Bab 41

239 11 2
                                    

"Terimalah kain cindai ini sebagai sumbangsih dan tanda kita sudah berpunya." Daeng Ratna menghulurkan kain itu dengan penuh tertib kepada Bujang. "Belum pernah berlaku,perigi mencari timba,"kata Bujang,ragu-ragu dengan pemberian itu. "Bagi adat kami orang Bugis,perempuan boleh meminang lelaki,"Daeng Ratna menjernihkan keraguan Bujang."Adat ini tidak bercanggah dengan Islam.Bukankah Siti Khadijah juga meminang Nabi Muhammad untuk dijadikan suaminya?" "Tuan Puteri bukan Siti Khadijah dan patik bukan Nabi Muhamad,"tegas Bujang. "Baiklah,"Daeng Ratna meletakkan kain cindai itu di atas pangkin."Beta memohon diri. Jika dipanjang umur,dimurahkan rezeki dan ditemukan jodoh,kita berjumpa lagi." Daeng Ratna pun keluar dari kurung itu lalu menutup pintu dengan bersopan. Bujang masih terpaku di tepi jendela,air minuman dalam cawannya tidak disentuh. Besoknya pagi Selasa,25 Zulhijah 1062 Hijrah bersamaan 17 November 1652 Masehi, kapal Helang Laut pun membongkar sauh dan belayar meninggalkan perairan Singapura menuju ke Melaka.Ketika anak-anak kapal sibuk dengan tugas masing-masing,Bujang turut berada di atas geladak bersama penumpang-penumpang lain.Pemergian mereka tidak menarik perhatian penduduk Singapura yang sudah biasa dengan kapal-kapal dagang yang datang dan pergi. Namun,Bujang agak terperanjat bila Nakhoda Mamat menghulurkan sebuah teropong dan menuding ke arah daratan,"Cuba Panglima teropong ke jeti." Bujang mengambil teropong itu lalu meneropong ke arah yang ditunjukkan.Dia ternampak dengan jelas Daeng Ratna di atas kuda putih,duduk tegak seperti patung.Hanya pandangannya tepat ditujukan ke arah kapal.Pandangan itu sayu dan syahdu,mengandungi seribu harapan, menyentuh hati dan perasaan Bujang. Bujang segera memulangkan teropong itu kepada Nakhoda Mamat dan memandang ke arah lain pula. "Bertuah betul Panglima,"tiba-tiba Nakhoda Mamat memuji."Bukan calang-calang orang dapat menambat hati Daeng Ratna. Dia amat pemilih orangnya. Banyak pinangan dari jauh dan dekat ditolaknya mentah-mentah.Bukan sahaja dia cantik dan kaya-raya,dia juga handal bersilat dan banyak ilmu agamanya.Dia banyak berguru dengan alim ulama." "Entah di mana tuahnya,"Bujang merendah diri."Hamba ibarat pungguk rindukan bulan, hendak memikat merak kayangan." "Tuah ayam nampak di kaki,tuah manusia siapa yang tahu,"Nakhoda Mamat seperti menggalakkan pula perhubungan itu. "Berapa lama pelayaran ini?"Bujang menukar tajuk perbualan. "Seminggu hingga dua minggu,bergantung kepada keadaan cuaca,"jawab Nakhoda Mamat. "Mengapa lama sangat,Tuan Nakhoda?"Bujang bertanya kehairanan."Setahu hamba,dua-tiga hari sahaja sudah sampai di Melaka." "Tapi kita hanya singgah sekejap di Melaka untuk memunggah dan mengambil barang-barang dagangan,kemudian belayar pula ke Betawi." "Oh begitu,"Bujang menarik nafas lega. "Panglima yakinkah isteri Panglima ada di Melaka?"tanya Nakhoda Mamat. "Hamba yakin dan benar-benar percaya,"tegas Bujang. "Kalau dia masih berada dalam tawanan Belanda?"tanya Nakhoda Mamat lagi. "Akan merahlah bumi Melaka dengan darah orang-orang Belanda,"tegas Bujang dengan nada keras lalu beredar ke kurungnya untuk mengerjakan sembahyang sunat dhuha. Ramalan Bujang tepat sekali.Pada