Hari Khamis 17 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 9 November 1652 Masehi, selepas bersembahyang tahajud dan subuh,Bujang termenung di jendela memerhati anak buahnya memeriksa tali bubutan layar,memeriksa dulang-dulang,menggulung tali-temali dan lain-lain pekerjaan. Lela Wangsa kelihatan berbual-bual dengan Andika dan Panglima Kahar di bawah tenda di tepi celaga kemudi sambil memeriksa alat mata angin yang dipanggil kompas.Isterinya sedang menyediakan sarapan,bau masakan memenuhi kurung itu sebelum menerobos keluar melalui jendela yang terbuka. Bujang masih termenung.Semalam sebelum tidur,dia telah pun melakukan sembahyang sunat istiqarah memohon Allah memberi pertunjuk mengenai rancangannya bersama Kiai Ageng.Namun begitu,sebaik terjaga,dia belum juga mendapat sebarang alamat melalui mimpi. Hatinya berbelah-bagi.Kalau tiada alamat,bererti perkara itu diharuskan.Kalau kebaikan,ditunjukkan kebaikannya dan kalau membawa kejahatan,diperlihatkan kesan-kesannya.Gerak hatinya mengatakan boleh. Untuk mengukuhkan hatinya,dikerjakan pula sunat tahajud 12 rakaat sebelum ditutup dengan sembahyang witir.Selepas mendirikan sembahyang subuh,dia berdoa lagi penuh khusyuk agar pekerjaannya diberkati Allah. “Sarapan,abang,”Ratna duduk menghidangkan nasi goreng bersama air kopi panas. Bujang duduk bersila lalu mencapai bekas basuh tangan.”Mengapa tidak disuruh dayang-dayang memasaknya?” “Biarlah,abang,”balas Ratna lembut.”Sikit sahaja,Ratna pun boleh masak.” Selepas itu,diam-diam mereka menyuap makanan sambil mendengar bunyi ombak menghempas tepian lancang.Tidak lama kemudian,Bujang tersandar kekenyangan sambil meneguk minumannya. “Kurung ini boleh dibaiki lagi,”Ratna mencadangkan sambil mengemas pinggan.”Supaya asap boleh keluar melalui bumbung.Kita juga perlukan bilik mandi dan tandas.Ratna seganlah turun mandi di bawah geladak.” Bujang memerhati keadaan di dalam kurung itu.” Hidup di atas lancang kenalah berpada-pada, tidak seperti hidup di rumah,””katanya perlahan. “Keperluan asas sahaja,abang,”balas Ratna.”Ratna tak minta yang bukan-bukan.” “Nanti abang minta tukang kayu tengok-tengokkan,”Bujang mengalah lalu menghabiskan minumannya.Dia keluar ke geladak.Ramai anak buahnya berlatih silat atau membuat senaman,beberapa orang memerhati matahari pagi yang sudah muncul menerangi Pulau Madura di tengah laut. Bujang menjenguk ke bawah.”Badul,”perintahnya pada seorang pendekar dalam sampan di tepi rakit buluh.”Pergi cari Kiai Ageng di sana,katakan padanya hamba sudah bersedia.” Badul terkial-kial mendayung sampannya ke kapal Helang Hitam. “Lela Wangsa,”Bujang memerintah pula nakhodanya yang sedang berlatih buah silat dengan Andika.”Bersiap-sedia untuk belayar.Kita ikut kapal Helang Hitam.” Lela Wangsa berhenti bersilat dan terus memberi arahan kepada anak buahnya. Bujang kembali ke kurung membuat persiapan.Ratna sedang membersihkan pinggan dan cawan. “Ratna,”pintanya ketika menukar pakaian.”Selepas sembahyang sunat dhuha,abang hendak baring-baring sekejap.Kalau abang terlelap,tolong kejutkan waktu asar,ya?” “Asar?InsyaAllah,abang,”Ratna berjanji. Tidak lama kemudian lancang itu belayar mengekori kapal Helang Hitam meninggalkan perairan Gresik.Ketika itu,Bujang sudah pun terlena di atas katilnya. -“Hati-hati dengan fitnah Iblis dan syaitan,”satu suara garau bergema dalam kotak fikiran Bujang.”Mereka tidak jemu-jemu menggoda anak-cucu Nabi Adam hingga ke yaumulkiamah. Tidak terkecuali para rasul,nabi dan aulia,apa lagi manusia biasa.Mereka bijak menampakkan kebaikan pada kejahatan.Yang berkilau bukan emas,yang berkelip bukan intan.”