Musa.”Jin kamu cuba mengganggu hamba petang tadi.” “Jin atau khadam bisa diperintah,”sampuk Kiai Ageng pula.”Seperti mana dilakukan oleh Nabi Sulaiman Alaihissalam.Tidak salah asalkan tujuan kita baik,Gusti Panglima. Sememangnya kulo arif dalam hal ini karena kulo keturunan wali Allah.” “Kami perlukan bantuan Gusti Panglima,”Juragan Musa merayu.”Wang hasilnya kita bahagi dua sama rata.Separuh untuk Gusti Panglima,separuh lagi untuk Kiai Ageng.” “Kulo butuhkan wang yang banyak untuk mendirikan masjid baru menggantikan masjid tua di Gresik,”Kiai Ageng turut merayu.”Inilah jasa kulo kepada leluhur Sunan Giri.” Bujang termenung lagi.Dia tahu matlamat tidak menghalalkan cara. Tujuan Kiai Ageng baik tetapi cara mendapatkan kekayaan agak meragukan. “Mengapa hamba?”terpancut soalan itu,seolah-olah pada diri sendiri. “Itulah permintaan Mbah Jubah Kuning,”Kiai Ageng menjelaskan. “Berikan masa hamba berfikir,”Bujang meminta tempoh.”Besok akan hamba berikan jawapan.” “Baiklah,”Kiai Ageng berpuas hati. Dia pun bersalam dengan Bujang,diikuti oleh Juragan Musa dan Si-Amat.Bujang menghantar mereka hingga ke tepi lancang,kemudian memerhati sahaja mereka turun ke sampan lalu berdayung pulang ke kapal Hilang Hitam. Bujang berpaling dan terus kembali ke kurungnya.
YOU ARE READING
Tengku Alang Iskandar Story
Historical FictionMenyoroti kisah pengembaraan seorang pahlawan dari Kuala Kedah bernama Bujang. Beliau adalah anak kepada Sultan Abdullah dan Puteri Chut Narasari seorang Puteri dari Acheh. Pelbagai kejadian misteri berlaku sepanjang kehidupan Bujang. Suka duka dan...