waktu itu,Chendana dikurung di dalam sebuah bilik yang terasing dari tawanan-tawanan lain.Biliknya berkunci dari luar,jendela batu itu pula dipasang jerejak besi. Kerana bilik itu pernah menjadi pejabat Tuan Gabenor Johan van Twist,semua kemudahan disediakan,termasuk bilik air dan tandas.Dari tempatnya yang tinggi itu,Chendana memandang sayu ke arah Selat Melaka yang berkilau-kilauan di bawah cahaya matahari pagi. Banyak kapal yang keluar-masuk ke pengkalan.Dia berharap dan berdoa agar salah satu kapal itu membawa suaminya Bujang. Bila teringatkan Bujang,dia meraba perutnya yang kian berisi dan tersenyum sendirian.Alangkah manisnya saat-saat ketika bersama suaminya.Dia amat merindui segala kemanisan itu. Dia teringat lagi kejadian yang memisahkan dirinya dengan suaminya. Dia sedang membasuh pakaian di atas pelantar di tepi lubuk puaka.Tiba-tiba dia terasa seperti ditendang orang.Dia pun terjatuh ke dalam sungai.Dia cuba berenang tetapi arus sungai terlalu deras kerana hujan lebat di hulu sungai.Dia tenggelam-timbul dibawa arus,sudah beberapa kali tertelan air sungai yang kuning seperti teh susu itu.Jeritannya meminta tolong tidak didengari oleh sesiapa. Tenaganya semakin lemah.Akhirnya dia tenggelam dan tidak sedar apa-apa lagi.Bila dia sedar, dia mendapati dirinya berada di sebuah pondok using entah di mana,dikerumuni oleh Tambak, Galak serta beberapa orang lelaki berpakaian hitam yang tidak dikenali.Seri Bija Diraja juga ada di belakang Tambak,menyeringai seperti kucing laparkan ikan. "Masih cantik lagi walaupun dah jadi isteri orang,"Galak mengusik. "Memang cantik isteri Panglima Agung,"Tambak memegang bahagian dada Chendana. Chendana meronta-ronta hendak melepaskan diri dari pegangan mereka. "Jangan disentuh dia,"Seri Bija Diraja memberi amaran."Tugas kita hanyalah menangkapnya dan membawanya ke Melaka.Itu arahan dari orang atas! Kalau dia diapa-apakan,kau orang jawablah sendiri!" "Baiklah,Seri Bija,"Tambak akur."Galak,bawa tali kemari,biar kuikat tangannya." Ketika mereka sibuk mencari tali,Chendana teringat pada kerambit pemberian Bujang yang masih terselit di pinggangnya.Kerambit itu dihunus.Tanpa berfikir panjang lagi,dirodoknya perut Tambak yang boroi itu dari kanan terus ke kiri.Dibenamkan pula mata kerambit itu ke tengah belakang Galak yang cuba melarikan diri.Tiba-tiba dia merasa satu pukulan hinggap di kepalanya.Pandangan matanya berpinar,seluruh dunia ini bagaikan berpusing lipat.Kali terakhir dilihatnya ialah susuk tubuh Seri Bija Diraja yang memegang sebatang kayu.Kemudian,dia tidak sedar apa-apa lagi. Bila dia sedar,dia sudah terkurung di sebuah bilik di Melaka. Dia terdengar bunyi hentakan capal dari luar bilik,kemudian diikuti oleh bunyi kunci dipusing sebelum pintu dibuka.Dia tidak ingin langsung memandang ke pintu.Dia tahu benar siapa yang masuk itu. "Ini makanan kau,Tun Chendana,"kata Seri Bija Diraja. Bila kata-kata itu tidak diendahkan, dia pun meletakkan dulang berisi sarapan pagi itu di atas meja."Aku sendiri yang pilih makanan ini. Tidak ada yang haram.Keju dengan roti." "Bukankah lebih baik kau bunuh sahaja aku?"tempelak Chendana. "Kau telah membunuh Galak dan Tambak.Tetapi,kau bernasib baik,Tun Chendana!"suara Seri Bija Diraja mengeras."Aku hanya