- Bujang terjaga,terasa lancangnya masih belum bergerak dari pelabuhan. “Syukurlah abang dah bangun,”tegur Ratna sambil tersenyum di sisinya”Ratna baru berkira-kira hendak mengejutkan abang.” “Alhamdulillah,”Bujang bingkas bangun memandang di sekelilingnya.”Mengapa lancang kita belum belayar lagi?” “Sudah belayar pagi tadi,”ujar Ratna lembut.”Sekarang dah petang. Kita sudah sampai.” “Sampai di mana?”Bujang bergegas ke jendela menjenguk keluar.Memang benar hari sudah petang.Kapal Helang Hitam dan lancang itu sudah pun berlabuh tidak jauh dari pantai. Sebuah gunung kelihatan tersergam menyapu awan.”Gunung Ringgit,”tuturnya perlahan. Tanpa berlengah,Bujang membasuh muka dan mengambil wuduk dengan air tempayan. Dia terus mendirikan sembahyang jamak taqkhir. – “Yang berkilau bukan emas,yang berkelip bukan intan.”- Bujang menghabiskan doanya lalu lekas-lekas menyarungkan pakaian pendekar. “Abang tak hendak membawa bekalan?”tanya Ratna menghulurkan keris pendek. “Tak apalah,”Bujang menyisip keris itu ke pinggangnya.”Sepeninggalan abang,bawalah dayang-dayang tolong temankan Ratna.” “Berapa lama abang berpergian?”tanya Ratna,agak risau. “Hanya ke gunung itu,”Bujang mencapai keris panjangnya.”Sehari-dua,baliklah.” Selepas mengucup dahi isterinya,Bujang bergegas keluar ke geladak. Dia terkejut melihat Lela Wangsa dan semua anak buahnya sudah sedia menunggu.Andika dan Panglima Kahar juga ada di situ.”Kamu semua hendak ke mana ni?”dia bertanya pada mereka. “Mengikut Panglimalah,”balas Lela Wangsa,disambut dengan anggukan oleh semua. “Tengah hari tadi,Juragan Musa datang,”Panglima Kahar memberitahu anak saudaranya.” Bujang sedang tidur,jadi kami tak berani ganggu. Juragan Musa bawa pesanan Kiai Ageng.” “Apa pesannya?”Bujang memerhati semua anak buahnya. “Kata Kiai Ageng,kita mesti berada di gua itu sebelum senja,”tambah Panglima Kahar. “Sebab itulah kami semua bersedia mengikut Panglima,”sahut Andika. “Kali ini,hamba pun mesti ikut sama,”Lela Wangsa berkeras. “Separuh ikut hamba,separuh lagi tunggu di lancang,”Bujang membuat keputusan. Mereka pun turun ke sampan masing-masing yang tertambat di bawah. “Empat-lima orang bawa rakit itu ke pantai,”perintah Bujang lagi. “Buat apa dengan rakit,Panglima?”tanya Lela Wangsa dari sampannya. “Adalah kegunaannya,”jawab Bujang ringkas. Mereka pun bergerak beramai-ramai ke pantai. Sampan dan rakit ditambat pada akar kayu. “Barangkali itulah guanya,”Bujang menuding dengan jarinya.”Elok kita berihat sementara menunggu Kiai Ageng.” Anak buahnya pun berlari-larian dan berkejar-kejaran di pantai seperti budak-budak. Lela Wangsa,Andika dan Panglima Kahar tersenyum melihat gelagat keanak-anakan mereka. Bujang tercegat memerhati dengan teliti gua di kaki Gunung Ringgit. Lela Wangsa,Andika dan Panglima Kahar turut sama berdiri di bawah naungan pohon rendang,masing-masing memicing mata mencontohi perbuatan Bujang.Beberapa ketika kemudian,Bujang mengangguk perlahan. Mereka bertiga juga terangguk-angguk seperti burung belatuk. “Mengapa kamu angguk kepala?”tanya Bujang kehairanan. “Tak tahu,”ujar Lela Wangsa,menggoncang bahu.”Panglima angguk,kami pun angguklah.” “Ada berapa ekor,Paman?”Bujang bertanya pada bapa saudaranya. “Enam ekor di dalam gua,seekor di hadapan pintu gua,”Panglima Kahar menjawab.”Yang lain berkeliaran di sepanjang pantai ini hingga ke gua itu.” “Apa yang berkeliaran ni?”Lela Wangsa garu kepala memandang sekelilingnya. “Kamu berdua tak nampak?”tanya Panglima Kahar. “Tidak,Datuk,”Andika geleng kepala penuh tandatanya. “Sebenarnya gua itu ditunggui harimau,”balas Panglima Kahar selamba. “Hah?Harimau?”Lela Wangsa dan Andika melompat bangun seperti jerat membidas. “Tak nampak apa-apa pun,”Lela Wangsa memberanikan diri. “Nak tengok?”Bujang menepuk tangannya sekali. Tiba-tiba muncul beratus-ratus ekor harimau belang mundar-mandir di tepi pantai