dititahkan mencolek kau dan membuang kau dari bumi Johor supaya suami kau tidak jadi Sultan. Aku dilarang keras menyentuh tubuh-badanmu,apalagi membunuhmu!" "Siapa yang menitahkan kau?Sultan?Raja Ibrahim?"desak Chendana. "Itu urusanku!Kau tak perlu ambil tahu!"tengking Seri Bija Diraja. "Hei,Hang Jana,"Chendana bangun berhadapan dengan Seri Bija Diraja."Kau manusia yang tidak mengenang budi!Dari Orang Laut suku Tambus yang tidak dipandang sebelah mata, ayahku mengambilmu,mendidikmu seperti anak sendiri,memberikan jawatan di istana.Inikah balasanmu kepada kami yang berjasa?Madu diberi,dibalas tuba!" "Kau jangan terlalu sombong!"jerkah Seri Bija Diraja."Jasa Temenggung tidak seberapa. Aku naik pangkat kerana usahaku sendiri,kerana aku rajin dan bijak." "Bijak mengampu,"sindir Chendana."Kalau ayahku dan suamiku ada di sini,kau akan tahu langit itu tinggi atau rendah." Seri Bija Diraja ketawa."Suamimu sudah seperti orang gila,merayau ke sana kemari tanpa tujuan.Dan,ayahmu pula,entah-entah sudah mati diracun orang." "Diracun orang?Ya Allah,apa yang dah kau lakukan,Hang Jana?"Chendana benar-benar cemas.Dia cuba berlari ke pintu tetapi tangannya disambar oleh Seri Bija Diraja.Dia ditolak dengan kasar lalu jatuh terduduk di atas katil.Seri Bija Diraja ketawa terbahak-bahak. "Tuan Gabenor,"Seri Bija Diraja memanggil.Tuan Johanes Melaka masuk bersama beberapa orang soldadu berpakaian seragam."Hamba serahkan anak Temenggung kepada Tuan.Buatlah apa sahaja,asalkan jangan diperkosa atau dibunuh." "Sarsan,"perintah Tuan Gabenor pada seorang pegawainya."Neem deze schurk af en zorg ervoor dat hij vertrekt deze toestand!" "Ja,Tuan Gabenor,"balas pegawai itu.Seri Bija Diraja pun ditangkap lalu diheret keluar. "Bagaimana dengan Panglima Agung?"tanya Gabenor dengan pelat Belandanya. "Panglima Agung akan kami siksa sampai ke mati,"jawab Seri Bija Diraja penuh dendam kesumat."Hidupnya akan merana.Dia hendak bermain dengan kami,dia terimalah padahnya. Apakah dia fikir Yamtuan Muda,Paduka Raja dan ramai lagi akan berdiam diri?" Seri Bija Diraja terus ketawa dan ketawa. Petang itu,kapal Helang Laut sudah memasuki Selat Melaka.Bujang merenung kerambit kepunyaan Chendana seketika,air matanya menitis membasahi pipi.Lekas-lekas disapunya pipi itu,lalu disimpan kerambit itu di dalam kampitnya. Dikeluarkan pula kain cindai kuning pemberian Daeng Ratna.Hatinya berbelah bagi antara kasihnya pada isteri-isterinya dengan Daeng Ratna.Kasihnya pada arwah Teratai tidak pernah padam.Kasihnya pada Balqis tetap bersemarak sepanjang zaman.Dan kasihnya pada Chendana ibarat rambut bersimpul mati,tidak mungkin dapat dipisahkan selagi hayat dikandung badan.Tetapi,kasihnya pada Daeng Ratna mula berputik dan berbunga.Antara mereka banyak persamaan,saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain.Sama cantik dan sama secocok.Hilang salah satu,tidak sempurnalah hidup Bujang.Namun,dia takut kalau-kalau terguris hati Balqis dan Chendana.Dia takut kalau-kalau pisang berbuah dua kali.Perkara hubungannya dengan Daeng Ratna perlu ditangani dengan berhati-hati.Ibarat menarik benang dalam tepung,benang tidak putus dan tepung tidak tumpah. Bujang menyimpan cindai kuning itu lalu keluar mengambil angin di geladak untuk melapangkan fikirannya.Beberapa orang penumpang lain turut sama mundar-mandir di atas geladak kerana cahaya matahari lewat petang semakin hilang bahangnya.Seperti biasa,anak-anak kapal tidak pernah duduk diam,ada-ada sahaja kerja yang dilakukan mereka. Bujang memerhati keadaan kapal itu yang sedang belayar antara penghujung tanah besar Semenanjung dengan sebuah pulau yang indah permai serta kaya dengan kehijauan alam semulajadinya. "Pulau apa tu?"tanya Bujang pada salah seorang anak kapal berhampiran. "Pulau Pisang,Panglima,"jawab anak kapal yang sedang menggulung tali."Sebelah kanan kita ialah Tanjung Piai." Nakhoda Mamat yang ternampak Bujang terus menghampirinya. "Kalau tiada aral,subuh nanti sampailah kita di Melaka,"Nakhoda Mamat membuka tirai perbualan."Kita akan berlabuh di sana beberapa hari,barulah kita belayar ke Betawi." Bujang memandang ke arah Nakhoda Mamat.Dia tahu nakhoda yang banyak pengalaman itu membuka peluang kepadanya untuk sama-sama belayar ke Betawi. "Berapa lama urusan Panglima di Melaka?"Nakhoda Mamat bertanya. "Bergantung pada keadaan,"ujar Bujang,memerhati pula Tanjung Piai. "Hamba takut Panglima keciwa,"Nakhoda Mamat tumpang bersedih."Isteri Panglima dalam tawanan,macam-macam boleh berlaku.Mana tahu kalau-kalau musuh bertindak kejam dan membunuhnya daripada terlepas ke tangan Panglima." "Sudah hamba fikirkan baik-buruknya,"baru Bujang bersuara."Kalau takdirnya Chendana terbunuh,mayatnya akan hamba bawa balik ke Kampung Panchor." "Selepas itu,Panglima?"Nakhoda Mamat ingin tahu. "Belanda tidak akan aman selagi adanya bulan dan matahari,"tegas Bujang. "Belanda tidaklah sejahat yang disangka,"Nakhoda Mamat membela."Banyak juga kebaikan dan kemajuan yang mereka bawa ke Alam Melayu ini.Barangkali perkara isteri Panglima dicolek dan ditawan ini bukan angkara Belanda tetapi angkara beberapa orang yang ingin membalas dendam pada Panglima." "Perkara itu memang terlintas di hati hamba,"akui Bujang."Maklumlah,hamba telah membunuh ramai orang.Musuh hamba keliling pinggang.Barangkali ada saudara-mara atau sahabat-handai mereka yang menyimpan dendam kesumat." "Barangkali juga perebutan kuasa,"Nakhoda Mamat melemparkan pendapat. "Perebutan kuasa?"Fikiran Bujang tidak sampai ke tahap itu."Hamba tidak pernah gila kuasa atau gila pangkat." "Itu kata Panglima,bagaimana pula kata orang lain?"Nakhoda Mamat menyumbangkan pendapat kepada panglima muda yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri."Khabarnya, Panglima memegang jawatan Laksamana Raja Laut di Kedah.Di Acheh,Raja Perempuan risau kerana Panglimalah satu-satunya waris lelaki yang paling berhak mewarisi tahta kerajaan Acheh.Manakala di Johor pula,ada orang bimbang kalau-kalau Panglima dinobat sebagai Sultan kerana Panglima waris tunggal almarhum Sultan Abdullah yang pernah memerintah Johor.Sultan Johor sekarang bukan sultan yang sah." "Nampaknya,ramai orang lebih mengetahui tentang diri hamba daripada tuan tubuh sendiri." "Sudah menjadi rahsia umum siapa diri Panglima,"balas Nakhoda Mamat."Lebih-lebih lagi di kalangan kami para nakhoda dan juragan yang sering belayar ke seluruh pelusuk Alam Melayu.Siapa tidak kenal Panglima Agung,pahlawan termahsyur dan terbilang?Ada orang menyamakan Panglima Agung dengan Laksamana Hang Tuah." "Tinggi