itu. Di hadapan gua terbaring seekor harimau yang agak besar sebagai pengawal manakala dari dalam gua itu kedengaran bunyi ngauman beberapa ekor harimau lagi.Andika dan Lela Wangsa merapatkan diri ke sisi Bujang.Anak kapal yang lain yang sedang bersukaria di pantai lari bercempera balik ke rakit dan sampan masing-masing.Tetapi harimau-harimau itu menguap malas tidak pedulikan manusia yang menceroboh kawasan mereka itu. Bujang menepuk tangannya sekali lagi.Sekelip mata kemudian,semua harimau itu ghaib. “Mari,”Bujang mengajak Panglima Kahar,Andika dan Lela Wangsa.”Yang lain boleh ikut hamba atau tunggu di sini.” Panglima Kahar,Andika dan Lela Wangsa terus mengikut Bujang ke gua itu. Yang lain-lain tidak tunggu lagi,terus berlompatan terjun ke darat menyusul dari belakang meninggalkan rakit dan sampan. Walaupun hati terasa berat,tidak ada yang berani kembali ke lancang. Perjalanan ke gua itu melalui lorong dan denai tidak memakan masa yang lama. Tidak sampai sekapur sirih,mereka sudah berada di hadapan gua yang gelap itu. Di tepi gua itu terdapat sebuah lopak limpahan air yang mengalir dari atas gunung. Air itu nampak jernih dan bersih,tidak dicemari oleh tangan manusia Tidak ada yang berani menyentuh air itu atau masuk ke dalam gua.Masing-masing menunggu arahan selanjutnya. Kiai Ageng sampai tidak lama kemudian ketika hampir senjakala. Kiai Ageng hanya ditemani Juragan Musa dan Si-Amat.”Cuma empat orang bisa ikut. Mesti tujuh orang,tidak lebih tidak kurang.” Tanpa disuruh lagi,Panglima Kahar dan Andika tampil ke sisi Bujang.Lela Wang berpaling memberi perintah padan anak buahnya,”Kamu semua tunggu di sini sampai kami keluar.” Si-Amat menyalakan pelita damar dengan menggunakan pemetik api. Pelita itu dihulurkan kepada Kiai Ageng.Kiai Ageng pun mendahului kumpulan kecil itu masuk ke dalam gua.Mereka mengikut sahaja,tidak ada yang berani bersuara.Setelah agak jauh kwe dalam gua,Kiai Ageng berhenti di suatu kawasan lapang. Waktu putih yang bergantungan dari bumbung gua kelihatan bersinar disuluh cahaya lilin. “Duduk dalam satu bulatan,”perintah Kiai Ageng. Mereka pun duduk menghadap antara satu sama lain.”Baca fatihah tujuh kali,lepas itu berzikir banyak-banyak.Apa yang kalian nampak, usah ditegur.” Mereka pun melakukan seperti yang diperintah.Panglima Kahar duduk diapit oleh Andika dan Lela Wangsa.Kerana Bujang duduk di sebelah Kiai Ageng,dia dapat mendengar dan melihat dengan jelas setiap perbuatan Kiai Ageng. Kiai Ageng menatang lilin,matanya terpejam rapat manakala bibirnya bergerak-gerak membaca jampi serapah dalam bahasa Jawa. “Kulo nuwun karamati isim,nuwun karamati kekuatan,nuwun karamati kawadukan,nuwun kadikdayan…nyuwun hasil angkang kulo sewuwun pancai sarana kai cipta….!” Tiba-tiba lilin di tangan Kiai Ageng terpadam ditiup angin kuat yang datang entah dari mana. Serta-merta keadaan di dalam gua itu menjadi gelap-gelita. “Biar hamba nyalakan api,”suara Lela Wangsa kedengaran menawarkan diri. “Jangan!”Kiai Ageng cepat-cepat melarang.”Mbah Ki Sapu Angin pantangnya melihat api. Teruskan zikir kalian. Jangan bicara jika tidak disuruh.” Mereka pun meneruskan zikir dalam suasana gelap pekat itu.Entah dari mana kedengaran bunyi harimau mengaum dan mencakar-cakar tanah. Bujang menutup lubang pancainderanya dan menyatukan diri dengan alam kebatinan. Dalam keadaan antara sedar dengan tidak,hidungnya tercium bau wangi dan bau kemayan dibakar.
YOU ARE READING
Tengku Alang Iskandar Story
Historical FictionMenyoroti kisah pengembaraan seorang pahlawan dari Kuala Kedah bernama Bujang. Beliau adalah anak kepada Sultan Abdullah dan Puteri Chut Narasari seorang Puteri dari Acheh. Pelbagai kejadian misteri berlaku sepanjang kehidupan Bujang. Suka duka dan...