sungguh penghormatan orang ramai terhadap hamba,"Bujang terpesona dengan sanjung itu."Selama ini,hamba menyangka hamba seorang panglima biasa sahaja." "Panglima lebih dari itu,"Nakhoda Mamat membongkar rahsia Bujang."Panglima mempunyai kewibawaan,pesona dan daya penarik memikat hati lelaki dan perempuan.Lelaki mudah berkawan dengan Panglima,perempuan pula mudah terpikat pada Panglima.Barangkali inilah kesan dari amalan dan ilmu yang Panglima pelajari.Kata orang,ilmu yang baik membawa kebaikan,ilmu yang jahat sebaliknya pula." Bujang tertawa kecil."Kerana ramai orang suka pada hambalah,maka hamba ramai musuh." "Memang begitu adat dunia,"Nakhoda Mamat menyatakan."Ada kawan,adalah musuh. Kalau orang suka pada kita,dialah kawan kita.Tetapi kalau orang tidak suka pada kita,orang itu akan memusuhi kita.Kadangkala kawan menjadi musuh,musuh menjadi kawan." "Dalam betul kata-kata Tuan Nakhoda,"Bujang memuji dengan ikhlas."Tidak terjengkau dek fikiran hamba yang masih mentah ini." "Hamba tua dengan pengalaman,"Nakhoda Mamat merendah diri."Daeng Samalingga atau Tok Kilat,Temenggung Abdul Jalil,Panglima Dermang,Tengku Panglima Paringgit Raja Deli dan ramai lagi adalah sahabat hamba. Dari mereka hamba belajar tentang ilmu dunia dan ilmu akhirat. Dunia ini jambatan ke akhirat.Tanpa dunia takkan ada akhirat." "Hamba faham sekarang,"Bujang menarik nafas panjang."Bantuan dari Allah datang dalam berbagai bentuk dan rupa.Bertuah hamba kerana dapat mengenali Tuan Nakhoda." "Berkenaan dengan Daeng Ratna pula...." "Kenapa dengan Daeng Ratna?"cepat-cepat Bujang memotong cakap Nakhoda Mamat. "Panglima jangan salah anggap dan salah sangka,"Nakhoda Mamat segera memadam keraguan yang bersarang di hati Bujang."Daeng Ratna tiada hubungan darah dengan hamba. Ibubapanya,Daeng Relaku timang-timangan Sultan Alauddin dan Permaisuri Upu Cendera Burung hanyalah sekadar kenalan hamba semasa kami muda-muda dulu." "Tetapi,"balas Bujang dan menunggu jawapan dari Nakhoda Mamat. "Tetapi,hamba kenal benar siapa Daeng Ratna sepertimana hamba mengenali Panglima," jawab Nakhoda Mamat sambil tersenyum."Kalau hamba katakan dia telah terpikat dan jatuh hati pada Panglima,percayalah kata hamba.Begitu juga dengan Panglima,mulut berkata tidak, hati berkata mahu." "Bijak betul Tuan Nakhoda menelah hati dan perasaan hamba,"Bujang memuji sambil tersenyum."Gambaran hati terlukis pada wajah.Semakin hamba lari dari cinta,semakin ia mendekat." "Resam orang muda memang begitu,"balas Nakhoda Mamat."Tetapi,tiada kusut yang tidak boleh dileraikan,tiada keruh yang tidak boleh dijernihkan.Yang penting cari ubatnya." "Kenyataan Tuan Nakhoda sungguh pahit untuk ditelan,"ujar Bujang."Tetapi,yang pahit itulah ubat dan penawarnya." Nakhoda Mamat menepuk bahu Bujang."Intan biarpun jatuh ke lumpur,tetap intan juga." Bujang memandang tepat ke wajah Nakhoda Mamat tetapi tiada kata-kata yang diucapkan. Hanya air mata menitis membasahi pipi,terharu dengan pujian nakhoda yang dihormati itu. Entah kenapa,dia dapat merasakan bahawa Nakhoda Mamat bukan sekadar seorang nakhoda kapal tetapi lebih dari itu.Dia yakin dan percaya setiap kata-kata nasihat Nakhoda Mamat itu lahirnya dari hati yang suci murni.

Tengku Alang Iskandar StoryWhere stories live. Discover now